Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang luputkan imej pengutip hutang seakan 'samseng' atau 'tailong'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Undang-undang yang diusulkan untuk mengawal selia kegiatan mengutip hutang, dengan langkah-langkah seperti pemeriksaan polis dan rejim pelesenan, akan membantu dari segi profesionalisme dan menyingkirkan stigma yang dikaitkan dengan industri berkenaan.

Demikian dinyatakan oleh syarikat-syarikat pemungut hutang kepada Mediacorp.

"Undang-undang ini akan memperbaiki tanggap umum bahawa semua pemiutang adalah "samseng" dan "tailong," kata Pengasas Rocket Debt Collection Christabel Sia.

"Ia juga membantu untuk mengukuhkah dan meningkatkan keyakinan para pelanggan behawa mereka memlilih agensi yang sah di sisi undang-undang serta beretika."

Beberapa firma pemungut hutang bagaimanapun meluahkan kebimbangan mengenai kesan yang berpotensi terhadap pengambilan kakitangannya dek peraturan yang lebih ketat.

Diperkenalkan di Parlimen pada Isnin (1 Ogos), Rang Undang-undang Kutipan Hutang bertujuan untuk menyediakan pihak polis kuasa yang diperlukan bagi membendung amalan pengutipan hutang yang "bermasalah".

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menarik perhatian dalam satu kenyataan media bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat "jumlah tinggi aduan polis" yang dibuat terhadap syarikat pemungut hutang dan pemiutang yang mengutip hutang dalam cara yang mencetuskan "rasa cemas serta gangguan" kepada masyarakat awam.

"Mengutip hutang adalah kegiatan sah yang membantu untuk memenuhi kewajipan kewangan,"jelas MHA.

Kementerian tersebut menambah ia akan mengamalkan pendekatan pragmatik untuk mengawal selia kegiatan seumpama itu.

Encik Israel Shankar Ganesh, ketua guaman untuk agensi pengutipan hutang JMS Rogers berkata kenyataan daripada MHA itu menyingkirkan "salah tanggapan yang meluas bahawa kegiatan memungut hutang adalah haram".

Undang-undang yang diusulkan itu akan melindungi masyarakat umum dengan lebih baik dan sekali gus, mendidik mereka tentang tindakan oleh pemungut hutang yang dilarang di sisi undang-undang, tambah beliau.

KESAN TERHADAP PENGAMBILAN KAKITANGAN

Di bawah Rang Undang-undang itu, sesiapa yang ingin menjadi seorang pemungut hutang untuk firma pemungut hutang yang berlesen harus mendapat kelulusan oleh pihak polis.

Pemungut hutang tertakluk kepada pemeriksaan oleh pihak polis dan mesti dinilai sebagai "layak serta sesuai" untuk peranan tersebut.

Pemeriksaan sedemikian akan memerlukan usaha tambahan di pihak firma pemungut hutang, kata Encik Ganesh.

"Kami tentunya boleh menjangkakan kelengahan dalam proses pengambilan pekerja kerana pertubuhan perlu melakukan pemeriksaan latar belakang yang lebih teliti terhadap individu-individu yang berminat untuk menyertai industri ini," kata beliau.

Encik Alan dari Resolute Debt Recovery pula berkata undang-undang yang diusulkan itu mungkin akan "menyebabkan banyak firma gulung tikar kerana kebanyakan kakitangan pemungut hutang ini merupakan bekas banduan".

Seorang pekerja Accurate Debt Recovery, Tommy Yong, memberitahu Mediacorp bahawa operasi syarikat itu pasti akan terjejas sekiranya kakitangannya gagal dalam pemeriksaan polis.

Encik Yong dan agensi pemungut hutang lain juga menyatakan kebimbangan bahawa dengan undang-undang yang diusulkan itu, individu yang berhutang akan mencari cara lain ataupun alasan untuk mengelak daripada membuat pembayaran. Sebagai contoh, memberikan alamat tempat kerja dan bukannya alamat rumah mereka.

Rang Undang-undang itu mengusulkan bahawa syarikat pemungut hutang tidak boleh menyiarkan atau menampalkan notis berhubung hutang di hartanah yang bukan dimiliki oleh individu yang berhutang, di tempat kerjanya ataupun mana-mana tempat awam.

Pemungut hutang juga tidak boleh memaparkan atau menggunakan sebarang perkataan, tingkah laku, tulisan ataupun tanda yang berunsur ugutan.

Beberapa firma bagaimanapun menyatakan bahawa mereka tidak bimbang kerana selama ini sudahpun mematuhi kod tatakelakuan yang ditetapkan oleh Persatuan Kutipan Hutang Singapura.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan