Ujian PCR khusus bagi yang kurang sihat; setiap keluarga akan terima lagi 10 kit ujian ART
Dalam satu perubahan kepada protokol kesihatan, sebahagian besar individu yang menjalani ujian COVID-19 akan menggunakan ujian pantas antigen (ART) dan bukan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).

(Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Dalam satu perubahan kepada protokol kesihatan, sebahagian besar individu yang menjalani ujian COVID-19 akan menggunakan ujian pantas antigen (ART) dan bukan ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (9 Okt).
Ujian ART akan digunakan bagi individu yang sihat, seperti bagi ujian dalam masyarakat dan pengurusan kontak rapat kes-kes COVID-19 supaya MOH masih boleh mengesan kes-kes jangkitan dan individu boleh menjalani pengasingan kendiri awal, menurut MOH.
Ini bermakna selain daripada kes-kes kontak rapat COVID-19, para pekerja di bawah program ujian rutin berjadual dan mereka yang mengambil ujian COVID-19 sebelum acara hanya perlu menjalani satu ujian ART, yang lazimnya mengeluarkan keputusan dalam masa kurang 20 minit.
"Memandangkan ujian ART adalah mudah, tepat dan boleh dipercayai, kami yakin dapat beralih kepada ujian yang boleh dilakukan sendiri oleh para individu di rumah," menurut MOH.
Ujian PCR akan dikhususnya bagi individu yang kurang sihat dan mengalami simptom COVID-19.
"Protokol dan prosedur untuk ujian dan pengasingan kendiri sudah dibangunkan sepanjang beberapa bulan lalu dan ia menjadi rumit dan sukar untuk difahami. Kami akan mempermudahkan prosedur-prosedur ini," menurut MOH.
Enam kit ujian ART percuma sudah dihantar kepada semua keluarga antara Ogos dengan September lalu. Murid-murid dan kakitangan prasekolah, pusat intervensi awal, sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas juga menerima tiga kit seorang satu.
Lebih banyak kit ujian ART akan diagihkan oleh SingPost dari 22 Oktober hingga 7 Oktober, dengan setiap keluarga menerima lagi 10 kit ujian ART.
Mereka yang menerima amaran risiko kesihatan boleh mengambil enam kit ujian daripada mesin layan diri. Sebanyak 100 mesin layan diri diletakkan di merata Singapura, namun jumlah ini akan ditambah kepada 200, menurut MOH. Kit-kit ujian itu juga dijual di kedai-kedai runcit.
KEPERLUAN BAGI UJIAN PCR
Ujian PCR, yang menurut MOH memberikan keputusan lebih tepat, akan terus digunakan "mengikut budi bicara doktor" bagi individu yang mengalami simptom COVID-19 dan bagi ujian sebelum pelepasan dan semasa ketibaan.
"Simptom bermakna kami merujuk kepada individu yang mungkin mengalami demam panas atau sesak nafas," menurut MOH.
Para individu yang mengalami simptom lebih teruk dan warga emas belum divaksin dinasihatkan supaya mengambil ujian PCR.
Ujian PCR juga penting bagi mereka yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 dan memerlukan rawatan bagi mengurangkan risiko jangkitan teruk.
"Kami bertungkus lumus untuk cuba menyelaraskan protokol kami, mempermudahkan protokol dan ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk membolehkan kami beralih ke fasa endemik, dengan menekankan tanggungjawab ke atas sendiri."
Mereka yang ingin melakukan ujian ART dengan dipantau boleh melakukan demikian di pusat ujian pantas pada harga S$15," menurut MOH lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.