Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ulu Pandan kawasan pertama antara 4 estet HDB bebas kereta; lebih banyak laluan pejalan kaki, berbasikal

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Oct 2022 12:31PM Dikemas Kini : 05 Oct 2022 09:20PM

SINGAPURA: Empat estet perumahan awam akan ditetapkan sebagai tempat bebas kereta atau "car-lite", dengan ruang meletak kenderaan dikurangkan bagi memberi laluan kepada lebih banyak kemudahan awam serta kehijauan. 

Demikian diumumkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (5 Okt). 

Estet-estet tersebut - Ulu Pandan, Mount Pleasant, Tengah dan tapak Keppel Club, yang merupakan sebahagian daripada Kawasan Pesisiran Selatan (GSW), akan "dirancang awal dengan pengangkutan awam, laluan penghubung berbasikal serta pejalan kaki yang baik," menurutnya. 

Dengan peruntukan terhad tempat meletak kenderaan, ia akan diutamakan bagi para penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan tersebut. 

Dua kawasan lain - Tanjong Rhu dan Pearl’s Hill - juga akan diwartakan oleh LTA sebagai bebas kereta manakala kawasan bebas kereta sedia ada di Bayshore pula akan diperluaskan. 

Ulu Pandan bakal menjadi kawasan HDB bebas kereta yang pertama di Singapura, direka bentuk bagi menggalak penduduk mendakapi "mod mesra alam ketika membuat perjalanan", terang HDB dan LTA. Flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di estet itu dijangka dilancarkan dalam penjualan akan datang pada November 2022. 

Ruang meletak kenderaan akan dikurangkan di kawasan berhampiran stesen MRT Dover bagi memberi ruang untuk kegunaan lain seperti ruang masyarakat yang dikongsi, laluan pejalan kaki dan berbasikal, taman serta kehijauan, tambah pihak-pihak berkuasa. 

Para penduduk projek perumahan awam baru di Ulu Pandan akan mempunyai akses mudah kepada perkhidmatan kereta api dan bas, dengan laluan sambungan berbumbung yang menghubungkan mereka secara langsung kepada stesen MRT Dover serta akses bebas hadangan ke perhentian bas di Commonwealth Avenue. 

Rangkaian laluan berjalan kaki dan berbasikal juga akan disediakan, lantas memberikan penduduk akses mudah kepada pusat kejiranan dan kemudahan-kemudahan utama di Ghim Moh melalui Rangkaian Penghubung Taman. 

Sumber : CNA/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan