Skip to main content

Singapura

Ujian wajib COVID-19 bagi penduduk blok 639 Rowell Road selepas 12 kes dikesan

Penduduk di blok 639 Rowell Road di Jalan Besar perlu menjalani ujian COVID-19 selepas 12 kes jangkitan dikesan di blok itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian wajib COVID-19 bagi penduduk blok 639 Rowell Road selepas 12 kes dikesan

639 Rowell Road. (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 15 Jul 2021 10:21PM Dikemas Kini : 15 Jul 2021 10:23PM

SINGAPURA: Penduduk di blok 639 Rowell Road di Jalan Besar perlu menjalani ujian COVID-19 selepas 12 kes jangkitan dikesan di blok itu.

Kesemua 12 kes itu adalah dari dua isi rumah, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (15 Jul), sambil menambah ia sedang menyiasat "kemungkinan penularan COVID-19" di blok tersebut.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk menentukan kaitan dan sumber penularan, menurut MOH.

Ujian akan dijalankan di astaka di blok 636 Veerasamy Road pada 16 Julai antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang. Ujian itu tidak diwajibkan ke atas mereka yang sudah menjalani ujian COVID-19 dan mendapat keputusan negatif sejak 11 Julai, menurut MOH.

Dalam catatan di Facebooknya, Anggota Parlimen bagi kawasan itu Denise Phua berkata ujian tidak akan diadakan di kolong blok 639 Rowell Road disebabkan adanya kemudahan-kemudahan lain dan kedai di sana.

Semua penduduk di blok 639 Rowell Road akan menerima kiriman SMS dan surat untuk memaklumkan tentang ujian wajib itu, kata Cik Phua, yang juga naib pengerusi Majlis Bandaran Jalan Besar.

Beliau menambah majlis bandaran sudah membersihkan dan menjalankan kerja-kerja membasmi kuman di blok yang terjejas.

UJIAN SUKARELA BAGI PENGUNJUNG

Untuk mengesan kemungkinan kes tidak bergejala dalam masyarakat, MOH menyatakan ia akan menjalankan ujian sukarela ke atas pengunjung dan mereka yang berinteraksi dengan penduduk blok 639 Rowell Road antara 30 Jun dengan 14 Julai.

Ujian bagi pengunjung hanya akan dijalankan menerusi janji temu di pusat-pusat pemeriksaan daerah yang ditetapkan pada 16 Julai dan 17 Julai antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang.

"Sekiranya kes positif COVID-19 dikesan, MOH akan mengasingkan kes itu, mengenal pasti semua kontak rapat, menjalankan ujian dan kuarantin mereka untuk melindungi masyarakat daripada penularan lanjut," tambah MOH.

Penduduk dinasihatkan agar memantau kesihatan mereka dan segera berjumpa doktor jika tidak sihat.

MOH juga menasihatkan mereka yang sedang menunggu keputusan ujian supaya mengurangkan interaksi sosial sebanyak mungkin. Mereka harus terus memantau kesihatan dan segera berjumpa doktor jika tidak sihat.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita