Skip to main content

Singapura

Undang-undang dipinda jika perlu untuk jayakan Wakaf Masyarakat Singapura

Pindaan undang-undang akan dilakukan jika perlu demi memastikan kemampanan Wakaf Masyarakat Singapura bagi jangka panjang. Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zukifli ketika ditemui BERITAmediacorp di Masjid Omar Kampong Melaka hari ini (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jun 2020 09:17PM Dikemas Kini : 08 Jun 2020 10:40PM

SINGAPURA: Pindaan undang-undang akan dilakukan jika perlu demi memastikan kemampanan Wakaf Masyarakat Singapura bagi jangka panjang.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zukifli ketika ditemui BERITAmediacorp di Masjid Omar Kampong Melaka hari ini (8 Jun).

Penubuhan wakaf baru itu pertama kali diumumkan Encik Masagos semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya anjurannya Jumaat lalu (5 Mei). Ia akan merangkumi portfolio hartanah yang baru kata beliau dan menjadi satu model pendanaan baru bagi membiayai keperluan keagamaan masyarakat Melayu/Islam tempatan.

LAMBANG BANTU-MEMBANTU

Kunjungan beliau ke tersebut masjid tersebut cukup simbolik dalam memperkatakan hartanah wakaf masyarakat Muslim tempatan. Ini kerana masjid itu diwakafkan oleh Syed Sharif Omar Al-Junied yang membina masjid itu 200 tahun lalu.

"Inilah satu satu masjid kita yang diwariskan oleh sesepuh kita dengan bentuk perwakafan hartanah mereka . Ini juga lambang bagaimana masyarakat kita bekerjasama bantu-membantu satu sama lain," kata beliau.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), wakaf Syed Omar Ali Aljunied itu didaftar pada tahun 1911 oleh pemegang amanah pada waktu itu.

Hasil daripada wakaf hartanah lain Allahyarham masih terus disalurkan kepada masjid ini serta Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

STRUKTUR WAKAF PERLU DIRANCANG DENGAN TELITI

Encik Masagos berkata keadaan dan bentuk hartanah yang dimiliki masyarakat kini berbeza dengan zaman lampau.

Lantaran itu, usaha membina dana wakaf sebenarnya memerlukan perancangan teliti dan itulah yang akan dilakukan untuk Wakaf Masyarakat Singapura nanti.

"Situasi yang kita ada sekarang sebagai masyarakat yang moden berbeza dan bentuk harta yang memiliki harta masyarakat juga tidak sama dengan di zaman-zaman yang dulu. Juga keperluan-keperluan yang mungkin wujud pada masa akan datang.

"Kita mahu peraturan yang kami buat untuk waktu ini kekal untuk zaman-zaman dan generasi akan datang," jelas beliau.

Semalam, Encik Masagos mengumumkan bahawa sebuah Kumpulan Kerja Warga akan ditubuhkan. Ia akan diketuai oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang juga anggota Majlis Tertinggi MUIS.

Ia dianggotai pakar-pakar daripada pelbagai sektor seperti perbankan, perundangan, dan pelaburan.

"Kita juga mahu mendapatkan pandangan masyarakat umum bagaimana mereka dapat menyertai dalam wakaf tersebut walau sekecil mana pun aset mereka nanti," kata Encik Masagos.

AKAN KAJI PINDAAN UNDANG-UNDANG JIKA PERLU

Beliau yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air menjangkakan proses mendapatkan maklum balas dan rujukan kepada pakar-pakar pelbagai sektor itu mungkin akan mengambil masa lebih kurang setahun dari sekarang.

Ini termasuklah mendapatkan pandangan Majlis Fatwa dan sebagainya tentang apa yang boleh dan tidak boleh.

"Ada kemungkinan kita perlu mengorak langkah membuat pindaan undang-undang kalau ia perlu untuk membolehkan wakaf tersebut terkumpul dan dikendalikan untuk masyarakat tahun-tahun depan."

Bagi anggota masyarakat yang sudah mempunyai niat untuk mewakafkan hartanah masing-masing, Encik Masagos menggalakkan mereka supaya membuat persiapan awal.

Ini walaupun Wakaf Masyarakat Singapura itu belum lagi rasmi terbentuk.

"Saya fikir sementara menunggu, tidak salah dan mungkin persiapan yang baik untuk menyiapkan wasiat di mana kita bersiap-siap untuk wasiat tersebut boleh diagihkan kepada wakaf tersebut apabila ia wujud.

"Maka sebab itu saya perlu mendapat kemasukan dari para peguam dalam bidang undang undang bagaimana ia antara langkah langkah yang kita boleh mempersiapkan secara awal sebelum struktur tersebut wujud secara ligat." 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita