Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Umar Rasyideen antara pelajar terbaik PSLE Madrasah Irsyad Zuhri tahun ini

Sejak dari Darjah 1 lagi, pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Umar Rasyideen Mohamed Salehin, merupakan pelajar cemerlang

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak dari Darjah 1 lagi, pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Umar Rasyideen Mohamed Salehin, merupakan pelajar cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik dan ukhrawi malah dalam kegiatan luar darjah seperti robotik, badminton, dan sukan renang.

Dalam aktiviti sekolah berkaitan agama pula, Umar merupakan juara Tilawah dan Tahfiz Al-Quran peringkat nasional.

Sejak dari darjah empat, dia juga merupakan Ketua Pelajar, dan tahun lalu pula Umar merupakan Ketua bagi semua Ketua Pelajar di madrasahnya itu, serta menjadi sukarelawan di masjid.

(Gambar: MUIS) 

Jelas, Umar seorang pelajar bijak dan serba boleh.

Hari ini (25 Nov), dia mencatat satu lagi pencapaian besar apabila diumumkan sebagai antara 10 pelajar terbaik PSLE bagi Madrasah Irsyad Zuhri, setelah mendapat 1 A* serta 3A.

"Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru agama. saya rasa keputusan PSLE dan ISPE saya akan menolong saya untuk menjadi seorang guru agama.

"Kejayaan saya tidak akan dapat dicapai tanpa berkat doa ibu bapa saya dan didikan daripada guru-guru yang berdedikasi dalam sekolah ini dan juga dorongan beberapa teman-teman saya yang selalu menolong saya," kongsinya dengan pihak kami.

PELAJAR CEMERLANG INGIN JADI DOKTOR

Turut menjadi antara pelajar terbaik PSLE di madrasah yang sama ialah Farhanah Abdul Wahid.

Farhanah lulus dengan keputusan cemerlang 3 gred A* dan 1 gred A.

Ketua pelajar yang aktif dalam kegiatan CCA ini bercita-cita menjadi pakar perubatan.

"Alhamdulillah saya sebenarnya tidak sangka untuk mendapat markah setinggi ini. Keputusan ini akan menolong saya mencapai cita-cita saya untuk menjadi doktor.

"Saya mahu menolong orang yang sakit dan terutamanya saya hendak membanggakan ibu bapa saya," ujar beliau.

SITUASI DI RUMAH TAK HALANG JADI ANTARA PELAJAR TERBAIK

Sementara itu, bagi pelajar Madrasah Al-Maarif, Rafeeah Mohamed Hasan Kuthus, cabarannya melalui PSLE cukup unik.

Rafeeah adalah anak keenam daripada 10 adik beradik dengan tiga sudah berkahwin dan mempunyai rumah sendiri.

Sepanjang persiapan bagi menduduki PSLE rumahnya sentiasa bising kerana Rafeeah tujuh beradik tinggal sebumbung.

Lantaran itulah Rafeeah biasanya belajar selepas tengah malam hinggalah jam 3.00 pagi.

Sungguhpun demikian, dia mampu mendapat tempat pertama dalam pengajian Quran dan Bahasa Arab di Madrasah Al-Maarif.

Hari ini Rafeeah tersenyum lebar kerana mendapat 2 gred A dan 2 gred B.

"Apabila saya belajar untuk PSLE, rumah saya bising kerana saya ada ramai adik beradik dan saya tidak sangka saya akan dapat markah begitu. Tetapi saya tidak boleh mendapat markah begitu tanpa sokongan dan dorongan oleh guru-guru saya," katanya.

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. (Gambar fail: BERITAMediaCorp)

MWTI KEMBALI DENGAN KEPUTUSAN BAIK

Pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah yang kembali menduduki PSLE selepas tiga tahun, berjaya mencatat keputusan memberangsangkan.

96.6 peratus pelajar madrasah itu yang mengambil PSLE lulus dan layak ke sekolah menengah.

Secara keseluruhannya 98.5 peratus daripada 323 pelajar madrasah yang menduduki PSLE layak ke sekolah menengah - peratusan yang setanding dengan keputusan pelajar PSLE di peringkat nasional.

Mengulas keputusan PSLE madrasah tahun ini, MUIS memuji pihak madrasah kerana mencatat prestasi baik dan ia "bangga dengan kerja keras para pemimpin madrasah, guru, pelajar dan ibu bapa". 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan