Skip to main content

Singapura

Undang-undang sempadan Malaysia dikuat kuasa di zon tertentu stesen RTS Link SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Apr 2026 10:28PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 01:59PM
SINGAPURA: Undang-undang sempadan Malaysia akan dikuatkuasakan di sebahagian kawasan Stesen Woodlands North bagi rangkaian RTS Johor Bahru-Singapura akan datang, di bawah cadangan undang-undang yang dibentangkan di parlimen pada Selasa (6 Apr).

Kawasan tersebut akan ditetapkan sebagai zon kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) Malaysia. Di sini, pegawai Malaysia diberi kuasa untuk menjalankan tugas seperti memeriksa dokumen perjalanan, menyaring pelawat dan menyekat kemasukan individu atau barangan yang menuju ke Malaysia, menurut kenyataan media Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Sekalipun demikian, undang-undang Singapura tetap terpakai di kawasan tersebut. Kuasa pegawai Malaysia hanya sah dalam skop tugas rasmi mereka sahaja.

Di bawah Rang Undang-Undang Landasan Kereta Api Rentas Sempadan (Penempatan Bersama Kawalan Sempadan) yang dibentangkan oleh Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, pegawai Malaysia juga akan mendapat perlindungan dan kekebalan tertentu semasa bertugas di sini.

Sebagai contoh, mereka akan dianggap sebagai penjawat awam. Sebarang kesalahan yang dilakukan terhadap mereka akan dikendalikan di bawah undang-undang Singapura, sama seperti kesalahan terhadap pegawai awam Singapura.

"Terdapat langkah keselamatan dalam pelaksanaan kuasa ini. Contohnya, pegawai Malaysia tidak dibenarkan penangkapan di Singapura. Jika mereka menahan mana-mana orang atau barang, mereka mesti menyerahkan tahanan tersebut kepada pegawai Singapura secepat mungkin," menurut MHA.

Pegawai Malaysia yang bertugas di sini juga perlu mendapat kelulusan daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, yang berhak menolak atau menarik balik kebenaran tersebut tanpa memberikan sebarang alasan.

ASAS TIMBAL BALIK

Apabila mula beroperasi kelak, RTS Link mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sehala sejam. Perjalanan antara Stesen Woodlands North dan Bukit Chagar hanya mengambil masa kira-kira lima minit.

RTS Link dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun 2026.

MHA menjelaskan bahawa dengan menempatkan kemudahan CIQ kedua-dua negara di setiap stesen, pelawat hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen sekali sahaja - iaitu di tempat mereka menaiki kereta api - menjadikan proses lebih cekap dan lancar.

Kuasa dan perlindungan yang diberikan kepada pegawai adalah berasaskan prinsip timbal balik. Ini bermakna pegawai Singapura juga akan menikmati syarat yang sama apabila bertugas di Stesen Bukit Chagar, Malaysia.

Jika undang-undang ini diluluskan, pegawai Singapura yang dihantar ke Malaysia akan mempunyai kuasa, hak, dan kekebalan yang sama di bawah undang-undang Singapura seperti mana mereka bertugas di sini.

Kedua-dua pihak akan terus memantau operasi keselamatan dan menguruskan insiden di dalam wilayah dan kawasan masing-masing. Sebarang kejadian yang berlaku di zon Malaysia di Stesen Woodlands North akan dikendalikan oleh Singapura, manakala Malaysia akan menguruskan kejadian yang berlaku di Stesen Bukit Chagar.

Malaysia juga meluluskan undang-undang yang sama di pihak mereka melalui Rang Undang-Undang RTS Johor Bahru-Singapura 2026 pada awal bulan lalu.

OPERASI KESELAMATAN DAN KECEMASAN

Di bawah cadangan undang-undang ini, Singapura dan Malaysia akan berkongsi bidang kuasa jenayah bagi kejadian yang berlaku di dalam kereta api yang sedang bergerak atau di atas landasan kereta api.

"Secara amnya, negara di mana perjalanan kereta api itu berakhir mempunyai hak utama untuk menjalankan bidang kuasa undang-undang," menurut MHA.

Namun, sesebuah negara boleh meminta pihak yang satu lagi untuk melepaskan hak tersebut jika terdapat kepentingan awam yang lebih besar untuk mereka menyiasat dan mendakwa kes tersebut. Pendekatan ini adalah untuk memberikan kejelasan jika lokasi sebenar sesuatu kesalahan itu tidak dapat dipastikan.

Undang-undang ini juga membolehkan pasukan penyelamat Singapura, seperti Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), untuk membantu dalam kecemasan yang berlaku di dalam atau berhampiran kereta api di bahagian landasan milik Malaysia, dan begitu juga sebaliknya.

Pihak berkuasa kedua-dua negara bekerjasama menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap untuk pengurusan insiden bagi memastikan keselamatan para penumpang dan pelawat.

Semua maklumat dan data yang dikumpul oleh pegawai Singapura semasa bertugas di Malaysia akan dianggap seolah-olah ia dikumpul di Singapura dan tertakluk kepada undang-undang Singapura.
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita