Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang larang berhentikan pekerja dek usia ibarat "senjata makan tuan"

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang larang berhentikan pekerja dek usia ibarat "senjata makan tuan"

Pekerja lanjut usia dalam seragam membungkus makanan tengah hari mereka. (Gambar fail: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 06 Oct 2022 08:44AM Dikemas Kini : 06 Oct 2022 08:44AM
SINGAPURA: Undang-undang yang bertujuan untuk melindungi para pekerja lanjut usia daripada diberhentikan disebabkan umur mereka mungkin tidak menguntungkan bagi mereka.

Demikian menurut Anggota Parlimen (AP) Jessica Tan, sambil menambah bahawa para majikan harus melakukan lebih banyak lagi untuk menguruskan tenaga kerja berbilang generasi.

Ini mungkin termasuk memastikan semua pekerja, tidak mengira usia mereka, menimba kemahiran-kemahiran berkaitan pekerjaan setiap beberapa tahun sekali.

AP Jessica Tan, AP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast, berucap tentang Akta Persaraan dan Pengambilan Bekerja Semula, yang memerlukan para majikan menggajikan semula pekerja yang layak, yang sudah mencecah usia persaraan 63 tahun, sehingga usia pengambilan bekerja semula 68 tahun.

Beliau memberitahu Parlimen pada Rabu (5 Okt) bahawa perbincangan kumpulan berfokus dengan para karyawan sumber manusia mendapati undang-undang itu ibarat "senjata makan tuan" dari segi pengambilan pekerja lanjut usia.

Ia menyebabkan para majikan "bersifat berat sebelah yang tidak disengajakannya" apabila menggajikan pekerja lanjut usia bagi peranan-peranan kerja.

"Sedang syarikat mempertimbangkan untuk menggajikan seseorang yang lanjut usia dan yang hanya mempunyai tempoh singkat sebelum bersara, (majikan) mungkin melihatnya sebagai risiko untuk menggajikan seseorang sekiranya individu itu kemudian didapati tidak sesuai bagi peranan yang diberikan, kerana syarikat kemudian terpaksa menggajikan semula individu tersebut apabila sampai usia persaraan mereka," jelas Cik Tan.

Beliau berkata demikian semasa berkongsi dapatan tinjauan dan perbincangan kumpulan berfokus yang dijalankan oleh Kumpulan Kanan PAP semasa usul penangguhan di Parlimen.

Kumpulan oleh PAP itu memperjuangkan warga senja dan Cik Tan merupakan penasihat daerah Tenggara.

Tinjauan online itu, yang dijalankan pada Oktober lalu. melibatkan lebih 900 orang berusia 50 tahun dan ke atas. Kumpulan itu juga mengadakan perbincangan kumpulan berfokus dengan 200 warga senja dan mengadakan tinjauan berasingan dengan para majikan, pekerja muda dan sumber manusia.

Tindajuan dengan para pekerja muda, bagaimanapun, menunjukkan "satu paradoks", kata Cik Tan.

Lebih ramai responden (94 peratus) mengakui kelebihan bekerja dengan rakan sekerja lanjut usia, namun terdapat jumlah yang agak tinggi dalam kalangan responden (78 peratus) yang juga berdepan cabaran apabila bekerja dengan pekerja lanjut usia.

Cik Tan berkata tinjauan itu menunjukkan cabaran-cabaran bekerja dalam tenaga kerja berbilang generasi, seperti perbezaan pemikiran, nilai-nilai dan cara bekerja.

Dalam ucapannya, Cik Tan menawarkan beberapa saranan dalam dua aspek meluas untuk menangani masalah-masalah yang membelenggu pekerja lanjut usia.

Yang pertama melibatkan perubahan struktur, dalam cara pekerja boleh belajar dan mengaturkan kerja mereka.

Kedua, mendalami bagaimana untuk memberikan sokonagn lebih baik kepada tenaga kerja berbilang generasi.

Salah satu saranan adalah untuk membenarkan semua pekerja, termasuk yang lanjut usia, untuk meluangkan masa beberapa bulan untuk menimba kemahiran-kemahiran berkaitan pekerjaan setiap beberapa bulan sekali. Ini akan membantu menjadikan pembelajaran sistematik untuk semua pekerja, ujar Cik Tan.

Para pekerja lanjut usia yang ingin menukar kerjaya mungkin berdepan cabaran perubahan struktur, emosi dan fizikal apabila menimba kemahiran-kemahiran baru. Maka sokongan untuk mereka harus menangani isu-isu yang mungkin timbul dan membolehkan mereka meraih pengalaman pembelajaran lebih positif, tambah beliau.

Memberikan respons kepada keprihatinan Cik Tan berhubung Akta Persaraan dan Pengambilan Bekerja Semula, Cik Gan Siow Huang, Menteri Tenaga Manusia, berkata terdapat sedikit kelonggaran untuk membuat penyesuaian kepada syarat pengambilan bekerja semula supaya perniagaan-perniagaan boleh menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi para pekerja lanjut usia di samping kekal berdaya saing.

Misalnya, jika seorang majkan tidak dapat mengenal pasti peranan yang sesuai untuk menempatkan seorang pekerja lanjut usia, sebagai langkah akhir, pekerja tersebut boleh diberikan Bayaran Bantuan Pekerjaan, yang merupakan bayaran sekali sahaja yang sama dengan gaji tiga bulan setengah, sebagai ganti bagi pengambilan bekerja semula.

"Ini untuk membantu pekerja tersebut menampung keperluannya sementara dia mencari pekerjaan alternatif," tambah Cik Gan.

Mengulas tentang mewujudkan tempat kerja berbilang generasi, Cik Gan berkata pekerja lanjut usia harus bersikap terbuka kepada perubahan peranan kerja dan menimba kemahiran baru untuk mengikuti perkembangan teknologi serta cara baru untuk bekerja.

Dalam masa yang sama, para majikan harus mewujudkan pekerjaan untuk menjadikan sekitaran tugas dan tempat kerja lebih mesra pekerja lanjut usia. Misalnya, syarikat boleh menyediakan aturan kerja fleksibel dan memastikan amalan adil pengambilan pekerja.

Cik Gan menggalakkan para majikan supaya mendekati Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara untuk mewujudkan tempat kerja mesra usia. Beliau menarik perhatian bahawa terdapat bengkel-bengkel percuma oleh TAFEP untuk memberi panduan kepada para majikan mengenai pelaksanaan amalan-amalan adil pengambilan pekerja.

"Masyarakat mesti melihat penuaan sebagai rahmat dan bukan penderitaan," tambah beliau.

Pemerintah akan menyediakan sokongan untuk membantu para pekerja mempunyai hayat kerjaya yang panjang. Namun ia tidak boleh melakukannya sendirian, tekan beliau.

"Kita memerlukan ekosistem majikan, kesatuan, institusi latihan dan paling penting, para pekerja baik yang muda dan yang lanjut usia, untuk memainkan peranan untuk mengupaya rakyat Singapura meraih manfaat kerjaya yang panjang."
Sumber : Today/NK/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa