Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

UNIQLO peruncit pertama di S'pura yang dapat latihan inklusif dari Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cuba mengambil barangan menggunakan kerusi roda ataupun memakai gogal untuk rasakan sendiri pengalaman berbelanja mereka yang menghadapi masalah pergerakan ataupun penglihatan.

Itulah antara yang dilalui kakitangan UNIQLO dalam latihan dua hari yang dikendalikan Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal (SPD).

Menurut SPD, peruncit itu merupakan yang pertama di Singapura mendapatkan latihan inklusif itu.

Latihan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja tentang kesukaran yang dihadapi golongan kurang upaya apabila datang berkunjung ke kedai mereka.

Ini sejajar dengan konsep syarikat dari Jepun itu iaitu 'Lifewear: Direka Untuk Semua'.

--

"Kami ingin mewujudkan persekitaran kondusif dan inklusif kepada semua yang mengunjungi cawangan-cawangan kami," jelas Penolong Pengurus Cawangan UNIQLO, Cik Rusda Abdul Wahid.

Sebagai permulaan, seramai 10 kakitangan dari cawangan UNIQLO di 51@ Ang Mo Kio menjalani sesi latihan pertama itu.

Syarikat itu merancang untuk melatih lagi 60 pekerjanya secara bertahap-tahap.

"Kebanyakan antara kami tidak mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan golongan kurang berupaya. Oleh itu, mungkin terdapat kebimbangan dalam kalangan kakitangan untuk berinteraksi dengan pelanggan yang kurang berupaya dan berkeperluan khas. Dengan latihan ini, pekerja kami secara beransur akan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam, bersikap empati serta menghargai bagaimana untuk menawarkan khidmat pelanggan kepada mereka." kongsi Cik Rusda.

GUNA KERUSI RODA, GUNI PASIR DAN GOGAL

Semasa latihan, para pelatih juga berpeluang untuk menggunakan kerusi roda.

Ini bagi membolehkan mereka mengalami sendiri cabaran-cabaran yang lazim dihadapi golongan yang berkerusi roda seperti mengharungi laluan yang sempit bagi mendapatkan barangan yang ingin dibeli mereka.

Selain kerusi roda, para peserta latihan tersebut juga menggunakan tiga jenis gogal untuk melihat sendiri kadar penglihatan yang berbeza bagi golongan kurang upaya.

--

Ini termasuk penglihatan golongan yang menghadapi 'retinopati kencing manis mahupun 'tunnel vision'.

Bagi memahami kesukaran mereka yang menghadapi masalah pergerakan pula, guni pasir diikat pada lengan mereka untuk alami sendiri betapa susah untuk mencapai sesuatu.

Menurut Cik Rusda, latihan itu juga bertujuan untuk membina budaya yang mengambil berat dalam kalangan pekerjanya.

Ini di samping menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih inklusif termasuk bagi golongan berkeperluan khas.

Tambahnya, bilik salinan mesra kerusi roda yang didapati di cawangan ini juga bakal disediakan di cawangan barunya di The Clementi Mall.

Bagi SPD, usaha menimbulkan kesedaran adalah penting bagi mencetus perubahan dalam budaya perniagaan.

--

"Apa yang kami lakukan adalah kami memperkenalkan mereka tentang kesedaran ketidakupayaan, jenis-jenis ketidakupayaan, tip-tip praktikal bagaimana mereka boleh berinteraksi dan membantu para pelanggan yang kurang upaya. Saya rasa kami ingin syarikat-syarikat memikirkan tentang kemudahan, memikirkan tentang rekaan universal dan ini semua adalah pemahaman perniagaan yang baik," kata jurucakap Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal, Cik Geraldine Lai.

"Apabila perniagaan mudah diakses, ia memberi manfaat kepada golongan kurang upaya dan bukan sahaja mereka. Masyarakat lain seperti warga tua, kaum ibu bapa dengan kanak-kanak kecil, sorong bayi, mereka menerima manfaat daripada rekaan universal," tambah beliau.

HARAP LEBIH BANYAK KEDAI PEKA KEPERLUAN GOLONGAN KURANG UPAYA

Selain mempunyai pekerja yang terlatih dalam bidang itu, beberapa penyesuaian juga dibuat di cawangan UNIQLO di 51@ Ang Mo Kio seperti meluaskan lagi laluan antara rak-rak baju.

Langkah ini amat dialu-alukan pelanggan Encik Muhammad Hussain Abdul Jabbar yang berkerusi roda.

--

"Kadang-kadang pusat beli-belah sempit susah mahu jalan. Kalau ramai orang sempit susah kan. Kerusi roda nak jalan pun susah. Kita takut langgar kaki orang. Kalau macam ini lagi bagus. Kita pun mahu pergi membeli-belah senang," ujar Encik Hussain.

Beliau berharap amalan baik yang dilaksanakan UNIQLO ini akan diperluaskan ke cawangan-cawangan lain dan boleh dicontohi para peruncit lain untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih inklusif.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan