Ujian sistem amaran kecemasan SG Alert bagi pengguna Singtel dijalankan pada tengah hari 10 Mei
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menjalankan ujian awam SG Alert di seluruh Singapura bagi pengguna Singtel pada Ahad (10 Mei) pada pukul 12.00 tengah hari, sebagai sebahagian daripada pelancaran sistem amaran kecemasan itu.
Demonstrasi SG Alert, sistem amaran kecemasan kebangsaan. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
SG Alert direka untuk memaklumkan dengan segera orang awam jika berlaku kebakaran besar-besaran, ancaman kimia atau pengganas, atau bahaya lain yang perlukan tindakan segera.
Semasa uji cuba pada Ahad, mereka yang menggunakan rangkaian Singtel termasuk pelawat asing dengan pelan eSIM data sahaja dan mereka yang melanggan pengendali rangkaian maya mudah alih yang menyewa kapasiti rangkaian dari Singtel, seperti Gomo dan Zero1 akan menerima makluman tersebut.
Makluman itu juga boleh diterima meskipun tanpa sebarang sambungan Internet, menurut SCDF dalam satu kenyataan media pada Rabu sambil menambah: "Orang awam dinasihatkan supaya tidak cemas."
Makluman itu akan muncul sebagai pemberitahuan dengan tajuk SG Alert, diringi dengan bunyi nada dering amaran yang unik dan rentak gegaran selama tempoh sehingga 10 saat.
Makluman itu juga boleh memintas tetapan "Jangan Ganggu" atau mod senyap pada telefon bimbit.
Bagi para pengguna dengan model telefon bimbit yang lama, tajuk pemberitahuan itu mungkin dipaparkan sebagai "Amaran Presiden", disebabkan oleh isu keserasian.
Tidak kira tajuk yang dipaparkan, kandungan amaran kecemasan kekal sama, menurut SCDF pada April, sambil menambah bahawa ia akan berusaha untuk menyeragamkan tajuk mesej itu.
Para pengguna tidak perlu memuat turun sebarang aplikasi atau mendaftarkan akaun untuk menerima SG Alert.
Namun telefon bimbit perlu menggunakan sistem operasi terkini bagi memastikan akses tanpa gangguan kepada makluman itu.
SG Alert hanya disokong pada telefon bimbit yang menggunakan Apple iOS 26.4 dan versi kemudian atau Android OS 12 dan ke atas, dengan kemas kini sistem Google Play mulai 1 Februari 2026.
Sistem amaran itu akan dilancarkan bagi pengguna StarHub menjelang akhir 2026, disusuli dengan pengguna M1 dan Simba menjelang pertengahan 2027, menurut SCDF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.