Skip to main content

Singapura

Ulang tahun REACH ke-40 diraikan, usaha mendampingi penduduk SG akan diperluaskan

Pemerintah komited untuk memperkukuhkan kerjasama antara pemerintah dengan rakyat Singapura dalam mencari huraian isu-isu semasa.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemerintah komited untuk memperkukuhkan kerjasama antara pemerintah dengan rakyat Singapura dalam mencari huraian isu-isu semasa.

Perdana Menteri Lawrence berkata demikian dalam acara sambutan ulang tahun unit maklum balas REACH yang ke-40 pada Sabtu (29 Mac).

"Kita juga harus mengadakan dialog antara individu, antara kumpulan yang berbeza dengan pandangan yang berbeza, untuk membina kepercayaan dan persefahaman yang lebih baik.

"Kita perlu mewujudkan ruang yang lebih biasa dan selamat untuk rakyat Singapura yang berbeza latar belakang untuk bertemu, bercakap dan membina persefahaman yang sama, terutamanya mengenai isu-isu yang sukar untuk mencapai persefahaman," kata PM Wong.

Lebih 300,000 orang sudahpun menyertai usaha-usaha yang diterajui REACH sejak 2023.

GOLONGAN BELIA SEMAKIN PEKA, MINAT UNTUK BINCANGKAN ISU SEMASA

Semakin ramai golongan belia yang berminat dan terbuka untuk mengutarakan maklum balas mereka berkenaan isu-isu semasa.

Pemerhatian itu dikongsikan Timbalan Pengerusi REACH, Rahayu Mahzam bersempena ulang tahun unit maklum balas pemerintah itu yang ke-40 tahun ini.

"Saya cukup rasa berbangga dan juga terdorong kerana mungkin kalau kita katakan anak-anak muda ini mereka hanya fikirkan diri mereka sendiri sahaja. Tidak fikirkan tentang isu-isu masa kini tapi dalam pengalaman saya dengan melihat penglibatan yang amat meluas daripada anak-anak muda kita, ianya cukup memberikan saya semangat," kata Cik Rahayu kepada wartawan Syawal Yusoff.

Bagi mendampingi golongan belia, REACH menggunakan pelbagai wadah yang antaranya termasuk sesi-sesi dialog di institusi-institusi pengajian tinggi serta kolaborasi dengan badan-badan masyarakat seperti 'Friendzone'.

Isu-isu yang dibincangkan juga pelbagai tapi dekat dengan golongan belia termasuk kesejahteraan mental, keharmonian kaum, ketidakadilan sosial dan perubahan iklim.
Cik Rahayu yang juga Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital itu turut menarik perhatian inisiatif mendampingi belia seperti 'Singapore Model Parliament' (SMP) yang sudahpun disertai 700 belia sejak dimulakan sedekad yang lalu.

"Jumlah itu semakin meningkat. Mereka ini sebenarnya berkejar-kejar untuk mendapat penglibatan dalam acara ini. Ini menunjukkan keinginan mereka untuk membincangkan isu-isu terkini. Kami ada banyak dialog dalam setahun. Dalam sekarang ini mungkin sudah 20 dialog yang kami sudah anjurkan bersama anak-anak muda," ujar Cik Rahayu yang juga Menteri Negara Kesihatan.

Bagi memperkukuhkan lagi usaha mendekati belia dan memperkasakan golongan itu, sebuah panel penasihat belia ditubuhkan pada 2022.

Dianggotai seramai 19 anggota mewakili belia dari universiti, politeknik, ITE, institusi seni dan badan-badan bantu diri tempatan, belia diharap dapat menawarkan perspektif tentang isu-isu nasional dan bekerjasama dengan REACH untuk sama-sama mereka dan melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk belia.

"Saya sebenarnya rasa terkesan dengan penglibatan mereka dan mereka mungkin, tidak semua sama tapi ramai yang mampu mengutarakan pendapat yang amat baik dan ianya juga bernuansa, ianya khusus pada pendapat mereka kerana mereka memberikan kami sedikit gambaran ke dalam kehidupan mereka daripada perspektif mereka," tambahnya.

DAPATKAN SUARA-SUARA BERBILANG INDUSTRI

Selain golongan belia, REACH juga giat mendekati masyarakat berbilang industri.

Menerusi Panel Penasihat REACH, ianya berupaya mendampingi masyarakat dari industri-industri termasuk perniagaan, persekitaran, kesihatan mental, keluarga, media dan pembangunan wanita.

Para anggota panel itu memberi nasihat serta bekerjasama dengan REACH dalam usaha-usaha mendampingi rakyat tentang dasar-dasar kebangsaan dan inisiatif sedia ada.

Antara 35 anggota mewakili industri perniagaan ialah pengasas syarikat 'The Black Hole Group', Mustaffa Kamal.

"Menjadi anggota dalam Panel Penasihat REACH dapat meluaskan pemandangan dan pemahaman masyarakat dan perniagaan untuk saya. Saya juga dapat melancarkan perbualan di antara pihak berkuasa dan segmen-segmen di dalam masyarakat," kata Encik Mustaffa.
Antara 35 anggota mewakili industri perniagaan ialah pengasas syarikat 'The Black Hole Group', Mustaffa Kamal. (Gambar: Syawal Yusoff)
Berbekalkan 12 tahun pengalamannya, beliau banyak menyumbang idea dan keprihatinan peniaga-peniaga makanan dan minuman, khususnya peniaga Melayu/Islam.

Beliau juga giat bekerjasama dengan anggota-anggota panel yang lain untuk mengendalikan sesi-sesi dialog dan 'podcast'.

Sepanjang tiga tahun menjadi anggota panel, Encik Mustaffa berpendapat bahawa format-format perbincangan lebih santai adalah lebih kondusif dan berhasil bagi memupuk perbualan dan mendapatkan maklum balas yang berguna.

"Selalunya jika ada sesi-sesi pendampingan di antara pihak berkuasa dan masyarakat yang boleh dikatakan usahawan di Singapura, selalunya formatnya sedikit formal. Dua minggu lalu, kami adakan sesi iftar bersama Perdana Menteri dan formatnya lebih tidak formal dan kalau formatnya tidak formal, idea-idea akan lebih mengalir dan soalan-soalannya juga lebih terbuka. Saya berharap pada masa hadapan, REACH akan menganjurkan majlis-majlis sebegitu yang tidak formal supaya pendampingannya boleh lebih autentik, lebih ikhlas," ujarnya.

PENGLIBATAN MASYARAKAT MELAYU

Dalam pada itu, Cik Rahayu turut mengalu-alukan dan menghargai penglibatan aktif masyarakat Melayu dalam usaha-usaha REACH sepanjang 40 tahun.

"Penglibatan masyarakat Melayu amat memberangsangkan. Kami tentu sekali harus memikirkan cara yang khusus untuk menyampaikan informasi itu. Jadi, kita perlu fikirkan juga apakah isu-isu yang mungkin lebih menjadi keprihatinan masyarakat kita. Dengan memikirkan isu-isu itu, kita boleh melakar ataupun mengadakan acara atau perbincangan yang tertentu berkenaan dengan hal itu," jelasnya.

Pemerintah katanya juga peka untuk menggunakan platform-platform yang popular di kalangan masyarakat Melayu dan sesuai dengan demografi.

"Dengan menggunakan juga ruang di mana sudah adanya ikutan daripada masyarakat kita, ia mempermudahkan kami juga untuk memberikan informasi atau adakan saluran untuk kami sampaikan. Kami juga melihat maklum balas daripada masyarakat kami yang berguna yang dapat memberikan sedikit gambaran kepada pemerintah untuk mungkin merubah cara komunikasi, memperhalusi cara kami menyampaikan mesej itu dan saya rasa itu amat berkesan dan berguna,".

Maklum balas yang diterima juga membantu pemerintah lebih memahami sentimen rakyat terutama bagi pembentangan belanjawan dan Rapat Umum Hari Kebangsaan.

Format perbincangan juga disesuaikan mengikut penonton atau pendengar yang disasarkan.
"Kami fikirkan tentang demografi-demografi yang berbeza kerana cara mereka berkomunikasi juga berbeza. Jadi, kami perlu fikirkan kerana mungkin warga yang lebih tua, mereka masih lagi mendengar radio dan kami juga bekerjasama dengan radio untuk menyampaikan mesej-mesej kita," tambahnya.

WADAH-WADAH MAKLUM BALAS BERSIFAT INKLUSIF

Selain interaksi secara fizikal seperti 'Listening Points' di kawasan-kawasan bandar dan kejiranan serta sesi-sesi dialog, REACH juga menggunakan platform digital seperti media sosial dan Telegram.

Cik Rahayu menekankan, penting untuk pemerintah bersikap inklusif dan prihatin terhadap golongan yang mungkin kurang celik digital termasuk warga emas dan yang kurang upaya.

"Itu yang saya rasa menunjukkan keinginan atau kesungguhan pihak REACH untuk betul mendampingi masyarakat umum. Kami ke pasar-pasar, sekolah dan tempat-tempat kerja. Jadi, ianya amat menyeluruh tapi kami akan terus fikirkan cara yang terbaik untuk menjangkau masyarakat," kata Cik Rahayu.

Namun dengan luasnya pendigitalan, ia bermakna pemerintah juga perlu bersaing dengan kandungan yang mungkin kurang sahih.

Lantaran itu, pemerintah akan memperkenalkan Kit Perpaduan Sosial untuk membantu rakyat dalam mengemudi perbincangan yang lebih mencabar tentang isu-isu nasional dan sosial.

"Kit ini dapat membantu kami untuk terus mengadakan kerencaman dan memikirkan apakah cabaran masa kini yang perlu kami teliti dalam kita mengadakan perbincangan ini kerana dalam perbincangan, kami sebenarnya mengajak semua menyuarakan pendapat mereka yang berbeza. Dalam situasi itu, kami boleh mungkin membuat orang jadi kurang selesa dengan antara satu sama lain dan kami tidak mahu ianya berakhir dengan cara yang buruk.

"Kamu harus tahu bagaimana untuk menyuarakan. Jadi, orang dapat sedar ‘Oh sebenarnya ada pandangan yang berbeza’ tapi dalam masa yang sama sampai ke dalam satu huraian yang lebih bermanfaat kepada negara," ujarnya.

REACH bermula sebagai Unit Maklum Balas pada 1985 sebelum dinamakan semula sebagai REACH (Reaching Everyone for Active Citizenry @ Home) pada October 2006.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita