Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Unit baharu pemerintah akan siasat kes pertikaian serius jiran tetangga

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2024 05:34PM Dikemas Kini : 12 Aug 2024 08:44PM
SINGAPURA: Sebuah unit baharu pemerintah yang mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat pertikaian serius antara jiran tetangga mengenai bunyi bising, termasuk keupayaan untuk memasang sensor bunyi bising, dijangka beroperasi pada lewat tahun ini.

Ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan huraian bagi pertikaian sedemikian.

Demikian diumumkan tiga kementerian pada Isnin (12 Ogos).

Unit Hubungan Masyarakat (CRU) boleh menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kes pertikaian jiran tetangga yang serius termasuk bunyi bising dan tabiat mengumpul barang secara berlebihan, jelas Kementerian Undang-Undang, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, serta Kementerian Pembangunan Negara.

Cabang baharu tersebut adalah sebahagian daripada usaha peningkatan kepada Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF), yang ditubuhkan pada 2014 unuk membantu dalam masalah pertikaian jiran tetangga.

Peningkatan CDMF itu akan diperkenalkan di Parlimen melalui Rang Undang-Undang Huraian Pertikaian Masyarakat (Pindaan), yang akan dibentangkan bagi bacaan pertama pada lewat tahun ini.

Tiga kementerian tersebut mengadakan rundingan awam dan perbincangan kumpulan tertumpu bagi CDMF sejak Mei tahun lalu untuk mendapatkan maklum balas mengenai pembangunan masyarakat serta pertikaian jiran tetangga.

Mereka mengatakan bahawa kebanyakan responden menjangkakan pemerintah untuk mempunyai bidang kuasa yang lebih luas untuk campur tangan dalam sebilangan kecil kes "yang sangat teruk".

Ini termasuk mereka yang membuat bising sebagai cara untuk menganggu jiran tetangga mereka. Percubaan sebelum ini yang dilakukan melalui sesi dialog dan untuk mencapai kata sepakat terbukti tidak berhasil.

PROJEK UJI CUBA SELAMA SETAHUN, BERMULA DENGAN TAMPINES

Selepas Rang Undang-Undang tersebut diluluskan CRU - yang sekarang merangkumi seramai 15 kakitangan - akan diuji cuba selama setahun di estet Lembaga Perumahan di satu sehingga dua bandar, bermula dari Tampines. Kementerian-kementerian tersebut menyatakan Tampines mempunyai "beban kes purata" berbanding bandar-bandar lain.

Pihak berkuasa kemudian akan menyemak semula CRU tersebut dan menilai bagaimana ia boleh dipertingkatkan secara mampan.

Dengan tenaga kerjanya terdiri daripada para pegawai hubungan masyarakat (CRO), unit tersebut akan diberikan kuasa penyiasatan serta penguatkuasaan untuk campur tangan dalam kes pertikaian serius yang berkait dengan bunyi bising.

Mereka boleh:
  • Mengambil kenyataan daripada pihak-pihak yang terlibat
  • Memasuki kediaman untuk mendapatkan bukti - dengan kebenaran pemilik, penghuni, atau dengan kelulusan Ketua Pengarah Hubungan Masyarakat
  • Mengeluarkan arahan pengantaraan untuk mengkehendaki jiran tetangga yang terlibat supaya menghadiri sesi pengantaraan, jika kes tersebut didapati sesuai bagi usaha pengantaraan
  • Mengeluarkan makluman, amaran atau arahan pemberhentian yang memerlukan individu terbabit mengambil langkah-langkah yang wajar untuk berhenti daripada mencetuskan gangguan bising itu
  • Memerlukan penghapusan objek yang mencetuskan gangguan tersebut menyusuli jumlah amaran yang mencukupi yang dikeluarkan serta kebenaran daripada ketua pengarah itu

LEBIH BANYAK SENSOR BUNYI BISING DIPASANG

CRU itu juga akan memasang sensor bunyi bising untuk mendapatkan bukti objektif berhubung arah, waktu dan kadar bunyi bising tersebut, jelas kementerian-kementerian tersebut.
Gambar: Ili Nadhirah Mansor/CNA
"Ini menangani jurang yang sedia ada, di mana rakaman bunyi yang dibuat pengadu biasanya (didapati) tidak berguna bagi tujuan menentukan kelantangan bunyi (memandangkan rakaman sedemikian boleh terganggu) atau sumber bunyi itu," jelasnya dalam satu kenyataan media.

Sensor itu merupakan satu pilihan dan akan hanya diletakkan di dalam rumah penduduk dengan kebenaran penghuni atau pemilik itu sahaja. Ia juga boleh dipasang di kawasan-kawasan yang dikongsi, seperti koridor bersama, dengan kebenaran ejen yang menguruskannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan