Skip to main content

Singapura

Undang-undang baru diusul demi pastikan kontrak pajakan runcit patuhi kod tatalaku

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rang undang-undang yang mewajibkan kontrak pajakan runcit untuk mematuhi kod tatalaku dibentangkan di Parlimen pada Selasa (4 Jul).

Kod tersebut menetapkan garis panduan dan prinsip bagi membolehkan rundingan pajakan yang lebih saksama dan seimbang antara tuan tanah dan penyewa premis runcit tersebut.

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan medianya.

Prinsip-prinsip tersebut meliputi langkah yang tidak membenarkan tuan tanah menaikkan kadar elektrik, langkah yang tidak memerlukan deposit keselamatan melebihi tiga bulan sewa - jika kawasan lantai yang disewa di bawah 5,000 kaki persegi dan tempoh pajakan adalah maksimum tiga tahun. Tuan tanah juga hanya dibenarkan untuk menamatkan tempoh pajakan mereka awal sekiranya mereka ingin menjalankan kerja-kerja pembangunan semula.

Kod tersebut juga menetapkan proses huraian pertikaian bagi kedua-dua pihak.

Kesemua tuan tanah pemerintah dan sekurang-kurangnya sembilan tuan tanah utama daripada sektor swasta, termasuk CapitaLand Group dan Frasers Property Singapore, sudahpun mematuhi kod tatalaku tersebut secara sukarela sejak Jun 2021.

Orang ramai dipelawa untuk memberi maklum balas berhubung peruntukan utama perundangan yang diusulkan itu semasa satu rundingan awam tahun lalu dari 18 Julai hingga 5 Ogos.

Rang undang-undang yang diusulkan itu akan menjadikan pematuhan kod tersebut wajib bagi semua pajakan runcit yang layak di Singapura.

Jika diluluskan, perundangan tersebut dijangka berkuat kuasa sekitar enam bulan kemudian.

PROSES HURAIAN PERTIKAIAN "KOS RENDAH"

Kod tersebut membolehkan tuan tanah dan penyewa untuk menyimpang daripada empat daripada 11 prinsip pajakan menerusi persetujuan bersama, bagi membolehkan "fleksibiliti pasaran", jelas kementerian itu.

Mediacorp sudah menghubugi MTI untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai empat prinsip tersebut.

Satu "pengisytiharan penyimpangan yang dibenarkan" harus diserahkan kepada Jawatankuasa Industri Penyewaan Adil (FTIC), penjaga kod tatalaku itu, dalam masa 14 hari selepas menandatangani perjanjian pajakan itu.

Proses huraian pertikaian juga akan ditetapkan bagi tuan tanah dan penyewa.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita