Skip to main content

Singapura

Unit baharu SAFER bantu SG kesan risiko penderaan kanak-kanak lebih awal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Sep 2026 07:50PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 08:39PM
New SAFER unit helps Singapore detect risks of child abuse earlier
  • MSF launched SAFER in Singapore to identify high-risk child protection cases earlier and help frontline workers provide support to families more quickly.
  • The unit, which has been operating since late June 2026, uses a risk algorithm to combine data from MSF, CNB and SPF, starting with families with children under seven.
  • In its first two months, SAFER identified about 600 cases for further review, with 70 referred to MSF’s Child Protective Service and CPCM.
  • SAFER was established following a review of Megan Khung’s death, which found gaps between agencies, but Goh Pei Ming stressed that it only supports professional judgement.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Sebuah unit baharu dilancarkan untuk mengumpulkan maklumat berkaitan daripada pelbagai agensi pemerintah bagi mengenal pasti lebih awal kes penderaan kanak-kanak yang berisiko tinggi, selain membantu petugas barisan hadapan memberikan sokongan dengan lebih cepat.

Dikenali sebagai Sensemaking Alerts for Frontline Engagement and Response (SAFER), unit itu membantu petugas mendapatkan gambaran lebih menyeluruh tentang keadaan sesebuah keluarga, sebagai sebahagian daripada penilaian sama ada kanak-kanak dan keluarga memerlukan sokongan lebih awal, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Selasa (22 Sep).

SAFER menggunakan “algoritma risiko” untuk menghimpunkan maklumat daripada set data yang tersedia bagi menilai keperluan berisiko tinggi sesebuah keluarga dan bagaimana mereka boleh disokong. Unit itu mula beroperasi pada akhir Jun 2026.

Dalam dua bulan pertamanya, algoritma risiko SAFER mengenal pasti sekitar 600 kes untuk semakan lanjut. Daripada jumlah itu, 70 kes dirujukkan kepada pengurus kes daripada Perkhidmatan Perlindungan MSF dan agensi Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-kanak (CPCM) untuk meningkatkan atau mengukuhkan sokongan kepada keluarga terlibat.

MSF sebelum ini memberikan komitmen di Parlimen untuk menubuhkan sebuah pusat penyelarasan khidmat sosial, sebagai respons kepada saranan panel semakan yang meneliti ekosistem perlindungan kanak-kanak selepas kematian Megan Khung.

Megan berusia empat tahun ketika meninggal dunia pada Februari 2020. Dia didera selama berbulan-bulan oleh ibunya dan teman lelaki ibunya ketika itu, sebelum lelaki tersebut melakukan satu tumbukan yang membawa maut.

Semakan terhadap kematiannya mendapati terdapat pelbagai kelemahan, kekurangan dan salah komunikasi antara agensi yang mengendalikan kesnya.

Unit baharu itu menghimpunkan maklumat berkaitan daripada pelbagai agensi, bermula dengan Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan MSF.

Buat masa ini, SAFER akan memberi tumpuan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun apabila terdapat kebimbangan berkaitan perlindungan kanak-kanak. Petugas menilai maklumat yang dikenal pasti melalui SAFER, bersama pertimbangan profesional mereka, untuk menentukan sama ada tindakan lanjut diperlukan.

SAFER menggunakan algoritma risiko berasaskan data untuk “menggabungkan maklumat” daripada set data yang tersedia, termasuk kejadian berisiko dan tekanan terkini, bagi menilai keperluan berpotensi sesebuah keluarga dan mengenal pasti sokongan yang diperlukan.

Sebarang kebimbangan berisiko tinggi berkaitan perlindungan kanak-kanak akan disemak oleh petugas terlatih, yang akan menyemak fakta kes yang tersedia, berunding dengan pengurus kes sedia ada dan menggunakan pertimbangan profesional sebelum meningkatkan kebimbangan tersebut.

Apabila menerima amaran daripada SAFER, Perkhidmatan Perlindungan MSF akan menjalankan saringan risiko, pengumpulan maklumat dan “menilai penempatan kes yang sesuai” dalam tempoh sasaran tiga hari bekerja.

Menteri Negara Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Goh Pei Ming berkata: “Lebih awal kebimbangan dikenal pasti dan tindakan diambil, lebih baik peluang untuk memastikan keselamatan kanak-kanak kita serta menyokong keluarga.”

Beliau menambah unit SAFER menyokong, tetapi tidak menggantikan, pertimbangan profesional pegawai khidmat sosial dan pegawai perlindungan.

Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita