UNESCO iktiraf kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai
Pencalonan itu dibuat oleh lima negara termasuk SG. Sebelum ini, budaya penjaja SG disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.
Hasil pencalonan itu diumumkan semasa Sesi ke-19 Persidangan Jawatankuasa Antara Pemerintah bagi Memelihara Warisan Budaya Tidak Ternilai.
Persidangan itu diadakan di Asunción, Republik Paraguay pada Selasa (4 Dis).
Kebaya dicalonkan sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Mac 2023 oleh lima negara iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Thailand.
Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), kebaya membentuk lambang penting dalam khazanah warisan orang Melayu Singapura dan juga warisan negara sebagai bandar pelabuhan suatu ketika dahulu yang mencerminkan kerencaman budaya di Asia Tenggara.
Pencalonan ke UNESCO itu dinilai dari segi beberapa aspek termasuk usaha sedia ada dan rancangan pihak yang membuat pencalonan, untuk terus memelihara dan memartabatkan warisan tersebut.
Singapura misalnya telah melancarkan pameran bergerak 'Love, Kebaya' yang menyerlahkan beberapa reka bentuk kebaya.
BERITA Mediacorp juga menerbitkan sebuah dokumentari khas 'Kebaya Gaya Nusantara' dan Pameran Gaya Kebaya.
Di Indonesia pula, Hari Kebaya Nasional telah diadakan dan pada Julai lalu, ia mencipta rekod baharu apabila seramai 9,250 wanita memakai kebaya sempena sambutan hari tersebut.
WARISAN BUDAYA TIDAK TERNILAI UNESCO
Selain kebaya, beberapa lagi pencalonan warisan budaya tidak ternilai diiktiraf UNESCO di sesi ke-19 persidangan itu.
Ini termasuk:
1) Seni menghasilkan dan bermain alat muzik rebab yang dicalonkan oleh Afghanistan, Iran, Tajikistan dan Uzbekistan
2) Budaya pesta ria 'funfair' yang dicalonkan Perancis dan Belgium
Setakat 4 Disember 2024, sebanyak 749 warisan budaya dari 146 negara sudah diiktiraf dalam Senarai UNESCO.
Antaranya termasuk warisan berkaitan inai, songket, silat, pantun dan keris.
Sebelum ini, budaya penjaja dari Singapura telah diiktiraf pada 2020.
Seterusnya, Singapura dan Malaysia akan mencalonkan Chingay untuk disertakan ke dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Mac 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.