Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ulang tahun ke-40 MENDAKI titik pencapaian penting, terus main peranan besar dalam kemajuan masyarakat Melayu/Islam, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Yayasan MENDAKI sempena ulang tahunnya yang ke-40.

Encik Lee berkata ia adalah satu titik pencapaian MENDAKI yang penting dan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh warga kerja dan sukarelawan MENDAKI.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan bahasa Melayu di majlis sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40 di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS) hari ini (1 Okt).

"MENDAKI ditubuhkan 40 tahun lalu sebagai sebuah badan bantu diri. Ia memperjuangkan peranan penting pendidikan sebagai pemangkin kemajuan masyarakat. Para pengasas MENDAKI berpegang kuat kepada prinsip, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Mereka menggembleng masyarakat supaya bekerjasama demi mencapai misi MENDAKI, dengan individu yang berjaya turun padang membantu yang lain," kata beliau.

MENDAKI, kata Encik Lee, memainkan peranan besar dalam kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

"Dengan sokongan Pemerintah, ia terus melaksanakan pelbagai program untuk menyokong masyarakat. Bukan sahaja MENDAKI, malah badan-badan Melayu/Islam lain juga memainkan peranan masing-masing. Begitu juga ramai individu yang tampil menghulurkan bantuan. Ternyata, pendekatan bantu diri ini berjaya mendorong kemajuan masyarakat Melayu/Islam atas usaha anda sendiri dan membolehkan anda berasa bangga dengan apa yang dicapai," ujar beliau.

Tambahnya, keadaannya hari ini jauh lebih baik dengan prestasi anak-anak Melayu/Islam kian meningkat.

Encik Lee menarik perhatian kepada lebih 400 penerima Anugerah MENDAKI pada tahun ini, yang menurut beliau adalah satu lonjakan besar berbanding hanya segelintir penerima apabila anugerah tersebut mula-mula diperkenalkan.

Menurut Encik Lee, tahap pendidikan yang lebih tinggi sudah membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik dan lebih bermakna.

Ini sekaligus membolehkan mereka membina kehidupan yang lebih makmur bukan saja buat diri sendiri, bahkan untuk keluarga masing-masing juga.

"Kadangkala, ada yang memandang remeh kejayaan-kejayaan ini dan menganggapnya mudah dicapai. Tetapi bagi mereka yang melalui jerih payah untuk mengecap kejayaan, mereka hargai betapa besarnya semua pencapaian ini," ungkap beliau.

Encik Lee juga mengingatkan masih banyak lagi yang perlu diusahakan meskipun masyarakat Melayu/Islam berjaya mencatat kemajuan besar. Ini kerana, jelasnya, aspirasi dan keperluan masyarakat Melayu/Islam semakin berkembang.

Pada masa yang sama, masih ada lagi anggota masyarakat yang memerlukan bantuan tambahan.

Lantaran itu, kata Encik Lee, "kita mesti berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak ketinggalan".

"Saya yakin jika kita semua sama-sama berganding bahu, kita akan dapat saksikan kemajuan masyarakat Melayu/Islam yang jauh lebih hebat."

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan