Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang keharmonian agama S'pura mesti dikemas kini bagi tangani ancaman baru, tegas PM Lee

Singapura mesti terus memperhalusi dan mengemas kini undang-undang mengenai keharmonian agama bagi menangani ancaman-ancaman baru, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (7 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Nov 2018 11:12AM Dikemas Kini : 07 Nov 2018 09:37PM

SINGAPURA: Singapura mesti terus memperhalusi dan mengemas kini undang-undang mengenai keharmonian agama bagi menangani ancaman-ancaman baru, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (7 Nov).

Akta Mengekalkan Keharmonian Agama, yang dikuatkuasakan pada 1992, membolehkan Pemerintah untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencetuskan permusuhan dan kebencian dalam kalangan kumpulan agama.

"Kita perlu mengemas kini Akta ini bagi menangani ancaman-ancaman baru terhadap keharmonian agama yang mungkin timbul dari semasa ke semasa," kata PM Lee.

Sebagai contoh, beliau merujuk kepada kecenderungan terhadap ekstremisme agama dan pengganasan sebagai "isu yang sukar".

PM Lee berkata demikian di Persidangan Antarabangsa Singapura yang menyentuh tentang nilai-nilai agama dalam dunia majmuk, yang dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Mujur, Pemerintah tidak perlu menggunakan kuasa di bawah Akta tersebut," kata beliau. "Sungguhpun demikian, dengan kehadirannya sahaja, Akta ini sudah membuat sumbangan penting kepada keharmonian agama di sini."

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, ada mengatakan pada 2017 bahawa undang-undang keharmonian agama akan diperketatkan pada tahun ini. Ini termasuk undang-undang yang melarang para pemimpin agama daripada menyebarkan kebencian dan permusuhan terhadap agama lain atau semata-mata untuk memperjuangkan isu-isu politik.

"MASYARAKAT MUSLIM DI SINGAPURA BERKEMBANG MAJU"

PM Lee berkata meskipun agama memainkan peranan penting dalam masyarakat, sambil menyifatkannya sebagai sumber bimbingan moral dan sumbangan dalam bidang pendidikan, masyarakat dan kerja-kerja kemasyarakatan, beliau akur bahawa ia adalah satu "perkara yang sangat peribadi".

"Pergeseran dan salah faham boleh berlaku jika perkara-perkara yang dianggap sensitif dalam agama diabaikan atau sengaja dicabuli. Ini khususnya di tengah-tengah suasana kesalihan yang berlaku dalam banyak masyarakat, di mana masyarakat umum lebih cenderung terhadap identiti dan kepercayaan agama masing-masing.

"Maka itu, memupuk hubungan silang agama amat penting bagi masyarakat majmuk bagi Singapura," kata PM Lee.

Singapura sudah mewujudkan norma-norma sosial yang mengutamakan sikap saling hormat menghormati dan bertolak ansur meskipun "kita tidak sedemikian sebelum ini".

"Bagaimanapun dengan usaha yang berterusan sejak sekian lama, kami akhirnya berjaya mencapainya," tambah beliau.

PM Lee turut memuji usaha dan kerja-kerja yang dijalankan oleh MUIS, yang menurut beliau "bersedia menangani dan bertindak terhadap isu-isu yang sulit dan rumit".

Sebagai contoh, MUIS memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan dan memperbetulkan salah tanggapan awam dan mendidik masyarakat berhubung Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA), yang memperkenalkan pilihan untuk dikecualikan bagi derma organ.

"Hasil usaha MUIS itu, masyarakat Islam di Singapura berkembang maju dan mencapai kemajuan dalam semua bidang dan menyumbang sebagai rakyat Singapura yang baik," kata PM Lee.

Singapura akan mengadakan persidangan antarabangsa mengenai usaha membina hubungan silang agama pada tahun depan, dan ini disahkan oleh PM Lee sendiri. Persidangan itu akan menghimpunkan para pemikir ulung, penggubal dasar dan para pengamal untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perpaduan sosial yang menjadi tema persidangan tersebut.

"Mengekalkan dan memelihara keharmonian agama memerlukan usaha gigih dan berterusan," kata PM Lee.

"Dengan mewujudkan peluang-peluang untuk merangsang hubungan silang agama dan mengukuhkan lagi hubungan itu, kita dapat melindungi diri kita daripada anasir-anasir yang mungkin boleh memecahbelahkan masyarakat kita."  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan