Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang baharu bukan penawar isu perkauman, sebaliknya tekad terus bersatu: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang baharu bukan penawar isu perkauman, sebaliknya tekad terus bersatu: Shanmugam

Para murid Sekolah Rendah Townsville semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai 2016. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 05 Feb 2025 12:01AM Dikemas Kini : 05 Feb 2025 01:03AM
SINGAPURA: Rang undang-undang baharu yang diluluskan untuk memelihara keharmonian kaum di Singapura bukanlah penawar bagi semua isu berkaitan kaum di sini, tegas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Selasa (4 Feb).

“Anda tidak boleh, mengikut undang-undang, memaksa orang dari pelbagai kaum untuk bergaul antara satu sama lain. Anda juga tidak boleh menghalang sikap tidak sensitif, atau sikap perkauman, daripada berlaku dalam interaksi seharian, semata-mata dengan meluluskan undang-undang,” katanya di Parlimen.

Sebaliknya, memupuk keharmonian antara kaum yang berbeza memerlukan dasar dan rangka kerja pemerintah yang harus dipupuk dalam masyarakat dari semasa ke semasa, kata Encik Shanmugam.

Pada Selasa (4 Feb), Parlimen mengundi sebulat suara untuk meluluskan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum, selepas berbahas kira-kira selama lima setengah jam.

Bagaimanapun, pindaan perlembagaan yang disertakan untuk mengemas kini kuasa presiden dalam melaksanakan Akta itu, telah ditolak oleh tujuh Anggota Parlimen (AP) daripada Parti Pekerja (WP).

Di bawah Akta tersebut, Majlis Presiden Bagi Keharmonian Agama akan menjadi Majlis Presiden Bagi Keharmonian Kaum dan Agama, memperluaskan skop dan tugasnya.

Rejim Perintah Sekatan (RO) juga akan diperkenalkan bagi mereka yang terlibat dalam berkomunikasi, menghasilkan atau mengedar kandungan yang menggugat keharmonian kaum di sini.

Kesalahan berkaitan kaum daripada perundangan sedia ada dalam Kanun Keseksaan akan dipindahkan dan dikemas kini di bawah Akta baharu. Pesalah yang didakwa boleh memilih untuk menjalani program pemulihan masyarakat daripada didakwa.

Terdapat juga perlindungan terhadap pengaruh asing untuk entiti berasaskan kaum, dengan kumpulan-kumpulan yang ditetapkan perlu mendedahkan derma asing dan derma tanpa nama penderma, gabungan asing, dan juga mematuhi peraturan mengenai keahlian badan pentadbir mereka.

MENGGALAKKAN PERPADUAN SOSIAL

Encik Shanmugam turut berkongsi bahawa semasa perundingan awam, satu sentimen yang kerap dibangkitkan ialah "rang undang-undang ini hanya mencegah ketidakharmonian kaum, tetapi tidak menggalakkan keharmonian kaum".

“Saya memahami perspektif ini. Apa yang orang ramai mahu melihat adalah sesuatu yang akan mendorong keharmonian antara satu sama lain merentas pelbagai kaum,” katanya.

Bagaimanapun, orang ramai tidak boleh dipaksa untuk bergaul antara satu sama lain melalui penggunaan undang-undang, kata Encik Shanmugam.

“Itu perlu dilakukan melalui dasar pemerintah, melalui rangka kerja, struktur masyarakat, bagaimana kita membina DNA itu ke dalam masyarakat dari semasa ke semasa. Dan itulah yang kami lakukan selama ini,” katanya.

Beliau berkata bahawa undang-undang menyediakan rangka kerja undang-undang yang sangat kukuh dan boleh dikuatkuasakan terhadap orang ramai, justeru mengurangkan dan mencegah tingkah laku buruk. Ia biasanya hanya diperlukan untuk sebilangan kecil orang, kata Encik Shanmugam.

Di luar undang-undang, terdapat rangka kerja dalam masyarakat yang melaluinya dasar yang boleh digalakkan untuk meningkatkan keharmonian kaum, katanya lagi.

“Rang Undang-undang … tidak akan menjadi penawar untuk menyelesaikan semua cabaran berkaitan kaum, tetapi ia adalah isyarat kuat dan jelas tentang keazaman kita untuk kekal bersatu sebagai satu rakyat,” katanya selanjutnya.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan