Ujian wajib COVID-19 bagi 4 blok HDB di Chin Swee Road, Jalan Kukoh
Ujian wajib COVID-19 akan dijalankan bagi kesemua penduduk serta pekedai di empat blok perumahan di Chin Swee Road dan Jalan Kukoh setelah kes koronavirus dilaporkan di sana, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (14 Ogos).

Blok 3 Jalan Kukoh (Petikan Skrin: Google Maps)
SINGAPURA: Ujian wajib COVID-19 akan dijalankan bagi kesemua penduduk serta pekedai di empat blok perumahan di Chin Swee Road dan Jalan Kukoh setelah kes koronavirus dilaporkan di sana, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (14 Ogos).
Pemilik dan kakitangan unit komersil di blok-blok tersebut juga akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan dalam masyarakat.
Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, kakitangan dan pekerja pembersihan di Pusat Makanan Jalan Kukoh (1 Jalan Kukoh) turut diwajibkan menjalani ujian COVID-19.
Namun ujian boleh diambil secara sukarela bagi mereka yang pernah disahkan negatif COVID-19 sejak 11 Ogos.
Setakat ini, lima kes COVID-19 dikesan di dua isi rumah di 52 Chin Swee Road, yang bercantum dengan blok 53, menurut MOH dalam kenyataannya.
Tiga kes COVID-19 pula dikesan di tiga rumah di 3 Jalan Kukoh, manakala tujuh lagi kes dikesan di empat isi rumah di 9 Jalan Kukoh.
"Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk mengenal pasti kaitan dan sumber jangkitan," kata MOH.
Ujian wajib COVID-19 akan dijalankan pada 15 Ogos dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang di kolong blok antara 51 dengan 53 Chin Swee Road.
Sementara itu, pada 15 dan 16 Ogos, ujian akan dijalankan antara 9.00 pagi hingga 4.00 petang di kolong blok tingkat 4, 9 Jalan Kukoh.
Menurut MOH, risalah dan makluman SMS sudah dihantar kepada penduduk terjejas.
Mereka diingatkan supaya membawa kad pengenalan serta mengikut waktu janji temu mereka.
"Para penduduk juga dinasihatkan supaya memantau keadaan kesihatan mereka dengan teliti dan segera berjumpa doktor jika tidak sedap badan," nasihat MOH.
"Mereka yang sedang menantikan hasil ujian dinasihatkan agar seberapa boleh mengurangkan pergaulan sosial mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.