Unit ERP baru dalam kenderaan mula dipasang separuh kedua 2021
Unit Dipasang Dalam Kenderaan (OBU) yang baru akan mula dipasang pada separuh kedua 2021 sepanjang 18 bulan, menggantikan alat-alat dalam kenderaan sedia ada.

(Gambar: LTA)
SINGAPURA: Unit Dipasang Dalam Kenderaan (OBU) yang baru akan mula dipasang pada separuh kedua 2021 sepanjang 18 bulan, menggantikan alat-alat dalam kenderaan sedia ada.
Unit pertama adalah percuma bagi semua kenderaan berdaftar di Singapura, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media pada Selasa (8 Sep).
Pemasangan alat baru itu dijadual bermula hujung tahun ini, namun proses tersebut tergendala akibat kesan COVID-19 ke atas rantaian bekalan global, kata LTA.
Unit baru itu akan digunakan apabila Singapura beralih ke generasi terbaru sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) - berdasarkan teknologi Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) - pada pertengahan 2023.
Ia akan menggantikan sistem gerbang sedia ada yang berusia lebih 20 tahun, dan bertujuan mengenakan bayaran mengikut jarak perjalanan.
Namun, LTA menyatakan pada Selasa bahawa kadar ERP akan terus disemak berdasarkan kelajuan lalu lintas dan tahap kesesakan.
"Seperti yang dilakukan sekarang, lokasi bayaran ERP juga akan ditandakan dengan jelas, namun dengan gerbang lebih kecil," menurut LTA.
REKA BENTUK BARU OBU
Selain memberikan maklumat mengenai lokasi dan kadar bayaran ERP, OBU itu akan menyediakan maklumat tambahan seperti kemas kini keadaan lalu lintas, serta lokasi zon sekolah dan zon perak berhampiran, menurut LTA.
Bagi motosikal pula, alat OBU itu direka sebagai satu keping peranti yang mudah dipasang pada kenderaan.
Semua kenderaan lain akan dipasang dengan alat berbentuk tiga keping, terdiri daripada antena dan paparan skrin sentuh yang dipasang pada cermin hadapan. Terdapat juga unit pemprosesan yang dapat dipasang di bawah papan pemuka.
OBU tersebut direka agar sesuai dengan sistem sedia ada, termasuk bagi bayaran ERP dan tempat letak kenderaan.
"Pemandu boleh terus menggunakan kad CEPAS mereka (kad NETS FlashPay dan EZ-Link) atau kad kredit atau debit untuk membuat bayaran," tambah LTA.
Kesemua kenderaan bermotor yang berdaftar di Singapura wajib dipasang OBU baru itu.
Kenderaan bermotor berdaftar di Singapura yang tidak menggunakan jalan raya awam di Singapura, atau dikenakan sekatan penggunaan yang ketat, akan dikecualikan daripada syarat wajib OBU.
Ini termasuk traktor, alat binaan, treler dan kenderaan di bawah Skim Penggunaan Terhad seperti kenderaan lapangan terbang.
MELINDUNGI PRIVASI DATA
Sistem ERP generasi baru itu akan mengumpulkan data dari pengguna, dengan tahap "keselamatan kukuh dan perlindungan ketat", kata LTA.
"LTA hanya akan menggunakan data tanpa nama atau data terkumpul untuk tujuan pengurusan lalu lintas dan perancangan pengangkutan," jelasnya.
"Data khusus kenderaan akan digunakan hanya untuk tujuan bayaran dan penguat kuasaan undang-undang, seperti terhadap mereka yang tidak membayar ERP. Saman akan dikeluarkan secara automatik, seperti yang dilakukan sekarang. "
Mengenai langkah-langkah keselamatan, LTA menambah: "Untuk mengelakkan akses tanpa kebenaran dan salah guna data, terdapat langkah keselamatan yang kukuh dan ketat, termasuk hukuman di bawah Akta Perkhidmatan Awam (Tadbir Urus)."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.