Skip to main content

Singapura

Ujian rutin berjadual COVID-19 dihentikan untuk semua pekerja mulai 29 Mac

Pekerja di semua sektor tidak lama lagi tidak lagi perlu menjalani ujian rutin berjadual (RRT), kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (24 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pekerja di semua sektor tidak lama lagi tidak lagi perlu menjalani ujian rutin berjadual (RRT), kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (24 Mac).

Ia bermula 29 Mac ini, dan merupakan sebahagian daripada strategi ujian selanjutnya apabila keadaan COVID-19 semakin reda, kata kementerian itu.

"Kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi dalam kalangan sektor yang masih menggunakan RRT, dan pematuhan ketat terhadap langkah pengurusan selamat sudah cukup untuk melindungi individu dalam sektor tersebut, kini kita telah melepasi kemuncak gelombang Omicron," kata MOH.

Sejak 18 Feb lalu, MOH memperhalusi keperluan RRT kepada sektor-sektor tertentu yang berurusan dengan kumpulan lemah dan mudah terdedah serta beberapa pekerja perkhidmatan penting.

"Sebagai sebahagian daripada peralihan tumpuan kami ke arah melindungi mereka yang mudah terdedah dan memandangkan aturan RRT yang kurang berkesan dalam membendung varian Omicron disebabkan tempoh inkubasi yang lebih pendek, kebolehjangkitannya yang lebih tinggi, kami telah menyelaraskan RRT untuk digunakan hanya pada keadaan melibatkan kumpulan yang mudah terdedah dan sektor perkhidmatan penting tertentu," kata kementerian itu pada Khamis.

Dengan keperluan RRT dihentikan sepenuhnya, MOH menyatakan pihaknya juga akan menghentikan subsidi yang disediakan untuk syarikat menjalankan RRT.

Majikan dan perniagaan yang ingin menjalankan ujian tetap di tempat kerja boleh terus berbuat demikian dengan menanggung kos sendiri, katanya.

"Individu masih digalakkan untuk membuat ujian sendiri apabila mereka berasa tidak sihat atau baru-baru ini berhubung rapat dengan orang yang dijangkiti. Mereka juga harus mematuhi protokol kesihatan yang diperlukan jika mereka disahkan positif," tambahnya.

"Syarikat harus terus membenarkan pekerja mereka berehat di rumah jika mereka disahkan positif, tanpa perlukan sijil perubatan atau memo pemulihan."

BENARKAN PESAKIT COVID-19 YANG LEBIH MUDA PULIH DI RUMAH

MOH juga mengumumkan bahawa pesakit COVID-19 berusia 12 bulan hingga dua tahun akan diuruskan di bawah Protokol 2, di bawah aturan pilihan, sama ada di rumah atau di bawah jagaan doktor mereka, mulai Jumaat.

Di bawah Protokol 2, pesakit COVID-19 yang sihat dan diuji positif, atau telah dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan, harus mengasingkan diri di rumah selama sekurang-kurangnya 72 jam dan boleh menyambung semula aktiviti sebaik sahaja mereka diuji negatif menggunakan ujian antigen pantas.

Data klinikal tempatan yang dikumpul semasa gelombang Omicron menunjukkan bahawa kebanyakan kanak-kanak dalam kumpulan umur 12 bulan hingga dua tahun mengalami gejala ringan dan pulih dengan baik dalam masyarakat, kata MOH.

"Oleh itu, setelah berunding dengan pakar pediatrik, MOH kini akan menambah kumpulan umur yang layak," katanya.

"Kami sebelum ini membenarkan pesakit berumur tiga hingga 69 tahun pulih di rumah di bawah Protokol 2 tanpa mengambil kira status vaksinasi, kerana sebahagian besar daripada mereka dalam kumpulan usia itu dengan sendirinya boleh pulih dengan selamat," tambah MOH.

PEKERJA HIJRAHAN BOLEH KELUAR TANPA PERLU JALANI ART

Berhubung pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori, MOH menyatakan mereka tidak perlu lagi melakukan ART sebelum keluar melawat ke tempat-tempat masyarakat.

Sejak 15 Mac lalu, MOH telah menambah kuota slot lawatan ke tempat masyarakat bagi pekerja hijrahan yang telah divaksin daripada 3,000 pada hari bekerja, dan 6,000 untuk hujung minggu dan cuti umum kepada 15,000 dan 30,000.

Kuota itu tidak berubah, kata MOH, sambil menambah bahawa pekerja hijrahan yang tidak divaksin masih tidak akan dibenarkan keluar ke tempat masyarakat untuk "melindungi" mereka daripada jangkitan.

Mulai 1 Apr, pekerja hijrahan yang sudah divaksin juga tidak perlu lagi memohon bagi pas keluar untuk melawat pusat riadah. Hanya pekerja yang tidak divaksin harus terus memohon pas keluar dan mengambil ART sebelum lawatan ke pusat riadah, kata MOH.

Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita