Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang baru bagi terus lindungi keharmonian kaum, dedah PM Lee

Pemerintah merancang untuk meluluskan satu undang-undang baru bagi melindungi keharmonian kaum di Singapura dan bidang kuasa undang-undang itu akan menangani isu-isu berkaitan kaum, dedah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang baru bagi terus lindungi keharmonian kaum, dedah PM Lee

PM Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan 2021 pada 29 Ogos 2021 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 29 Aug 2021 11:13PM Dikemas Kini : 29 Aug 2021 11:26PM

SINGAPURA: Pemerintah merancang untuk meluluskan satu undang-undang baru bagi melindungi keharmonian kaum di Singapura dan bidang kuasa undang-undang itu akan menangani isu-isu berkaitan kaum, dedah Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (29 Ogos).

Akta Memelihara Keharmonian Kaum akan merangkumi ciri-ciri "lebih lembut" yang boleh mengarahkan seseorang yang melakukan kesalahan untuk berhenti melakukannya dan menebus kesalahan mereka dengan mempelajari lebih mendalam tentang kaum lain dan memperbaiki hubungan dengan mereka, kata PM Lee.

Rancangan untuk meluluskan undang-undang baru itu timbul setelah beberapa insiden berbaur perkauman dilaporkan tahun ini, di samping perbincangan yang diadakan mengenai hubungan kaum di Singapura.

PM Lee turut menyentuh tentang beberapa kejadian perkauman baru-baru ini yang menyasarkan orang India, termasuk pemegang pas kerja dan warga tempatan. Ini berkemungkinan disebabkan oleh jumlah besar pemegang pas kerja berbangsa India yang bekerja di sini.

Satu lagi faktor, kata beliau, mungkin rasa kecewa orang ramai berhubung varian Delta COVID-19 yang pertama kali dikesan di India.

PM Lee menegaskan: "Adalah tidak logik untuk menyalahkan warga India. Sama seperti tidak logik untuk menuding jari ke arah warga England atas penularan varian Alpha, atau menyalahkan warga Vietnam kerana kelompok KTV atau warga China berhubung penularan virus tersebut di Wuhan."

UNDANG-UNDANG BAGI GALAK TINGKAH LAKU BAIK

Walaupun undang-undang tidak dapat dengan sendirinya membuat masyarakat berbaik- baik antara satu sama lain, undang-undang itu diharap dapat memberikan isyarat tentang apa yang dianggap oleh masyarakat Singapura sebagai betul atau salah, dan menggalak kita untuk bersikap lebih baik dari semasa ke semasa, kata PM Lee.

Singapura sudahpun mempunyai pelbagai undang-undang untuk menangani kesalahan berunsur perkauman yang serius, kata beliau, sambil menambah: "Tetapi undang-undang ini termaktub dalam kanun-kanun yang berbeza, seperti Kanun Jenayah dan Akta Hasutan. Dan undang-undang itu hanya menumpukan perhatian kepada jenayah dan hukumannya dan bukan berbentuk pujukan dan pemulihan."

Akta Memelihara Keharmonian Kaum akan "menghimpunkan semua itu di satu tempat" untuk Pemerintah menangani isu-isu berkaitan kaum dan ia akan merangkumi langkah-langkah yang lebih lembut untuk menangani kesalahan-kesalahan sedemikian.

"Pendekatan yang lebih lembut ini akan menyembuhkan rasa sakit dan bukan meninggalkan rasa benci," katanya. "Dan jika dia (pesalah) mematuhi dan melakukannya, itu petanda baik, kita dapat bergerak maju. Dan jika dia tidak mematuhinya ... tindakan undang-undang akan menyusul."

Menurut PM Lee, Singapura sudahpun mempunyai undang-undang serupa berhubung keharmonian agama, iaitu Akta Memelihara Keharmonian Agama, tetapi tidak pernah diperlukan untuk menjatuhkan hukuman di bawah Akta ini.

Di bawah undang-undang keharmonian agama, sesiapa yang menimbulkan rasa tidak senang antara kumpulan agama yang berbeza boleh dikenakan perintah sekatan.

Kewujudan undang-undang ini telah memberikan kesan yang baik dan dapat membantu mengekang sikap tidak bertolak ansur dan memupuk keharmonian agama, kata Perdana Menteri.

“Begitu juga, Akta Memelihara Keharmonian Kaum yang menggalak kesederhanaan dan sikap bertolak ansur antara kumpulan-kumpulan kaum berbeza," tambahnya. "Ia akan menekankan betapa pentingnya keharmonian kaum di Singapura," tegas PM Lee lagi.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan