Skip to main content

Singapura

Unit baharu pemerintah siasat pertikaian jiran tetangga bukan bertujuan jadi 'responder pertama' setiap kes

Anggaran Waktu Membaca:
Unit baharu pemerintah siasat pertikaian jiran tetangga bukan bertujuan jadi 'responder pertama' setiap kes

(Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Sebuah unit pemerintah baharu yang mempunyai kuasa untuk menyiasat kes gangguan bunyi bising yang teruk jiran tetangga bukan bertujuan untuk menjadi "responder pertama" bagi setiap kes, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Selasa (12 Nov).

Ketika berucap di parlimen di mana Rang Undang-Undang Huraian Pertikaian Masyarakat (Pindaan) yang dibentangkan buat kali kedua, Encik Tong berkata bahawa Unit Hubungan Masyarakat (CRU) hanya akan menumpukan sumbernya kepada kes gangguan bunyi bising antara jiran tetangga yang menyebabkan "masalah" kepada masyarakat, serta kes 'pungut dan simpan barang'.

CRU mempunyai keupayaan untuk menilai tahap keterukan kes dengan fakta dan keadaan tertentu bagi setiap kes, tambah Encik Tong.

"Pegawai CRU akan menilai kes demi kes, dan mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian."

Menurut Encik Tong, secara umum, disebabkan "sifat sementara" bunyi bising, sebuah kes akan dianggap teruk sekiranya ia berterusan buat tempoh masa yang lama.

Meskipun demikian, beliau menarik perhatian bahawa dalam jumlah kes yang kecil, satu kejadian boleh dianggap sebagai teruk.

Memetik contoh seseorang yang menggerudi dindingnya pada pukul 3.00 pagi, dengan "niat" untuk membangunkan jirannya, Encik Tong berkata bahawa pegawai HDB mungkin meneliti perkara tersebut pada keesokan hari dan jika ia berlaku lagi, CRU mungkin menganggap kes itu sebagai "teruk”.

"Saya ingin memberi amaran bahawa kita perlu mengimbangi antara CRU untuk bertindak mengawal pertikaian, dan pada masa yang sama memberi ruang yang cukup bagi jiran tetangga menyelesaikan pertikaian antara mereka secara privet," tambah Encik Tong.

Beliau menambah bahawa dengan rangka kerja CRU, pemerintah sedang mengambil "langkah ke hadapan yang ketara" untuk membantu menyelesaikan kes serius, terutama jika ia berpotensi memberi kesan negatif yang meluas kepada masyarakat.

OPERASI UJI CUBA CRU BERMULA PADA 2025: SIM ANN

Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann berkata bahawa CRU sedang menyasar untuk memulakan operasi uji cubanya di Tampines mulai suku kedua 2025.

Tampines dipilih disebabkan jumlah kes puratanya jika dibandingkan dengan bandar lain di Singapura, kata Cik Sim.

Cik Sim juga menjelaskan mengenai kuasa CRU dan langkah keselamatan yang disediakan untuk melindungi penduduk.

Pertama sekali, Pegawai Hubungan Masyarakat (CRO) dan Pegawai Hubungan Masyarakat Bantuan perlu memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad pengenalan rasmi mereka.

Orang awam boleh ke laman web Kementerian Pembangunan Negara (MND) untuk mengesahkan identiti mereka. Menyamar sebagai pegawai adalah satu kesalahan jenayah.

CRO mempunyai kuasa untuk mengambil kenyataan, gambar dan rakaman, serta mengeluarkan nasihat dan amaran.

Meskipun nasihat dan amaran itu tidak membawa hukuman, tindakan penguatkuasaan selanjutnya boleh diambil jika ia tidak dipatuhi.

Bagi kes paling teruk melibatkan individu degil yang kerap membuat gangguan, CRU mungkin menyerahkan isu tersebut kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi lembaga itu mempertimbangkan pengambilan hartanah secara paksa.

Senario tersebut boleh berlaku jika langkah lain gagal untuk menyelesaikan gangguan itu, serta langkah diperlukan untuk melindungi masyarakat menyeluruh.

"HDB mungkin mempertimbangkan untuk merampas flat individu degil yang membuat gangguan bunyi, jika, sebagai contoh, pemilik atau penghuni disabit kesalahan oleh mahkamah sekurang-kurangnya dua kali kerana mengingkari arahan
Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) untuk tidak menetap di kediamannya," kata Cik Sim.

Encik Tong berkata proses pencarian fakta CRU akan digabungkan dengan prosiding CDRT.

Kuasa CDRT, yang kekal sebagai jalan terakhir untuk menyelesaikan pertikaian yang teruk, akan dipertingkatkan supaya ia boleh memberikan "huraian yang lebih cepat dan berkesan", kata Encik Tong.

Ini termasuk keperluan umum bahawa penduduk mesti mencuba jalani proses pengantaraan sebelum memfailkan tuntutan CDRT.
 
CRU MEMPUNYAI KUASA GUNA SENSOR BUNYI

Cik Sim berkata CRU akan menumpukan kepada "dua jenis utama kes gangguan bunyi yang teruk", iaitu:

1. Kes yang teruk dan berlarutan, di mana gangguan bunyi bising digunakan untuk menyebabkan penderitaan kepada jiran tetangga

2. Kes di mana tindakan yang menyebabkan gangguan bunyi bising disebabkan penyakit mental yang tidak diketahui

Sabagai sebahagian daripada kuasa mereka, CRO boleh menggunakan alat seperti sensor bunyi, untuk mengumpul bukti terhadap arah, masa dan intensiti kes gangguan bunyi bising.

Menurut Cik Sim, usaha pengadu untuk mengumpul bukti melalui rakaman audio, biasanya melalui telefon bimbit, selalunya tidak dapat menentukan intensiti atau arah bunyi bising tersebut. Rakaman juga mudah diputarbelitkan atau disunting. Oleh itu, ia tidak boleh dipercayai bagi siasatan rasmi atau prosiding mahkamah.

Cik Sim menegaskan bahawa langkah keselamatan untuk melindungi privasi penduduk ketika sensor bunyi digunakan akan disediakan.

Sensor bunyi akan digunakan selepas CRO melakukan siasatan awal dan mengenal pasti unit yang mungkin menyebabkan bunyi bising.

Sensor bunyi hanya akan dipasang di rumah, atau kawasan awam, dengan persetujuan pemilik rumah, penghuni atau ejen pengurusan.

PEGAWAI BOLEH MASUK RUMAH UNTUK BUANG BARANG DIKUMPUL

Sebagai satu lagi langkah keselamatan, data yang dikumpul oleh sensor bunyi, seperti perbualan, akan dihantar dalam masa nyata kepada sistem pelayanan berpangkalan di Singapura untuk diproses. Data tersebut akan dipadam secara automatik selepas diproses, dan hanya data yang diproses akan disimpan untuk siasatan dan prosiding mahkamah CRU.

Data tersebut tidak akan diberikan kepada pegawai.

Data yang diproses akan memberikan bukti objektif, tidak menjejas arah, masa dan intensiti kejadian bunyi bising selain bunyi persekitaran yang lain, kata Cik Sim.

Bagi kes di mana tindakan menyebabkan gangguan bunyi bising berpunca daripada kesihatan mental, CRO akan bekerjasama dengan agensi rakan kongsi seperti Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Institut Kesihatan Mental (IMH) dan polis, untuk memudahkan penilaian, pengesahan dan rawatan kesihatan mental individu.

Sebagai langkah terakhir, Ketua Pengarah Perhubungan Masyarakat boleh membuat permohonan kepada CDRT, yang boleh mengeluarkan perintah rawatan wajib.

Undang-undang itu juga akan mempunyai seksyen baharu yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Hubungan Masyarakat untuk memohon kepada CDRT supaya membersihkan unit kediaman, sebagai "langkah terakhir berdasarkan kepentingan awam", kata Cik Sim.

Ia akan digunakan untuk kes 'pungut dan simpan barang' yang teruk, di mana agensi barisan hadapan sudah menggunakan semua cara untuk menyelesaikan masalah dengan individu yang mengumpul barang tersebut.

Ketua Pengarah Hubungan Masyarakat boleh memohon kepada CDRT untuk perintah pembersihan secara paksa.

Dengan perintah itu, CRO akan diberi kuasa untuk memasuki unit yang terbabit, mengeluarkan dan membuang sebarang bahan dan/atau barang yang disimpan yang menyebabkan gangguan yang tidak munasabah, dan mengambil tindakan lain ditentukan oleh mahkamah.
 
PERDAMAIAN DIUTAMAKAN

Meskipun pemerintah mengenalkan perubahan demikian, tujuannya adalah untuk membina "masyarakat yang kuat, berdaya tahan dan bersatu padu," kata Encik Tong.

Terdapat langkah-langkah yang diambil untuk memupuk pemahaman yang dikongsi tentang kebiasaan masyarakat di kalangan penduduk berkaitan gangguan bunyi bising, kata Encik Tong. Salah satu inisiatif adalah Panel Penasihat Masyarakat mengenai Bunyi Bising antara Jiran Tetangga.

Walau bagaimanapun, memandangkan pertikaian tetap berlaku, "panduan utama" adalah jiran tetangga perlu menyelesaikan masalah secara "proaktif dan membina", serta cuba bertolak ansur, kata Encik Tong.

Meskipun dengan rangka kerja baharu, ia adalah cara terbaik untuk menyelesaikan pertikaian antara jiran, tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita