Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Universiti berautonomi S'pura 'komited' lindungi kebebasan akademik, kata Dr Maliki

Universiti-universiti berautonomi Singapura komited untuk melindungi kebebasan akademik demi fakulti serta mahasiswanya dan tenaga pensyarahnya tidak "mengelak" daripada topik-topik yang sensitif dari segi politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Universiti berautonomi S'pura 'komited' lindungi kebebasan akademik, kata Dr Maliki

Menteri Kedua Pendidikan Maliki Osman berucap di Parlimen pada Isnin (10 Jan).

Diterbitkan : 10 Jan 2022 06:08PM Dikemas Kini : 11 Jan 2022 10:52AM

SINGAPURA: Universiti-universiti berautonomi Singapura komited untuk melindungi kebebasan akademik demi fakulti serta mahasiswanya dan tenaga pensyarahnya tidak "mengelak" daripada topik-topik yang sensitif dari segi politik.

Demikian kata Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman hari ini (10 Jan).

Menjawab soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Leon Perera (WP-Aljunied) tentang satu tinjauan baru-baru ini mengenai kebebasan akademik di Singapura, Dr Maliki mengingatkan agar tidak membuat anggapan umum mengenai dapatan-dapatannya sebagai mewakili semua ahli akademik memandangkan kadar respons rendah bagi tinjauan itu.

Tinjauan Kebebasan Akaemik 2021, yang diterbitkan oleh AcademiaSG, mendapati - antara lain - fakulti yang membincangkan topik-topik "sensitif dari segi politik" lebih berkemungkinan besar berasa terbatas dalam keupayaan mereka untuk membuat kajian atau mendampingi masyarakat berbanding mereka yang memberi tumpuan kepada topik-topik lain.

Academia.sg adalah satu laman yang dimulakan pada 2019 untuk mencerminkan keprihatinan para pensyarah mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Dr Maliki menggariskan bahawa kadar respons bagi tinjauan itu hanyalah sekitar 10 peratus, dengan sekitar 198 daripada 2,061 pensyarah yang dihubungi dari sekolah-sekolah sains kemasyarakatan, kemanusiaan, perniagaan dan undang-undang di universiti berautonomi Singapura memberi respons kepada tinjauan tersebut.

Dalam kalangan mereka yang memberikan respons, kata Dr Maliki, hanya sebilangan kecil yang menyuarakan keprihatinan khusus tentang kebebasan dalam bidang akademik di Singapura.

“Universiti berautonomi kita atau AU, komited untuk melindungi kebebasan academik bagi fakuli dan mahasiswa mereka," kata Dr Maliki.

“Melakukan sedemikian membolehkan mereka untuk menarik bakat terbaik serta mewujudkan pengetahuan baru, berinovasi dan menyumbang kepada pembangunan Singapura sepanjang berdekad-dekad lalu. Mutu pendidikan dan kajian yang dijalankan oleh AU juga diiktiraf dengan baik di peringkat antarabangsa.

“Maka itu saya ingin menasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat anggapan umum mengenai dapatan-dapatan daripada tinjauan itu sebagai mewakili perasaan semua ahli akademik di Singapura."

Ahli akademik di universiti berautonomi sudahpun mengajar, melibatkan diri dalam wacana, mengkaji dan menerbitkan pelbagai topik termasuk isu-isu politik dalam negara, kaum, agama dan jantina, kata Dr Maliki.

““Maka tidak benar untuk ahli akademik kita merasakan seolah-olah mereka perlu bersikap terlalu beralas atau berasa terhalang. Kerja-kerja yang dihasilkan oleh AU dengan jelas menunjukkan ahli akademik kita tidak gentar untuk menyentuh topik-topik politik yang sensitif," ujar Dr Maliki.

Beliau menambah Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan NUS mempunyai senarai awam lebih 8,000 penerbitan berkaitan Singapura, dengan lebih banyak lagi ditambah ke dalamnya dari masa ke semasa.

Dr Maliki merujuk kepada contoh tajuk seperti "Is the People's Action Party here to stay?" dan "Super-diversity and the biopolitics of migrant worker exclusion in Singapore" sebagai penerbitan yang menyumbang kepada "wacana masyarakat mengenai dasar tadbir urus dan awam serta juga memaklumkan kurikulum pengajaran".

Dr Maliki berkata Kementerian Pendidikan (MOE) juga membiayai projek-projek mengenai topik yang mungkin dianggap sensitif. Beliau menambah para penyelidik di universiti berautonomi juga bekerjasama dengan agensi pemerintah untuk mengkaji isu rumit seperti integrasi keluarga dwinegara di Singapura, strategi menangani diri dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan perkembangan sikap perkauman semasa peringkat awal kanak-kanak.

“Projek-projek ini sebaliknya boleh digunakan atau disesuaikan sebagai bahan mengajar bagi para pelajar," katanya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan