Undi pos bagi rakyat SG luar negara antara perubahan undang-undang pilihan raya
Perubahan lain termasuk mempunyai aturan mengundi khas bagi penghuni rumah jagaan dan kemas kini pada peraturan bagi pengiklanan pilihan raya online.
(Gambar fail: TODAY)
Perubahan lain termasuk mempunyai aturan mengundi khas bagi penghuni rumah jagaan dan kemas kini pada peraturan bagi pengiklanan pilihan raya online.
Pindaan kepada Akta Pilihan Raya Presiden dan Akta Pilihan Raya Parlimen selaras dengan usaha berterusan Jabatan Pilihan Raya (ELD) "bagi memperbaiki... proses dan pentadbiran pilihan raya," kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing ketika beliau membentangkan Rang Undang-Undang tersebut bagi bacaan kedua.
"Usulan ini akan membantu meningkatkan kebolehcapaian pengundi serta memberikan lebih banyak kepercayaan dan keyakinan terhadap pentadbiran dan proses pilihan raya kami," kata Encik Chan, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam.
Rang Undang-Undang itu diluluskan di parlimen meskipun sembilan Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP) memutuskan untuk tidak mengundi bagi meminda Akta Pilihan Raya Presiden.
Berikut antara perubahan penting yang perlu anda tahu:
1. UNDIAN MELALUI POS BAGI RAKYAT SG DI LUAR NEGARA
Pilihan baru ini akan membenarkan mereka yang menetap di luar negara untuk mengundi walaupun terdapat gangguan pada perjalanan, kata Encik Chan.
Beliau menambah bahawa ELD akan melaksanakan "proses yang disokong teknologi" bagi memastikan integriti dan kerahsiaan undian pos.
Ini termasuk pendaftaran pada khidmat pengundi online ELD dengan menggunakan Singpass. Mereka yang mahu mengundi melalui pos perlu memuat naik tanda tangan berdakwat yang akan digunakan bagi pengesahan.
2. LEBIH MUDAH BAGI PENGHUNI RUMAH JAGAAN
Pindaan yang diluluskan pada Isnin juga akan membolehkan penghuni rumah jagaan mendapatkan "aturan undian khas", lantas menjadikannya lebih mudah bagi mereka membuat undian di sana, umum Encik Chan.
Aturan sedemikian termasuk membuka pusat mengundi khas dalam kawasan rumah jagaan berkenaan dan mengerahkan pasukan mengundi mudah alih untuk mengumpulkan kertas undi daripada pengundi yang terlantar di katil di rumah-rumah jagaan.
3. KEMAS KINI PADA UNDANG-UNDANG PENGIKLANAN PILIHAN RAYA
Ini lima pindaan yang melibatkan pengiklanan pilihan raya online (OEA) yang akan berkuat kuasa di bawah undang-undang yang disemak.
Pertama, skop OEA dilanjutkan untuk merangkumi akses yang dipertingkat, seperti meningkatkan, membuat catatan semula atau berkongsi OEA sedia ada.
Kedua, meluaskan akses kepada kandungan OEA yang diterbitkan sebelum tempoh bertenang semasa Hari Bertenang dan Hari Pengundian adalah dilarang, kata Encik Chan.
Ketiga, kandungan OEA kini akan dikira sebagai diterbitkan di SG jika kandungannya boleh diakses dari Singapura atau jika ia berasal dari Singapura, tambahnya.
Keempat, butiran individu yang meluluskan kandungan OEA kini mesti dipaparkan.
Kelima, Pegawai Pengurus Undi kini memiliki kuasa yang lebih luas dalam menangani pelanggaran undang-undang OEA.
4. PERUBAHAN LAIN BAGI MEMPERBAIKI PROSES PILIHAN RAYA
Undang-undang yang disemak juga akan menjelaskan dan meningkatkan proses pilihan raya melalui tiga pindaan utama.
Pertama, Pegawai Pengurus Undi akan dibenarkan membuka pusat mengundi di "divisyen pilihan raya berhampiran" sekiranya ia memberi manfaat kepada sebahagian besar pengundi yang tinggal berhampiran sempadan pilihan raya.
Kedua, semua individu bawah 16 tahun dilarang mengambil bahagian dalam kegiatan pilihan raya. Larangan "berdasarkan usia" ini adalah "pendekatan yang lebih konsisten", jelas Encik Chan.
Ketiga, larangan ke atas warga asing daripada menyertai kegiatan pilihan raya akan dilanjutkan kepada entiti asing seperti syarikat luar negara. Ini demi memastikan "politik Singapura hanya ditentukan oleh rakyat Singapura", kata menteri itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.