Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang baharu benarkan pelepasan biometrik tanpa pasport bagi keberangkatan dari Changi mulai 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Sep 2023 08:52PM Dikemas Kini : 19 Sep 2023 07:52AM
SINGAPURA: Mulai awal tahun depan, para penumpang yang berangkat dari Lapangan Terbang Changi akan melalui pelepasan imigresen automatik menggunakan data biometrik, tanpa memerlukan pasport.

Perubahan itu diumumkan selepas Parlimen Singapura pada Isnin (18 Sep) meluluskan beberapa pindaan kepada Akta Imigresen.

Salah satu pindaan utama adalah untuk memberi kuasa kepada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), untuk mendedahkan maklumat penumpang dan anak kapal kepada pengendali lapangan terbang, bagi tujuan tertentu seperti menguruskan bagasi dan menjejak penumpang di sekitar lapangan terbang.

Dengan perubahan itu, para penumpang tidak lagi perlu menunjukkan pasport, tiket dan pas menaiki pesawat berkali-kali semasa proses menaiki pesawat.

Sebaliknya, usaha biometrik itu akan mengeluarkan "satu token pengesahan" yang boleh digunakan penumpang di beberapa tempat automatik yang memerlukan pengesahan itu, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo pada Isnin.

Rang Undang-Undang tersebut juga mengandungi pindaan untuk menangani dengan lebih baik lagi keadaan di luar jangkaan seperti pandemik, mengukuhkan kawalan sempadan dan menyelaras pentadbiran pas dan permit bagi warga asing dan penduduk tetap (PR).

Ia memberi kuasa untuk mendapatkan maklumat penumpang dan anak kapal terlebih dahulu di kesemua tempat masuk, dan mengeluarkan arahan tidak menaiki pesawat kepada syarikat penerbangan dan pengendali pengangkutan lain untuk menghalang "individu yang tidak diingini" dari menaiki pesawat untuk berangkat dari Singapura.

Satu lagi perubahan adalah untuk mendapatkan penjelasan apabila seorang PR dianggap telah kehilangan status mereka. Permit untuk masuk semula diperlukan setiap kali seorang PR melakukan perjalanan ke luar Singapura.

Rang Undang-Undang baharu itu memerlukan seorang PR yang berada di luar Singapura dan tanpa permit kemasukan semula yang sah untuk memohon bagi mendapatkan permit dalam tempoh yang ditetapkan.

Sekiranya mereka gagal memohon, status PR mereka akan hilang serta-merta. MHA bercadang menetapkan enam bulan bagi tempoh tersebut.

MENGAPA IA PENTING

Pindaan itu akan memudahkan Konsep Pelepasan Baharu Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), yang diumumkan pada 2019, yang bermatlamat untuk menjadikan pelepasan automatik satu norma di pusat pemeriksaan.

Jumlah pelawat kian meningkat di kesemua pusat pemeriksaan di Singapura, menurut Cik Teo. Ia dijangka akan kembali ke tahap prapandemik menjelang tahun depan, dan terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Bahkan, sedang prasarana baharu - seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura - giat dibina, ICA perlu menanganinya tanpa sebarang peningkatan tenaga kerja yang ketara, nyata Cik Teo.

KEBIMBANGAN ANGGOTA PARLIMEN

Anggota Parlimen (AP) menyokong langkah untuk mendigitalkan proses imigresen dan mengetatkan kawalan sempadan. Mereka bagaimanapun membangkitkan beberapa kebimbangan, antara lain termasuk:

- Bagaimana privasi data dan risiko keselamatan siber diuruskan memandangkan sistem baharu itu akan mengendalikan jumlah besar maklumat peribadi pelawat
- Bagaimana gangguan perkhidmatan dapat dielakkan, dan jika ia berlaku, apakah proses sokongannya

RESPONS PEMERINTAH

Berhubung privasi data dan keselamatan siber, Cik Teo berkata bahawa hanya syarikat-syarikat Singapura boleh mengambil projek IT yang ada kaitan dengan ICA. Kakitangan mereka dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan keselamatan dan mendapatkan pelepasan sebelum mereka boleh melaksanakan tugas bagi projek itu. Vendor akan terikat dengan perjanjian tanpa pendedahan dan boleh dipertanggungjawabkan secara jenayah atas sebarang pelanggaran.

Data pelawat akan disulitkan dan perlu melalui laluan pertukaran data yang selamat. Kelulusan Menteri Ehwal Dalam Negeri diperlukan untuk mengakses dan mendedahkan data, bagi tujuan yang terhad kepada apa yang dinyatakan dalam Akta Imigresen, seperti penguatkuasaan undang-undang jenayah.

Bagi pelepasan yang didayakan biometrik dari Lapangan Terbang Changi, Changi Airport Group (CAG) akan terikat dengan perjanjian perkongsian data dengan ICA. Ini meletakkan tanggungjawab ke atas CAG untuk mengambil semua langkah yang wajar bagi melindungi data, dan ICA akan mengaudit pematuhannya, kata Cik Teo.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan