Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang lindungi Tanah Negara syor hukuman lebih berat, kuasa buat pegawai penguatkuasa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu Rang Undang-Undang Perlindungan Tanah Negara yang baru dibentangkan di Parlimen pada Isnin (7 Nov) yang mengusulkan untuk menaikkan denda maksimum ke atas pesalah yang menceroboh atau merosakkan tanah negara.

Rang Undang-Undang itu dibentangkan buat bacaan kali pertama oleh Setiausaha Parlimen Kanan Undang-undang, Rahayu Mahzam. Ia bertujuan menggubal Akta baru untuk menggantikan Akta Pencerobohan Tanah Negara (SLEA) yang kali terakhir disemak 48 tahun lalu pada 1974.

"Sejak itu, ada jenis pencerobohan dan penyalahgunaan Tanah Negara telah berubah. Banyak peruntukan dalam SLEA sudah lapuk dan tidak lagi berkesan," kata Penguasa Tanah Singapura (SLA) dalam satu kenyataan media.

SLA menyatakan pindaan itu akan memastikan "sumber tanah yang terhad" dilindungi dengan lebih baik daripada kerosakan dan penggunaan tidak wajar yang boleh menjejas pembangunan dan mewujudkan isu keselamatan awam.

Contoh pencerobohan termasuk membina atau memasang struktur sementara seperti atap, pembuangan secara haram dan tanaman di tanah negara.

Jika Rang itu diluluskan, denda maksimum bagi semua kegiatan tidak dibenarkan di tanah negara akan dinaikkan kepada S$50,000 daripada S$5,000.

Pesalah juga boleh dipenjara tidak lebih daripada enam bulan, yakni tidak berubah daripada undang-undang sedia ada.

Jika pesalah terus melakukan kesalahan,mereka boleh didenda sehingga S$500 bagi setiap hari kesalahan itu berlaku selepas sabitan.

Bagi pesalah berulang, hukuman maksimum digandakan kepada denda sehingga S$100,000 dan penjara sehingga 12 bulan.

KUASA PEGAWAI PENGUATKUASAAN

Kesalahan baru seperti meletak kenderaan di tanah negara juga dimasukkan dalam Rang itu, sementara klausa yang sudah lapuk dimansuhkan, misalnya menambat haiwan ternakan di tanah negara.

Pegawai penguat kuasa juga ditambah kuasa mereka untuk terus mengeluarkan notis pencerobohan kepada pesalah.

Misalnya, mereka boleh mengeluarkan notis kepada pesalah untuk meninggalkan tempat itu, atau merobohkan dan/atau mengalihkan struktur haram tanpa memohon kepada mahkamah.

Akta baru itu juga memperuntukkan denda bagi kesalahan kecil supaya pesalah boleh didenda sehingga S$5,000 tanpa perlu memulakan prosiding jenayah di mahkamah.

Perubahan itu sebahagian daripada tidak balas terhadap maklum balas awam dan kes penyalahgunaan tanah negara selama ini.

Pindaan pada Rang itu juga akan memendekkan tempoh notis untuk menuntut tanah yang terbiar.

Di bawah undang-undang sekarang, tanah yang terbiar selama tiga tahun atau lebih lam akan diserahkan kepada negeri jika tiada sesiapa yang menuntutnya enam bulan selepas warta dan notis mengenainya diterbitkan dalam empat bahasa rasmi.

Tempoh tuntutan kini dipendekkan kepada tiga bulan untuk mempercepatkan proses, menurut SLA.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan