Skip to main content

Singapura

Ujian proaktif sumbang kepada peningkatan kes dalam masyarakat; keadaan COVID-19 S'pura tetap terkawal

Peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat baru-baru ini semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura disebabkan penyaringan "proaktif", dan keadaan tetap "terkawal" dengan peningkatan kes baru "dalam jangkaan", menurut pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 pada Isnin (8 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jun 2020 08:41PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 12:40AM

SINGAPURA: Peningkatan pada jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat baru-baru ini semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura adalah disebabkan oleh penyaringan "proaktif" dan keadaan tetap "terkawal" dengan peningkatan kes baru "dalam jangkaan", menurut pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 pada Isnin (8 Jun).

Bercakap semasa sidang media pasukan tersebut, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata bahawa sesetengah rakyat Singapura bimbang terhadap jumlah kes dalam masyarakat yang meningkat dengan pantas setelah Singapura memasuki Fasa 1 pembukaan semula selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir.

"Hakikatnya, banyak kes dalam masyarakat, yang kita lihat dalam tempoh seminggu yang lalu disebabkan oleh pemeriksaan yang dijalankan secara proaktif untuk menguji kumpulan-kumpulan yang menjadi sasaran kita," katanya.

Kumpulan-kumpulan sasaran itu termasuk kakitangan dan penghuni rumah tumpangan warga senja, kakitangan prasekolah dan mereka yang kembali bekerja, terutamanya dalam sektor binaan dan proses marin sebagai persiapan untuk membuka semula lebih banyak tempat kerja.

"Kami juga telah memperluaskan ujian untuk merangkumi para individu yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut (ARI) pada kali pertama mereka berjumpa doktor," kata Encik Gan.

Ini akan dilakukan terlebih dahulu ke atas kumpulan-kumpulan seperti warga emas yang berusia 65 tahun ke atas, pekerja jagaan kesihatan dan kakitangan institusi pendidikan dan pelajar yang lebih dewasa, katanya lagi.

Sebelum ini, mereka yang mengalami ARI terlebih dahulu akan mendapat cuti sakit sehingga lima hari supaya keadaan mereka dapat dipantau.

"Tetapi seperti yang anda lihat, (peningkatan pada jumlah kes) ini sebahagiannya disebabkan oleh rejim pengujian kami yang sudah dipertingkat. Secara keseluruhannya, penilaian kami adalah berdasarkan keadaan seminggu lalu yang tetap terkawal dan kes-kes harian baru adalah dalam jangkaan,” kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, yang juga adalah pengerusi bersama pasukan bertindak tersebut.

Pihak berkuasa akan terus memantau keadaan sepanjang minggu akan datang. Mereka akan memutuskan pada hujung bulan ini sama ada negara boleh beralih ke Fasa 2 pembukaan semula, tambahnya.

LEBIH BANYAK PUSAT UJIAN SWAB DITUBUHKAN

Encik Gan juga mengatakan bahwa Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) sedang menubuhkan pusat pemeriksaan daerah secara bertahap-tahap di merata negara.

Dua daripada pusat tersebut, di Old Police Academy dan Pentas Terapung di Marina Bay, mula beroperasi pada 2 Jun.

Pada Isnin, dua lagi pusat di dewan sukan Bukit Gombak dan Bishan dibangunkan, tambahnya lagi. Satu lagi pusat akan ditubuhkan di Bedok North.

Terdapat juga pusat ujian swab lain yang ditubuhkan dengan kerjasama rakan-rakan privet seperti kemudahan ujian di One Farrer Hotel, katanya.

Walaupun pemerintah akan terus menubuhkan lebih banyak pusat ujian swab untuk meningkatkan pengujian dan pengesanan kontak, langkah-langkah kawalan akan terus menjadi tunggak dalam melawan COVID-19, tegas Encik Gan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita