Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang baru diusul banteras keldai wang, individu kongsi butiran Singpass dengan penipu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai keldai wang boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah jika undang-undang baru diluluskan untuk mendakwa pesalah yang membantu melaburkan wang haram untuk para penipu.

Pada Selasa (18 Apr), pindaan terhadap Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) (CDSA) dan Akta Penyalahgunaan Komputer dikemukakan di Parlimen.

Rang Undang-Undang itu bertujuan untuk memberi pihak polis lebih banyak kuasa untuk bertindak ke atas keldai wang dan mereka yang menjual butiran Singpass mereka.

Buat masa ini, "sejumlah besar" keldai wang yang diberkas polis tidak boleh didakwa disebabkan kesukaran untuk membuktikan niat mereka melakukan aktiviti-aktiviti jenayah.

Demikian menurut Kementeriaan Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO).

Pihak berkuasa sedang mengusulkan kesalahan baru terhadap pengubahan wang haram atau pengubahan wang haram yang dilakukan secara cuai, di mana keldai wang yang melakukan kesalahan lebih rendah boleh didakwa.

Jika pindaan undang-undang itu diluluskan, ia lebih mudah bagi pihak berkuasa memburu mereka yang menyerahkan butiran Singpass untuk membantu melakukan kesalahan, seperti menjual kata laluan Singpass atau kata kunci sekali (OTP) kepada sindiket penipuan.

KELDAI WANG DISASARKAN

Kes penipuan melonjak dengan ketara di Singapura, antara 2018 dan 2022, jumlah kes penipuan meningkat leibh dari lima kali ganda kepada hampir 32,000 laporan.

Untuk keldai wang disabit kesalahan di bawah CDSA, pihak pendakwa buat masa ini harus membuktikan bahawa keldai wang menyedari atau mempunyai bukti yang kukuh untuk percaya bahawa duit yang dipindahkan melalui akaun bank mereka ada kaitan dengan kegiatan jenayah.

Ia bermakna sejumlah besar daripada mereka yang diberkas tidak boleh didakwa, kata MHA dan SNDGO.

Polis menyiasat lebih 19,000 kes keldai wang antara 2020 dengan 2022, namun kurang daripada 250 kes berjaya didakwa.

Jika CDSA dipinda, keldai wang sedemikian boleh disabit atas kesalahan baru tersebut:

Pengubahan wang haram disebabkan terburu-buru

Pengubahan wang haram disebabkan kecuaian

Membantu individu lain menyimpan hasil yang diperolehi daripada perbuatan jenayah

"Seorang yang bertindak cuai dengan meneruskan pindahan wang walaupun terdapat tanda-tanda mencurigakan yang jelas dan boleh dilihat orang biasa, juga boleh dipertanggunjawabkan atas kesalahan itu," tambah MHA dan SNDGO.

PENYALAHGUNAAN SINGPASS

Kesalahan baru juga diusulkan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer untuk menyasarkan penyalahgunaan Singpass.


Jika pindaan terhadap Akta itu diluluskan, individu-individu boleh disabit kesalahan jika mereka mendedahkan butiran Singpass mereka, dengan kesedaran bahawa ia akan digunakan untuk melakukan atau memudahkan kesalahan dilakukan.

Satu daripada kesalahan yang diusulkan adalah individu yang mendedahkan butiran Singpass untuk memudahkan jenayah. Mereka yang disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

"Kesalahan ini, bagaimanapun, bukan bertujuan untuk memberkas mereka yang mengongsi butiran Singpass atas tujuan yang sah, seperti warga emas yang memerlukan bantuan ahli keluarga mereka untuk membuat urus niaga Singpass," menurut kenyataan MHA dan SNDGO.

"Ia juga bukan bertujuan untuk memberkas mereka yang benar-benar ditipu untuk menyerahkan butiran Singpass mereka."

Satu lagi kesalahan yang dicadangkan adalah untuk mendapatkan, mengekalkan, membekalkan, menawarkan untuk membekalkan, menyampaikan atau menyediakan butiran Singpass orang lain untuk melakukan atau memudahkan perbuatan jenayah.

Pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang diulangi, mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda S$20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan