Ujian wajib COVID-19 bagi 3 blok HDB di Bukit Batok East, Chin Swee Road dan Tessensohn Road
Semua penduduk di tiga blok HDB di 237 Bukit Batok East Avenue 5, 51 Chin Swee Road dan 683 Tessensohn Road dikehendaki menjalani ujian swab COVID-19 setelah beberapa jangkitan dikesan di 12 isi rumah, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).

(Petikan skrin: Google Street View)
SINGAPURA: Semua penduduk di tiga blok HDB di 237 Bukit Batok East Avenue 5, 51 Chin Swee Road dan 683 Tessensohn Road dikehendaki menjalani ujian swab COVID-19 setelah beberapa jangkitan dikesan di 12 isi rumah, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (6 Ogos).
Pemilik dan kakitangan unit komersil di Chin Swee Road dan Tessensohn Road itu juga akan diuji untuk mengesan sebarang jangkitan dalam masyarakat.
Setakat ini, tujuh kes COVID-19 dikesan di empat isi rumah di 237 Bukit Batok East Avenue 5, menurut MOH dalam satu kenyataan media.
Di 51 Chin Swee Road pula, empat kes dikesan di empat isi rumah. Cebisan virus juga dikesan dalam sampel air kumbahan yang diambil dari blok itu.
Sementara itu lapan kes dikesan di empat isi rumah di 683 Tessensohn Road.
Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk mengenal pasti kaitan dan sumber jangkitan, kata MOH.
Ujian wajib untuk ketiga-tiga blok akan dijalankan pada Sabtu antara 9.00 pagi dengan 4.00 petang.
Ujian boleh diambil secara sukarela bagi mereka yang telah diuji negatif COVID-19 sejak 2 Ogos.
Penduduk di blok Bukit Batok East Avenue 5 boleh pergi ke 236 Bukit Batok East Avenue 5 untuk mengambil ujian mereka.
Bagi penduduk Chin Swee Road, ujian akan diadakan di kolong blok antara 51 dan 53 Chin Swee Road.
Bagi blok di Tessensohn Road, ujian akan dijalankan di tingkat 4A tempat meletak kereta bertingkat di 678 Perumal Road.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.