Skip to main content

Singapura

Ujian lebih kerap, syarat tambahan bagi penduduk tidak disuntik vaksin COVID-19, kata Lawrence Wong

Para individu yang memilih untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mungkin perlu menjalani "ujian lebih kerap", menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Khamis (7 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian lebih kerap, syarat tambahan bagi penduduk tidak disuntik vaksin COVID-19, kata Lawrence Wong

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Jan 2021 09:46AM Dikemas Kini : 08 Jan 2021 09:51AM

SINGAPURA: Para individu yang memilih untuk tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mungkin perlu menjalani "ujian lebih kerap", menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada Khamis (7 Jan).

Dalam wawancaranya bagi rancangan Talking Point terbitan CNA, pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian COVID-19 berkongsi tentang "manfaat ketara" bagi mereka yang memilih untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Ia satu kemungkinan, jika data mengesahkan kesemua hipotesis, bahawa risiko jangkitan dapat dikurangkan dengan ketara. Mungkin juga bagi para pelawat yang kembali ke sini tidak perlu menjalani SHN (Notis Jangan Keluar Rumah) atau melalui tempoh SHN yang lebih singkat.

Inilah manfaat ketara bagi mereka yang mendapatkan suntikan vaksin dan hakikatnya anda dapat melindungi diri anda sendiri dan juga orang-orang tersayang," katanya.

"Terdapat manfaat-manfaat ketara dan bagi mereka yang memilih untuk tidak disuntik dengan vaksin, maka anda perlu menjalani ujian dengan lebih kerap, anda perlu hidup dengan kuarantin, anda perlu mematuhi semua syarat tambahan yang lain."

Encik Wong juga menjelaskan mengapa vaksin yang dihasilkan oleh syarikat biofarmaseutikal China, Sinovac, dipilih sebagai salah satu daripada tiga vaksin yang digunakan di Singapura. Vaksin itu yang diberi nama CoronaVac, belum lagi digunakan secara meluas dan tiada kajian kukuh dijalankan terhadap vaksin tersebut sejauh ini.

Pemerintah menubuhkan sebuah panel pakar untuk menimbangkan pembelian awal vaksin "sejak seawal April", kata Encik Wong.

"Kami perlu membuat persiapan awal supaya Singapura berada berhampiran bahagian hadapan barisan untuk mendapatkan vaksin. Dan itu yang berlaku hari ini."

Pada ketika itu, tiada data klinikal atau "maklumat lengkap" disediakan oleh mana-mana syarikat vaksin, kata Encik Wong.

"Dengan hanya "maklumat klinikal peringkat awal" disediakan, jawatankuasa itu dan para pakar mengecilkan pilihan kepada 35 calon vaksin. Mereka kemudian memilih hanya tiga vaksin - Moderna, Pfizer-BioNTech dan Sinovac - berdasarkan keselamatan dan keberkesanannya berdasarkan data awal yang diperolehi sebelum ini, katanya.

"Dan itu adalah tiga vaksin yang kita membuat pembelian awal, dengan tujuan membangunkan portfolio vaksin yang pelbagai yang selamat dan berkesan untuk digunakan di Singapura," kata Encik Wong.

KESELAMATAN VAKSIN

Vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech menggunakan teknologi 'messenger' baru RNA (mRNA), sementara Sinovac merupakan vaksin virus tradisional yang tidak diaktifkan.

Meskipun vaksin Pfizer-BioNTech adalah satu-satunya vaksin COVID-19 yang diberi kelulusan sejauh ini apabila lebih banyak vaksin diperkenalkan, terdapat segelintir vaksin yang boleh atau tidak boleh digunakan untuk para individu tertentu, katanya.

"Vaksin-vaksin yang lain mungkin boleh digunakan untuk para individu tertentu. Dengan itu, kami perlu menantikan lebih banyak butiran, dan vaksin yang mana satu lebih wajar atau relevan buat kumpulan penduduk tertentu jika ia ditawarkan, kami akan menggalakkan orang ramai supaya mendapatkan vaksin tersebut," katanya.

Tetamu ketiga dalam rancangan Talking Point, Profesor Madya Benjamin Ong, naib presiden kanan (Pendidikan Kesihatan & Sumber) di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata bahawa data bagi vaksin Pfizer-BioNTech adalah "paling lengkap" dan para pakar "cukup yakin" untuk menyarankan penggunaannya di Singapura.

PILIHAN VAKSIN

Berhubung sama ada orang ramai akan dibenarkan untuk memilih vaksin yang disuntik, Encik Wong berkata vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna sama sahaja dan kadar keberkesanannya berdasarkan bukti di seluruh dunia "hampir sama".

MUTASI VIRUS

Apabila ditanya tentang mutasi baru COVID-19 yang muncul selepas vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna diluluskan di seluruh dunia, Profesor Madya Ong dan Profesor Madya Vernon Lee berkata bahawa mutasi virus berlaku "setiap masa", dan adalah sebahagian daripada "evolusi semula jadi".

Prof Lee menyamakan mutasinya dengan sebuah kereta yang diberikan plat nombor kereta atau warna yang berbeza.

"Pembuatan yang sama, model yang sama, nombor plat berbeza, kami selalu melihatnya. Dan kadangkala anda mungkin melihat sebuah kereta yang dipasang tayar baru, ia mungkin lebih berkesan, dapat bergerak dengan lebih pantas dan sebagainya, namun ia tetap daripada pembuatan yang sama," katanya.

"Buat masa ini, tiada bukti menunjukkan bahawa (virus itu) sudah berubah ke pembuatan lain, model lain, jenama yang lain. Dan kami, tentunya, akan memberi perhatian kepada jenis virus yang lain, varian berlainan yang berlaku setiap masa."

Berdasarkan mutasi yang dikaji sejauh ini, vaksin itu kemungkinan "tetap berkesan", kata Profesor Madya Ong sambil menambah bahawa kajian sedang dijalankan.

INDIVIDU TIDAK DISUNTIK VAKSIN MUDAH TERJEJAS

Akur bahawa ramai orang meluahkan harapan dapat kembali ke keadaan normal sebelum pandemik, Encik Wong berkata meskipun selepas COVID-19, pandemik baru akan berlaku dengan kemunculan penyakit lain yang mungkin lebih mudah berjangkit.

Profesor Madya Lee juga menekankan bahawa para individu yang tidak disuntik vaksin "masih boleh dijangkiti COVID-19 dengan mudah".

"Meskipun jika kita mencapai imuniti kelompok atau kadar perlindungan bersama, ini tidak bermakna tidak akan ada kes jangkitan dan ia adalah sama bagi penyakit berjangkit yang lain. Dan risiko kes jangkitan berlaku di Singapura bukan setakat apa sahaja yang kita lakukan di sini tetapi apa yang berlaku di seluruh dunia," katanya sambil menambah bahawa ekonomi yang terbuka, perjalanan dan perdagangan akan menimbulkan kes-kes import.

"Jika kita tidak disuntik dengan vaksin, setiap individu yang tidak disuntik vaksin, merupakan seorang lagi individu naif yang mudah terjejas dan boleh dijangkiti oleh penyakit tersebut. Demi melindungi diri anda, anda harus mendapatkan suntikan vaksin dan terdapat juga manfaat untuk melindungi orang tersayang dan sesiapa saja di sekeliling anda," kata Profesor Madya Lee. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita