Skip to main content

Singapura

Undang-undang anticampur tangan asing berkuat kuasa sepenuhnya 29 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Dec 2023 05:17PM Dikemas Kini : 12 Dec 2023 08:44PM

SINGAPURA: Akta (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing akan dilaksanakan sepenuhnya apabila peruntukan untuk bertindak balas terhadap campur tangan asing menerusi proksi tempatan berkuat kuasa pada 29 Disember tahun ini.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada Selasa (12 Dis) menyatakan bahawa peruntukan baharu tersebut terhadap proksi tempatan di bawah Akta itu akan memerlukan "individu penting dari segi politik" untuk mengikuti senarai peraturan-peraturan ketat.

Individu penting dari segi politik ditakrifkan sebagai mereka yang terlibat dalam proses politik Singapura secara langsung, yang terdiri daripada parti politik, pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti politik dan calon pilihan raya dan ejen pilihan raya mereka.

Di bawah peruntukan tersebut, individu-individu itu dilarang daripada menerima sebarang kerja sukarela atau perkhidmatan profesional sukarela yang disediakan oleh mana-mana individu yang bukan warganegara Singapura.

Mereka juga dikehendaki mendedahkan gabungan mereka dengan mana-mana "prinsipal asing", yang merupakan pihak berkuasa pemerintah sesebuah negara asing.

Mereka turut dilarang daripada menerima derma tanpa nama sebanyak S$5,000 atau lebih dalam satu tahun kalendar, dan dikehendaki melaporkan sumbangan tunggal S$10,000 atau lebih daripada penderma yang dibenarkan.

Langkah tersebut dibuat selepas peruntukan untuk menangani kempen maklumat bermusuhan mula dilaksanakan pada Julai 2022 - yang memberikan pihak berkuasa kuasa untuk menyekat laman dan akaun media sosial yang terlibat dalam kempen bermusuhan, menyekat pengedaran aplikasi mudah alih di Singapura dan menghentikan pembiayaan kandungan sedemikian.

LANGKAH TINDAKAN BALAS LAIN

Semua rakyat Singapura perlu mengisytiharkan bahawa mereka adalah ahli-ahli badan politik atau perundangan asing, menurut Akta tersebut.

Mereka yang berada dalam badan sedemikian sebelum 1 Februari 2024 perlu mengisytiharkan pelibatan mereka pada 1 Mac 2024. Selepas itu, warga Singapura yang menyertai pertubuhan-pertubuhan itu selepas 1 Februari perlu mengisytiharkan pelibatan mereka dalam tempoh sebulan selepas menyertai pertubuhan tersebut, menurut MHA.

Ini bertujuan untuk membendung risiko negara asing cuba memperdaya rakyat negara ini untuk mempengaruhi politik tempatan kita, tambah kementerian tersebut.


Akta langkah tindakan balas berhubung campur tangan asing pertama kali diluluskan di Parlimen pada Oktober 2021 untuk memperkukuh keupayaan Pemerintah untuk membendung, mengesan dan mengganggu campur tangan asing dalam politik tempatan Singapura.


Undang-undang itu diluluskan dengan 75 undi menyokongnya dan 11 menentang, dengan dua Anggota Parlimen dilantik berkecuali. Kesemua 10 Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi dari Parti Kemajuan Singapura (WP), Leong Mun Wai mengundi menentangnya.

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita