Skip to main content

Singapura

Undang-undang diusulkan agar para pemilik khidmat penting lapor lebih banyak jenis insiden keselamatan siber

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Apr 2024 05:18PM Dikemas Kini : 03 Apr 2024 09:11PM
SINGAPURA: Pemilik Prasarana Maklumat Penting (CII), seperti penyedia khidmat air, elektrik dan perbankan, akan perlu melaporkan lebih banyak jenis insiden keselamatan siber, termasuk insiden yang berlaku pada rangkaian bekalan, di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan.

Dengan cara tersebut, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) menyatakan ia akan lebih sedar terhadap ancaman keselamatan siber yang boleh mengganggu khidmat penting di Singapura, serta dapat bekerja dengan lebih rapat dengan para pemilik secara aktif untuk melindungi mereka.

Rang Undang-Undang Keselamatan Siber (Pindaan) yang dibentangkan di parlimen pada Rabu (3 Apr), akan mengemas kini peruntukan berkaitan dengan keselamatan siber CII serta meluaskan pengawasan CSA untuk menangani Sistem Kebimbangan Keselamatan Siber Sementara (STCC).

Ia merujuk kepada sistem komputer yang penting bagi Singapura dan berisiko tinggi terhadap serangan siber, disebabkan acara atau keadaan tertentu.

Rang Undang-Undang tersebut bertujuan untuk meminda Akta Keselamatan Siber 2018, yang membentuk rangka kerja undang-undang bagi pengawasan dan penyelenggaraan keselamatan siber di Singapura.

Objektif Rang Undang-Undang itu yang akan meminda Akta tersebut buat pertama kali, adalah untuk memastikan undang-undang mengikut perkembangan kemajuan landskap ancaman siber, serta operasi teknologi Singapura yang berkembang, umum CSA dalam satu kenyataan media pada Rabu (3 Apr).

Satu aspek penting Rang Undang-Undang itu adalah ia juga memastikan pemilik CII kekal bertangunggjawab atas keselamatan siber dan daya bingkas sistem siber, sambil menggunakan model teknologi dan perniagaan seperti pengkomputeran awan, tambah CSA.

Tujuan untuk meminda Rang Undang-Undang itu dibentangkan buat pertama kali oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo bulan lalu, ketika beliau bercakap di parlimen mengenai rancangan perbelanjaan kementeriannya.

Beliau berkata undang-undang itu harus diubah untuk mencerminkan kepentingan yang meningkat dalam memastikan keselamatan siber prasarana digital dan perkhidmatan yang menguasai ekonomi digital Singapura, serta membenarkan rakyat tempatan memenuhi keperluan seharian mereka.

APA YANG AKAN DISERTAKAN DALAM RANG UNDANG-UNDANG TERSEBUT

Buat masa ini, pemilik CII hanya dikehendaki untuk melaporkan insiden keselamatan siber berkaitan dengan prasarana penting, dan sistem komputer di bawah pengawalan mereka yang terhubung atau berkomunikasi dengan prasarana tersebut.

Jika Rang Undang-Undang itu diluluskan, pemilik harus melaporkan insiden yang menyasarkan sistem yang terkait dengan CII.

Selain prasarana penting, Rang Undang-Undang itu juga akan membenarkan CSA untuk memastikan STCC melindungi keselamatan siber sistem tersebut.

CSA akan mencipta dua kelas entiti yang dikawal: Entiti Kepentingan Keselamatan Siber Istimewa (ESCI) dan Prasarana Digital Asas (FDI).

ESCI, seperti universiti berautonomi. mungkin menyimpan maklumat sensitif atau menjalankan tugas yang selaras dengan kepentingan negara, seperti gangguan pada sistem mereka akan mencetuskan kesan negatif kepada pertahanan, hubungan bersama negara asing, ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, atau ketenteraman di Singapura.

Di bawah Rang Undang-Undang tersebut, CSA boleh melantik dan mengawas ESCI bagi tujuan keselamatan siber. Kewajipan yang ditetapkan pada entiti itu tidak berada di peringkat yang sama seperti CII, dedah agensi keselamatan siber Singapura.

Rang Undang-Undang itu juga memerlukan syarikat seperti penyedia khidmat pengkomputeran awan dan pusat data untuk bertanggungjawab atas keselamatan siber prasarana tersebut.

Ini termasuk mematuhi kod keselamatan siber dan piawaian amalan, serta melaporkan insiden keselamatan siber kepada CSA, yang juga bukan di peringkat yang sama seperti CII, tambah agensi itu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita