Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang baru diusul bagi jaga keselamatan makanan S’pura

Sebuah agensi baru yang ditubuhkan untuk menyelia keselamatan makanan mungkin akan meminta pengimport barang makanan utama untuk menyediakan pelan bagi mengurangkan kesan daripada gangguan pada bekalan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang baru diusul bagi jaga keselamatan makanan S’pura

Orang ramai di sebuah pasr raya di Singapura. (Gambar hiasan: TODAY)

Diterbitkan : 16 Jan 2019 09:19AM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 09:21AM

SINGAPURA: Sebuah agensi baru yang ditubuhkan untuk menyelia keselamatan makanan mungkin akan meminta pengimport barang makanan utama untuk menyediakan pelan bagi mengurangkan kesan daripada gangguan pada bekalan makanan.

Keperluan ini serta beberapa pindaan lain untuk memperkukuhkan keselamatan makanan Singapura, disertakan dalam dua rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen pada Selasa (15 Jan).

Rang undang-undang tersebut adalah untuk menubuhkan Agensi Makanan Singapura (SFA), membubarkan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) dan memindahkan sebahagian fungsi AVA kepada Lembaga Taman Negara (NParks) dibentangkan oleh Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor dan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling.

"Kita sedang memperkenalkan syarat-syarat bagi pengimport bahan makanan utama untuk melakarkan pelan, termasuk strategi pencegahan, untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan," menurut seorang jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND).

"Ini akan memperkukuhkan lagi keselamatan dan kemampanan makanan kita, di tengah-tengah landskap makanan sejagat yang berubah-ubah serta perubahan iklim."

Menurut MND, butiran operasi bagi keperluan baru itu sedang dirancang dan pihaknya akan memaklumkan para pengimport tentang perubahan-perubahan "apabila tiba masanya kelak".

AGENSI MAKANAN BARU

SFA, sebuah badan berkanun baru di bawah Kementerian Sekitaran dan Sumber Air, akan ditubuhkan pada 1 April.

Ia akan mengambil alih tanggungjawab berhubung makanan daripada AVA, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), termasuk yang berkaitan dengan keselamatan makanan, pemantauan kebersihan dan bekalan makanan.

MND menambah bahawa Singapura mengimport makanan daripada lebih 180 negara dan gangguan bekalan tidak akan menjejas teruk bekalan makanan secara keseluruhannya.

"Jika berlaku gangguan makanan secara mendadak dan ketara, terdapat rancangan untuk memastikan warga Singapura sentiasa mempunyai bekalan makanan," menurut kementerian itu lagi.

"Rancangan-rancangan ini dilakarkan dengan kerjasama industri untuk memastikan kita pantas mencari sumber, aturan logistik dan pengedarannya."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan