Ujian wajib COVID-19 bagi semua penduduk di Blok 113 Ang Mo Kio Avenue 4 selepas 9 kes dikesan
Semua penduduk di Blok 113 Ang Mo Kio Avenue 4 dikehendaki menjalani ujian wajib COVID-19 selepas sembilan orang dari lima isi rumah di blok berkenaan disahkan dijangkiti COVID-19.

Blok 113 Ang Mo Kio Avenue 4. (Gambar: Google Maps)
SINGAPURA: Semua penduduk di Blok 113 Ang Mo Kio Avenue 4 dikehendaki menjalani ujian wajib COVID-19 selepas sembilan orang dari lima isi rumah di blok berkenaan disahkan dijangkiti COVID-19.
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (28 Ogos).
Siasatan epidemiologi masih diteruskan bagi menentukan kaitan dan sumber jangkitan.
Bagi mengesan sebarang kes tambahan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat, semua penduduk di 113 Ang Mo Kio Avenue 4 akan perlu menjalani ujian wajib di kolong blok itu pada Ahad, antara 9 pagi dengan 4 petang, tambah MOH.
Pilihan diberi bagi mereka yang diuji negatif COVID-19 mulai 25 Ogos,untuk menjalani ujian berkenaan.
MOH mengingatkan setiap orang yang menjalani ujian agar membawa kad pengenalan bagi tujuan mengenal pasti diri mereka.
Risalah telah diedarkan dan pesanan SMS pula dikirimkan kepada penduduk bagi memberi mereka lebih maklumat.
Penduduk dinasihatkan agar mengawasi kesihatan mereka secara rapi dan segera pergi ke doktor jika rasa tidak sihat.
"Mereka yang masih menantikan hasil ujian dinasihati agar mengurangkan interaksi sosial mereka seberapa banyak yang boleh," kata MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.