Skip to main content

Singapura

Unit ERP 2.0 akan dipasang dalam kenderaan baharu SG mulai 1 Mei

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semua kenderaan baharu tempatan yang didaftarkan mulai 1 Mei akan dipasang dengan sistem ERP 2.0 di dalam kenderaan (OBU).

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis (28 Mac).

Mulai 1 Mei juga, pemilik motosikal tempatan sedia ada akan dimaklumkan secara berperingkat mengenai pemasangan OBU mereka melalui surat, e-mel atau SMS.

Kedua-dua kumpulan pemandu tersebut membentuk fasa pemasangan selanjutnya.

Pemasangan fasa pertama telah bermula pada November 2023 bagi kenderaan syarikat.

Setakat ini, lebih daripada 13,000 kenderaan sudah dipasang dengan OBU. Daripada jumlah itu, lebih 70 peratus memilih layar sentuh pada unit OBU mereka, tambah LTA.

KENDERAAN BAHARU; KEMASKINI KEPADA SISTEM OBU

Para pembeli semua jenis kenderaan baharu, yang didaftarkan pada atau mulai 1 Mei akan disediakan dengan OBU di dalam kenderaan mereka.

Pengedar motor yang sah dan penjual kenderaan akan berhubung dengan bakal pembeli untuk membincangkan pemasangan OBU, seperti memutuskan tempat meletak unit pemprosesan dan sama ada mereka ingin memasang skrin sentuh.

Pemandu yang tidak ingin skrin sentuh masih boleh menerima maklumat penting melalui aplikasi telefon bimbit.

Berikutan maklum balas yang dikumpulkan LTA daripada mereka yang sudah memasang OBU sebelum ini, para pemandu boleh memilih tempat meletak unit pemprosesan daripada beberapa pilihan yang diberikan.

Di antara tempat yang boleh dipasang setakat ini adalah di tempat meletak kaki penumpang, di bawah kotak sarung tangan dan di bawah kerusi pemandu.

Sebagai respons kepada maklum balas yang mengatakan bahawa OBU menyusahkan pemandu untuk mencapai kad CEPAS, LTA menyatakan ia akan menambah butang pada skrin sentuh untuk "mematikan" kad CEPAS buat sementara, bagi pemandu yang mempunyai tiket letak kereta percuma.

Oleh itu, pemandu sedemikian tidak perlu mengeluarkan kad daripada unit pemprosesan sebelum keluar dari tempat meletak kereta.

Ciri tersebut hanya digunakan pada senario tersebut. Ia tidak menjejas pengecasan ERP, meskipun pemandu terlupa untuk menekan butang setelah mereka meninggalkan tempat meletak kereta.

Buat masa ini, ciri itu hanya disediakan untuk pemandu yang sudah memasang skrin sentuh.

LTA menambah bahawa ia akan mempertimbangkan untuk membangunkan lebih banyak ciri berdasarkan maklum balas seterusnya daripada pemandu.

MOTOSIKAL TEMPATAN SEDIA ADA

Para pemilik motosikal tempatan sedia ada boleh mendaftar tarikh janji temu dengan bengkel pilihan mereka untuk memasang OBU, sebaik sahaja mereka menerima pemberitahuan bermula 1 Mei.

Pemberitahuan itu akan mengandungi risalah dengan arahan terperinci mengenai proses mendaftar janji temu serta ciri-ciri OBU.

Meskipun tempoh pemasangan bagi pemilik motosikal bermula pada 1 Jun, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan tarikh janji temu sebaik sahaja mereka menerima pemberitahuan.

Pemasangan OBU adalah percuma jika mereka memasangnya dalam tempoh dua bulan yang diberikan. Jika tidak, mereka akan dikenakan yuran pemasangan yang sudah diberikan subsidi sebanyak S$35, dedah LTA.

PEMANDU LAIN YANG INGIN MEMASANG OBU LEBIH AWAL

Pemilik kenderaan tempatan yang lain boleh menjangkakan untuk menerima pemberitahuan bagi pemasangan OBU lewat tahun ini.

Walau bagaimanapun, LTA mengalu-alukan para pemandu yang ingin memasang OBU lebih awal.

Mereka boleh menghbungi talian Khidmat Bantuan Panggilan LTA di 6377 2255 bagi sebarang bantuan.

Para pemandu juga boleh menghubungi bengkel pilihan mereka yang sah jika mereka ingin memilih tarikh bagi pemasangan OBU serta janji temu penyelenggaraan biasa mereka, tambah LTA.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita