Skip to main content

Singapura

Unit SAF dan MINDEF sebahagian respons SG terhadap serangan siber berterusan: Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2025 05:56PM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 10:24PM
SINGAPURA: Unit-unit dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah bertindak balas terhadap serangan siber berterusan oleh pelaku ancaman, yang dipercayai ada kaitan dengan China, ke atas infrastruktur kritikal Singapura, menurut Menteri Pertahanan Chan Chun Sing pada Sabtu (19 Jul).

Unit-unit itu akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) dalam usaha keseluruhan pemerintah untuk menangani insiden-insiden itu, tambah Encik Chan.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pertama kali mendedahkan pada Jumaat (17 Jul) bahawa Singapura sedang giat menangani kumpulan UNC3886 yang "sangat canggih", yang menurutnya menimbulkan bahaya serius kepada Singapura dan boleh menjejaskan keselamatan negara.

UNC3886 telah disifatkan oleh firma keselamatan siber milik Google, Mandiant sebagai "kumpulan pengintipan China-nexus" yang menyasarkan pertubuhan-pertubuhan strategik terkemuka pada skala global.

Pada Sabtu (19 Jul), Encik Chan adalah salah seorang daripada tiga menteri Kabinet yang menyentuh tentang serangan itu.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Josephine Teo berkata dalam catatan Facebooknya bahawa rakyat Singapura harus sedar tentang ancaman di ruang siber yang sedang dihadapi negara ini, dan "tidak pernah ada masa yang tepat" untuk mendedahkan insiden sedemikian.

"Kita sentiasa perlu mencapai keseimbangan yang baik antara mengekalkan keselamatan operasi dan meningkatkan kesedaran orang ramai, terutamanya semasa operasi secara langsung sedang dijalankan," tambahnya.

"Bayangkan jika pelaku ancaman berjaya menghapuskan mana-mana sistem kritikal kita, seperti air, tenaga atau rangkaian telekomunikasi. Ia akan menjejas dan menggugat keselamatan negara."

Di luar acara kemasyarakatan di Chong Pang pada Sabtu (19 Jul), Encik Shanmugam juga ditanya mengapa pemerintah Singapura memutuskan untuk menamakan pelaku ancaman itu.

Beliau berkata rakyat Singapura harus tahu dan sedia maklum tentang asal usul serangan itu, dan pelakunya telah dinamakan pada masa lalu.

"Jumlah insiden yang kami dedahkan jauh lebih kecil daripada jumlah serangan sebenar, dan kami tidak dedahkan atas sebab keselamatan negara atau kepentingan awam," tambah Encik Shanmugam.

"Kali ini, penilaian kami ialah kami boleh mendedahkan butiran itu. Saya mendedahkan sedikit sahaja, sangat kecil butirannya... kami mempunyai keyakinan tentang siapa pelaku itu. Jadi kami fikir ia wajar didedahkan."

Ketika ditanya mengenai kaitan UNC3886 dengan China dan kemungkinan berlaku tindak balas kerana menamakan mereka, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata ini setakat "spekulatif" sahaja.

"Dengan siapa mereka dikaitkan dan bagaimana mereka beroperasi bukanlah sesuatu yang saya mahu bincangkan," kata Encik Shanmugam.

RESPONS KEDUTAAN CHINA

Pada Sabtu (19 Jul), Kedutaan China di Singapura menyatakan bahawa agensi-agensi media Singapura telah menukil "maklumat daripada sesebuah syarikat keselamatan siber negara tertentu" yang mengaitkan UNC3886 dengan China.

Pemerintah China menyuarakan "rasa tidak puas hati yang kuat" terhadap dakwaan itu dan menentang sebarang "tuduhan tidak berasas", menurut kedutaan itu dalam kenyataannya.

"Pihak kedutaan ingin mengulangi bahawa China menentang dan membanteras semua bentuk serangan siber mengikut undang-undang. China tidak menggalakkan, menyokong atau membenarkan aktiviti penggodaman," tambahnya.

"Memastikan ruang siber selamat adalah satu cabaran global dan China bersedia untuk bekerjasama dengan Singapura dan seluruh dunia untuk bersama-sama melindungi keselamatan siber."

KESEDIAAN OPERASI

Encik Chan pada Sabtu (19 Jul) menyifatkan serangan siber itu sebagai contoh jenis ancaman baharu yang perlu ditangani oleh SAF dan MINDEF.

Bercakap kepada para wartawan semasa lawatan ke Kem Selarang, Encik Chan turut membincangkan kepentingan kesiapsiagaan dalam kalangan anggota tentera (NSmen).

Negara-negara boleh membeli mesin jika mereka mempunyai wang, tetapi komponen "paling kritikal" dalam benteng pertahanan Singapura ialah "semangat juang", kata Encik Chan.

"Untuk melihat rakyat lelaki Singapura bersiap sedia, meluangkan masa dan usaha untuk mengekalkan kecergasan mereka, untuk mengekalkan kesediaan operasi mereka - itu bagi kami adalah pencegahan terbesar yang boleh kami miliki," kata Menteri Pertahanan itu.

Beliau merujuk kepada cabaran operasi baharu, termasuk konflik di Eropah dan Timur Tengah, yang Singapura belajar daripadanya.

"Banyak perkara ini kami jangkakan sebelum ini, dan kami akan bersiap sedia. Kita tidak boleh memulakan persiapan kita selepas kita melihat apa yang orang lain lakukan," kata Encik Chan.

"Kita tidak semestinya perlu menunjukkan kepada semua orang apa yang kita ada dan apa yang kita lakukan. Kita mesti yakin secara senyap-senyap bahawa kita mampu menangani pelbagai ancaman."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita