Undang-undang akan tangani 'manipulasi pendapat, pilihan raya': PM Lee
Kemajuan pesat teknologi dan media sosial membuka ruang untuk ucapan kebencian dan berita palsu disebarkan dengan pantas. Lantaran itu, langkah undang-undang adalah "sebahagian penting" daripada huraian kepada isu-isu tersebut, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (25 Apr).
SINGAPORE: Kemajuan pesat teknologi dan media sosial membuka ruang untuk ucapan kebencian dan berita palsu disebarkan dengan pantas. Lantaran itu, langkah undang-undang adalah "sebahagian penting" daripada huraian kepada isu-isu tersebut, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (25 Apr).
Encik Lee menekankan sudah menjadi "terlalu mudah" untuk "melancarkan kempen tersembunyi dan subversif untuk memanipulasi pendapat dan mempengaruhi pilihan raya".
"Meskipun pendidikan awam adalah barisan pertama pertahanan, langkah undang-undang adalah sebahagian penting huraian yang diakui (pengasas Facebook) Mark Zuckerberg sendiri," menurut PM Lee dalam ucapannya di persidangan ke-29 Persatuan Peguam Antara Pasifik di Pusat Konvensyen Raffles.
Beliau menarik perhatian bahawa banyak negara menggunakan undang-undang untuk menangani isu itu, dan Singapura tidak terkecuali. Pemerintah telah membentangkan Rang Undang-Undang bagi Perlindungan dari Kepalsuan dan Manipulasi Online di Parlimen awal bulan ini dan bacaan kedua dijangkakan pada sesi parlimen seterusnya Mei ini.
Rang yang diusulkan itu menurut PM Lee, akan mempertanggungjawabkan wadah-wadah online dan memperkasa Pemerintah untuk mengeluarkan arahan pembetulan. "Atau dalam kes lebih serius, arahan menarik balik apabila wadah online menyiarkan kenyataan yang palsu," menurut Perdana Menteri.
Sejak pembentangan Rang tersebut, keprihatinan diutarakan berhubung beberapa aspek undang-undang itu, seperti ruang lingkupnya yang luas dan bahasa yang tidak jelas.
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam mengulas tentang beberapa keprihatinan itu dalam satu wawancara eksklusif bersama Mediacorp. Dalam temu bual tersebut Encik Shanmugam menekankan terdapat mekanisme pemantauan jelas yang diperuntukkan bagi mengelakkan salah guna undang-undang oleh pihak Pemerintah.
BELAJAR ANTARA SATU SAMA LAIN
Isu berita palsu adalah satu daripada tiga contoh yang diketengahkan Encik Lee dalam menunjukkan trend lebih luas yang menjejas banyak negara serta manfaat yang boleh diraih dalam mempelajari daripada pengalaman dan pendekatan satu sama lain.
Menurut PM Lee, satu contoh adalah bagaimana negara-negara bertindak balas terhadap pengganasan dan hasutan radikal untuk mencetuskan keganasan. Beliau menjelaskan negara-negara perlu mempertimbangkan keseimbangan antara kebebasan peribadi dengan keselamatan umum.
"Mereka perlu mempertimbangkan bila untuk melaksanakan sekatan ke atas individu atau sebuah kumpulan berdasarkan niat mereka untuk membuat angkara dan bukan hanya bertindak selepas mereka melakukan jenayah - bila ia mungkin sudah terlambat," tambahnya.
Satu lagi isu penting katanya, adalah pertumbuhan pesat e-dagang dan bagaimana ia menjejas operasi perniagaan.
Menurut Encik Lee, dengan e-dagang, sempadan antara negara kini semakin terbuka dan kehadiran secara fizikal bukan lagi satu kemestian.
"Negara-negara perlu bekerjasama demi memastikan entiti yang wujud dan beroperasi dalam ruang siber membayar bahagian cukai yang adil dalam alam nyata, tetapi mereka juga bertikai antara satu sama lain berhubung persoalan siapakah yang memungut dan menyimpan cukai bagi kegiatan online," tambah Encik Lee.
Singapura mengumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2018 bahawa cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas khidmat digital import, seperti khidmat penstriman filem dan muzik serta aplikasi mudah alih menjelang 2020.
Perbincangan aktif di forum-forum seperti persidangan Persatuan Peguam Antara Pasifik dapat membantu para peserta mendalami pemahaman mereka tentang isu-isu berkaitan dan memperluaskan rangkaian kenalan mereka, kata Encik Lee.
"Pada dasarnya, para pengamal undang-undang dengan tahap kesedaran lebih tinggi tentang perkembangan semasa hanya akan membantu sistem-sistem undang-undang dan pelaksanaan sistem perundangan dan keadilan di negara masing-masing," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.