Skip to main content

Singapura

Universiti SG semak modul IT dan digital bagi penuhi permintaan industri

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jul 2024 05:36PM Dikemas Kini : 14 Jul 2024 11:39PM
SINGAPURA: Universiti-universiti tempatan sedang menyemak kurikulum bagi Teknologi Infokom (IT) dan digital mereka, dengan menerapkan lebih banyak kursus yang lebih khusus demi memenuhi permintaan industri yang kian berubah-ubah.

Langkah itu diambil supaya para mahasiswa lebih mudah mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian mereka.

Syarikat-syariakt keselamatan siber sedang mencari bakat baru untuk menyertainya.

Tetapi ianya cukup mencabar, memandangkan ramai lulusan baharu kurang memiliki kemahiran yang diperlukan syarikat tersebut.

Lantas, sebuah syarikat menjalankan satu kem latihan penggodaman yang tersendiri, bagi meningkatkan kemahiran serta mengenal pasti bakat yang berpotensi.

"Saya fikir apa yang benar-benar diinginkan adalah mereka yang boleh mengautomasikan aliran kerja supaya kami boleh mengesan dan mengenal pasti isu-isu dengan lebih pantas," kata Naib Presiden Sumber Manusia, Ensign Infosecurity, Serene Yeo.

"Biasanya set kemahiran seumpama itu termasuk kemahiran dalam bidang kecerdasan buatan, kerana ia akan membolehkan kami dengan pantas menangani perkara yang sebenar untuk pelanggan kami," tambahnya

Sejak 2021, kadar lulusan baharu dalam jurusan IT dan teknologi digital yang berjaya mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa merosot sebanyak lima peratus.

Maka itu, institusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) kini berusaha untuk meningkatkan peluang mahasiswa mereka mendapatkan pekerjaan.

"Salah satu usaha kami adalah menyepadukan kursus pensijilan industri ke dalam kurikulum sedia ada bagi ICT. Jadi kami bekerjasama dengan rakan-rakan industri untuk menawarkan kursus pensijilan dalam bidang yang berbeza, termasuk pengkomputeran awan, pentadbiran sistem, komunikasi data dan seterusnya," kata Profesor Madya Zhu Yongqing, Ketua Teknologi Infokom (ICT), Program Teknologi SUSS.

Beliau menambah, bagi semester akan datang, lebih banyak kursus yang tertumpu kepada Kecerdasan Buatan (AI) akan diterapkan ke dalam sukatan pelajaran.

Terdapat juga rancangan untuk memperkenalkan pengajian baharu dalam bidang AI generatif.

Menurut pemerhati industri, kemahiran yang diburu majikan bagi seorang bakat teknologi sudah berubah sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Para majikan kini mahukan individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang-bidang seperti AI, keselamatan siber dan Sains Data.

Memandangkan cabaran di bidang teknologi akan berterusan, pengkhususan dari sudut kemahiran menjadi semakin penting bagi meningkatkan peluang pekerjaan.
Sumber : CNA/AI/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita