Umrah COVID – Apa yang perlu anda tahu
Baru sebulan lalu saya mengeluh kepada teman-teman rapat yang saya sedang mengalami “demam kabin”.
SINGAPURA: Baru sebulan lalu saya mengeluh kepada teman-teman rapat yang saya sedang mengalami “demam kabin”.
Maklumlah, sudah hampir dua tahun tidak dapat bercuti ke luar negara.
Lagipun, meski lebih banyak Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Sudah Divaksin (VTL) sudah diumumkan, prosesnya lebih leceh dengan prosedur-prosedur tambahan serta peraturan perjalanan lebih ketat bagi perjalanan lebih selamat dalam suasana pandemik.
SCOOT SAMBUNG PENERBANGAN KE JEDDAH
Pengumuman bahawa syarikat Scoot akan menyambung semula penerbangan ulang alik tiga kali seminggu ke Jeddah, Arab Saudi mulai 21 Oktober sangat dialu-alukan ejen-ejen pelancongan Muslim tempatan. Ini kerana mereka dapat menawarkan semula pakej umrah.
Banyak syarikat terjejas apabila kegiatan umrah digantung kerajaan Arab Saudi ekoran penularan koronavirus pada awal tahun lalu.
“Pada 27 Feb 2020, 40 jemaah kami sudah tiba di Istanbul menunggu penerbangan ke Jeddah. Kami terpaksa berpatah balik dan kembali ke Singapura,” kongsi pemilik Ustaz Muhd Nazer Monet dari Thoha Travel & Tours.
PELUANG MENJADI JEMAAH "UMRAH COVID"
Pada 23 Oktober lalu, saya berpeluang mengikuti satu rombongan dari Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) ke Arab Saudi.
Mereka terdiri daripada 13 pemilik dan wakil dari agensi-agensi umrah dan mahu meninjau langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Ini agar mereka dapat mengumpulkan maklumat sebelum menghantar jemaah ke tanah suci dan beribadah dalam norma baru di tengah-tengah pandemik ini.
PERSIAPAN SEBELUM BERANGKAT
Ekoran peraturan COVID-19, peraturan perjalanan tidak semudah seperti di masa lalu. Lebih banyak dokumen yang perlu jemaah siapkan dan diperiksa sebelum dibenarkan melakukan 'check-in' di kaunter Scoot.
Ia termasuk visa elektronik dan insurans perjalanan, salinan bukti sudah selesai divaksinasi, serta dokumen pra-pendaftaran ketibaan Saudi untuk semua penumpang yang sudah divaksin.
Satu lagi dokumen penting adalah hasil ujian PCR negatif yang dilakukan 72 jam sebelum berangkat. Surat tersebut diperiksa sebaik sahaja jemaah tiba masuk ke bangunan terminal di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz di Jeddah.
APLIKASI TAWAKKALNA, EATMARNA
Perkara utama yang semua jemaah harus lakukan selepas melalui pemeriksaan imigresen adalah membeli kad SIM Arab Saudi.
Tanpa nombor telefon Saudi, jemaah tidak dapat mendaftarkan diri untuk aplikasi Tawakkalna – App bijak yang menjadi “kad pengenalan” mereka sepanjang berada di Arab Saudi.
Penolong Setiausaha AMTAS dan Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata: “Jemaah boleh menggunakan dua kad SIM pada satu-satu masa (Dual-SIM card) atau membawa satu lagi telefon bijak tambahan.”
Sstu lagi aplikasi yang perlu dimuat turun adalah “Eatmarna” yang membolehkan jemaah menempah tempat solat tambahan di Raudhah dan Makkah.
Setiap anggota rombongan menguji aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna sepanjang mereka berada di Arab Saudi.
“Sewaktu kami di sini, berlaku masalah teknikal pada aplikasi itu dan juga perubahan syarat tempahan slot ziarah dan solat di Masjid Nabawi,” kongsi Ustazah Juyda lagi.
KELEBIHAN, CABARAN 3 JENIS VISA
Rombongan AMTAS itu turut menguji ketiga-tiga visa berbeza yang ditawarkan, iaitu visa perniagaan, visa umrah dan visa ziarah.
“Dalam keadaan norma baru, protokol baru fungsi-fungsi visa tersebut berbeza. Antara tugas kita adalah untuk mendapat maklumat yang betul dan tepat bagi memudahkan jemaah nanti datang ke sini,” kata Naib Presiden Amtas Ustaz Jalaluddin Hassan.
Jemaah yang datang dengan visa umrah dijamin satu tempat solat di Raudhah dan satu slot umrah.
Oleh kerana saya pemegang visa umrah, saya dapat menempah tempat solat di Raudhah tambahan menerusi App Eatmarna.
Namun bagi pemegang visa perniagaan atau ziarah, mereka hanya boleh menempah solat di Raudhah dan umrah hanya selepas mereka tiba di Arab Saudi.
Pemilik Syarikat Afandi Travels Ustaz Mohamad Afandi Ahmad berkata: "Ada kemungkinan keluarga yang datang dengan visa ziarah mungkin tidak dapat menempah slot pada waktu yang sama. Ini terutama sekali apabila jemaah dari lebih banyak negara dibenarkan masuk bagi ibadah umrah."
Kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila pada 27 Oktober, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaksanakan semula syarat menunggu 30 hari sebelum jemaah boleh mendapatkan tempat untuk melawat Raudhah bagi tujuan bersolat atau menziarahi Makam Nabi Muhammad, di Masjid Nabawi.
UMRAH DALAM NORMA BARU
Rombongan AMTAS tiba di Makkah pada 25 Oktober dan mengerjakan umrah dalam keadaan norma baru di Arab Saudi.
Jemaah umrah masuk melalui pintu dikhususkan yang dikawal ramai pegawai keselamatan.
Kami melakukan tawaf pada 11.00 malam dan suasananya tenang dan terkawal. Ini kerana meskipun tiada lagi peraturan jarak selamat di Masjidil Haram, kawasan keliling Kaabah dikhususkan untuk jemaah umrah sahaja.
Ramai sekali pengawal yang bertugas dalam kawasan Sai yang juga tidak begitu sibuk.
TEMPAHAN SLOT UNTUK TAWAF, SOLAT WAKTU
Banyak persoalan yang timbul tentang bagaimana untuk menempah tempat bagi solat waktu; bolehkah umrah dikerjakan lebih daripada sekali dan cara menempah tempat bagi tawaf sunat atau wada?
Pemegang visa umrah akan diberikan gelang tangan dan mereka tidak perlu menempah tempat untuk solat waktu dalam Masjidil Haram.
Untuk menempah slot umrah atau untuk melakukan tawaf sunat, jemaah boleh melakukannya dengan mudah dengan memilih slot umrah dalam aplikasi Eatmarna.
PCR SEBELUM PULANG KE S'PURA
48 jam sebelum berangkat pulang, kami menjalani satu lagi ujian PCR di Pusat Perubatan Albayt yang terletak berhampiran Masjidil Haram.
Semasa di sana, kami diberi taklimat tentang protokol yang akan dilaksanakan sekiranya seseorang jemaah jatuh sakit atau menunjukkan gejala berkaitan COVID-19.
“Sekiranya ada jemaah yang menunjukkan tanda-tanda gejala dijangkiti koronavirus, kami akan melancarkan protokol yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (MOH) Kerajaan Arab Saudi,” kata Pengarah Perubatan Khalid Salah Hamu.
“Ini termasuk mengasingkan jemaah di bilik berasingan sementara menunggu keputusan ujian PCR. Sekiranya keadaan mereka serius, mereka akan dihantar terus ke salah satu hospital kerajaan bagi rawatan lanjut,” kata beliau.
Semua pemegang visa dilindungi insurans Tawuniya terhadap rawatan berkaitan COVID-19.
BERANGKAT PULANG
Beberapa perkara tambahan harus dilakukan apabila berangkat pulang. Jemaah harus menyiapkan surat ujian PCR negatif dan mendaftarkan diri dalam aplikasi atau menerusi lelaman SG Arrival Card ICA Singapura.
Setiap jemaah dibenarkan membawa pulang satu botol air zam zam 5 liter.
Jemaah mesti menyertakan maklumat sama ada akan melakukan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari di kediaman sendiri ataupun di hotel.
Sepanjang tempoh SHN, pegawai ICA membuat panggilan telefon dan video untuk memastikan jemaah mematuhi arahan tersebut.
Anggota rombongan juga diberi notis untuk melakukan ujian PCR pada hari terakhir SHN mereka. Rombongan kami akan melakukannya di Sekolah Menengah Bishan Park.
PROSEDUR, PROTOKOL KESELAMATAN COVID-19 MEMADAI, AMTAS KEMUKA SARANAN BARU
“Kami sangat berterima kasih dengan anggota-anggota rombongan yang bukan sahaja mengeluarkan perbelanjaan sendiri tetapi juga sanggup berangkat ke Arab Saudi dalam suasana pandemik untuk melalui sendiri prosedur baru yang dilaksanakan,” kata pengarah syarikat Shahidah Travel and Tours Cik Rosila Salim.
AMTAS akan mengemukakan beberapa saranan baru.
“Kami akan mencadangkan beberapa saranan seperti mendapatkan perlindungan insurans perjalanan tambahan dan surat perjanjian ganti rugi bagi pembatalan sekiranya jemaah tidak jadi berangkat sekiranya ada anggota keluarga yang sakit.
“Ini melindungi pihak ejen yang sudahpun membayar sepenuhnya kos hotel dan pengangkutan darat sebelum visa dapat dikeluarkan. Wang itu tidak akan dikembalikan jika jemaah membatalkan perjalanan mereka” kata Ustazah Juyda.
Surat persetujuan itu sudahpun dikongsi dengan semua anggota Amtas.
BILA MULA TAWAR PAKEJ UMRAH?
Sekurang-kurangnya dua syarikat, Al Munawarrah Travel & Tours dan Thoha Travel & Tours tidak merancang untuk menawarkan pakej umrah mereka hujung tahun ini.
Mereka akan menangguhkannya kepada awal tahun depan apabila keadaan dijangka semakin reda.
Bagaimanapun, Pengarah Hahnemann Travel & Tours Cik Fadlun Haji Abdul Kadir berkata beliau merancang untuk menawarkan pakej umrah menggunakan visa umrah dan visa ziarah untuk memberi pilihan kepada pelanggannya.
Beliau juga tidak merancang untuk menetapkan batasan usia.
“Kuota menunaikan fardhu haji pada masa ini sangat terhad dan inilah satu-satunya peluang bagi golongan lanjut usia untuk ke Tanah Suci,” jelas Cik Fadlun.
"Bagaimanapun, kami akan pastikan mereka sihat sebelum berangkat, mengambil insurans yang perlu jadi. Ada pula jemaah yang tidak mahu divasin atau tidak perlu divaksin. Kita akan tunggu keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk golongan sedemikian,” tambah beliau.
Pengarah Hamidah Travel & Tours Encik Badruzzaman Abdul Majid yakin dengan langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang dilaksanakan Kerajaan Arab Saudi.
“Syarikat kami akan memastikan golongan lanjut usia dan lebih mudah berjangkit dapat menunaikan umrah tetapi bersama anggota keluarga yang dapat menjaga mereka,” kata beliau.
“Bilangan jemaah meningkat sehingga 40 peratus pada hari-hari terakhir kami di sana. Namun, saya perhatikan jumlah jemaah yang dibenarkan mengerjakan umrah masih sangat terkawal.”
Kumpulan pertama jemaah umrah Singapura seramai 42 orang dijadual berangkat pada Khamis (4 Nov).
Perjalanan penulis dan juru kamera ditaja sebahagiannya oleh Shahidah Travel & Tours.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.