Undangan buat persembahan percuma di NDP2022 cetus kemarahan penghibur jalanan

(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Sesetengah penghibur jalanan berasa kecewa kerana dijemput untuk membuat persembahan bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tanpa bayaran dan hanya dengan notis seminggu sebelum sambutan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.
Dengan rasa tidak senang itu, tidak jelas sama ada rancangan Jawatankuasa NDP2022 akan diteruskan.
Mediacorp sudahpun menghubungi jawatankuasa tersebut untuk mengulas tentang dakwaan itu.
Encik Jonathan Goh, 26 tahun, seorang penghibur jalanan yang melakukan aksi sarkas, pada Rabu (3 Ogos) berkata sekalipun penghibur jalanan tidak diberikan bayaran untuk membuat persembahan, pihak penganjur sepatutnya menawarkan untuk membiayai kos pengangkutan dan makanan.
Menerusi temu bual melalui panggilan telefon dengan Mediacorp, Encik Goh berkata: "Bagi saya atau beberapa pemuzik jalanan ini, kami perlu menaiki teksi (disebabkan oleh peralatan kami) dan tambang teksi boleh mencecah sehingga S$40. Jika kami hendak menuju ke kawasan-kawasan kejiranan atau sekiranya terdapat pertunjukan bunga api, maka tambang teksi akan meningkat. Banyak masa dan tenaga perlu diluangkan."
Encik Goh yang juga adalah pengerusi bersama Persatuan Penghibur Jalanan Singapura, menarik perhatian bahawa undangan kepada penghibur jalanan itu menjelaskan bahawa aksi sarkas tidak diinginkan, tetapi menambah bahawa beliau setakat mengulas mengenai kos yang perlu ditanggung oleh para penghibur jalanan yang membuat persembahan di acara-acara tempatan.
Setelah beliau menerima mesej daripada Jawatankuasa NDP2022, yang dihantar kepada kumpulan sembang WhatsApp dengan 129 penghibur jalanan lain pada 1 Ogos, Encik Goh memutuskan untuk menyentuh tentang isu ini di Facebook.
Sejauh ini, hantarannya itu dikongsi lebih 20 kali.
Mesej itu turut dihantar oleh seorang lagi penghibur jalanan, tetapi disampaikan "bagi pihak Jawatankuasa NDP2022". Menurut penghibur jalanan itu, pihak penganjur "berminat untuk memaparkan persembahan penghibur jalanan seperti mendendangkan lagu-lagu NDP" dan tiada bayaran akan diberikan bagi persembahan mereka.
Mediacorp sudah mengesahkan bahawa mesej daripada jawatankuasa itu adalah sahih.
Bagi sambutan NDP tahun ini, jawatankuasa tersebut sudah merancang pelbagai sambutan di kawasan-kawasan kejiranan di merata negara, seperti di Stadium Bedok, Stadium Jurong West dan kawasan tanah lapang bersebelahan dengan Perpustakaan Awam Ang Mo Kio.
Selain sambutan sepanjang hujung minggu menjelang NDP, pertunjukan bunga api akan diadakan di lima kawasan kejiranan.
Mediacorp sudah menanyakan jawatankuasa tersebut pada Rabu (3 Ogos) mengenai bila ia merancang untuk menyertakan persembahan penghibur jalanan dan mengapa ia memutuskan untuk menjemput para penghibur jalanan untuk membuat persembahan secara sukarela.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.