Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Umat Islam diingatkan keganasan dan kezaliman bercanggah dengan ajaran dan panduan agama

Anggaran Waktu Membaca:
Umat Islam diingatkan keganasan dan kezaliman  bercanggah dengan ajaran dan panduan agama

(Gambar: Ahmad Amirul Ahmad Purnomo Aminul Hafit) Khutbah disampaikan di Masjid Jamae Chulia pada 13 Oktober 2023.

SINGAPURA: Segala bentuk keganasan dan kezaliman tidak kira siapa pencetusnya, apabila bertembung dengan nilai serta identiti umat lslam bercanggah dengan ajaran serta panduan agama.

Demikian antara intipati khutbah Jumaat yang disampaikan di masjid-masjid tempatan hari ini (13 Oktober).

Umat Islam diajak untuk menghayati bagaimana Nabi (s.a.w) pada setiap saat dan ketika, menanam asas-asas keamanan serta kedamaian dalam kehidupan umat manusia.

"Renungkanlah maksud “Afshu al-Salam”, iaitu perintah agar kita menyebarkan kedamaian dengan seluas-luasnya dan sebanyak mungkin kepada umat manusia. Bahkan, ketika berada di kemuncak perbalahan ataupun peperangan, Al-Quran mengajar kita untuk berdamai apabila perdamaian ditawarkan."
(Gambar: Ahmad Nazlie Johari) Khutbah Jumaat di Masjid Mujahidin pada 13 Oktober 2023. .
Khutbah yang disiapkan Pejabat Mufti itu menarik perhatian kepada beberapa kejadian bencana alam di Libya, Afghanistan serta konflik di Palestin.

"Apabila kita mendengar kesakitan ataupun penderitaan oleh sebahagian negara yang mengalami bencana alam seperti banjir terkini di Libya, gempa bumi di Afghanistan, ataupun mangsa konflik dan peperangan di Palestin, pastinya jiwa yang dididik atas nilai hormat dan kasih sayang akan berasa gelisah, sedih bahkan marah juga.

"Apabila menyaksikan mereka yang tidak berdosa terkorban, melihat anak-anak menjadi yatim dengan sekelip mata. Rumah-rumah hancur musnah dalam sekelip mata. Tragedi yang kita saksikan terutamanya yang disebabkan oleh tindakan manusia, tidak hanya memberi kesan kepada umat Islam. Akan tetapi ia memberi kesan kepada seluruh umat manusia. Inilah yang sekarang kita saksikan dalam konflik di negara Palestin. Ia merupakan perkara yang sangat penting dan mendesak. Ini bukan hanya menjejaskan pengikut-pengikut Islam, tetapi juga seluruh umat manusia."
(Gambar: Ahmad Nazlie Johari) Para jemaah di Masjid Mujahidin pada 13 Oktober 2023.
Ia juga mengingatkan jemaah bahawa "segala bentuk keganasan dan kezaliman tidak kira siapa pencetusnya, apabila bertembung dengan nilai serta identiti kita, ia bercanggah dengan ajaran serta panduan agama."

Pada masa yang sangat sukar ini, umat Islam dinasihatkan supaya berusaha untuk membersihkan hati dengan mengisi jiwa mereka dengan sifat belas kasihan dan rahmat serta menyingkirkan segala bentuk kebencian dan permusuhan terhadap orang lain.

Bacaan doa qunut nazilah turut dibacakan di masjid-masjid bagi keamanan di Palestin.
Selain konflik di Palestin, khutbah pada hari ini turut menarik perhatian kepada banjir dahsyat yang melanda Libya.

Ia merupakan banjir yang terburuk dalam beberapa dekad dan telah meragut lebih 4,000 jiwa dan menjejas lebih 250,000 orang.

Masyarakat Islam tempatan diseru untuk menyokong usaha kutipan dana untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir di yang sedang dijalankan Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF).
(Gambar: Ahmad Amirul Ahmad Purnomo Aminul Hafit) Para jemaah di Masjid Jamae Chulia pada 13 Oktober 2023.
Sumbangan derma yang dikumpulkan akan menyokong keperluan segera untuk para mangsa termasuk tempat perlindungan kecemasan, bekalan dan peralatan perubatan serta intervensi perlindungan seperti sokongan psikosocial.

Derma boleh dilakukan melalui tabung-tabung di masjid ini yang menunjukkan kutipan bagi banjir di Libya.

Maklumat lanjut juga boleh didapati di lelaman web Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF).
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan