Skip to main content

Singapura

Ujian awal COVID-19 di dormitori, tapak kerja setelah kes baru dikesan

Ujian awal COVID-19 sedang dijalankan di dormitori dan tapak kerja selepas satu kelompok baru jangkitan COVID-19 dikesan di Dormitori Westlite Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2021 04:19PM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 09:13PM

SINGAPURA: Ujian awal COVID-19 sedang dijalankan di dormitori dan tapak kerja selepas satu kelompok baru jangkitan COVID-19 dikesan di Dormitori Westlite Woodlands.

Lebih 5,000 pekerja diuji antara 23 April dengan 26 April, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (28 Apr).

Ujian itu selain ujian rutin yang perlu dijalani oleh para penghuni dormitori setiap dua minggu, termasuk para pekerja yang sudah pulih daripada jangkitan virus tersebut dan mereka yang belum pernah terjangkit.

Langkah itu diambil selepas 24 pekerja di Dormitori Westlite Woodlands yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 diuji positif sekali lagi.

Dalam kalangan mereka, 11 kes dinilai sebagai masih melupuskan zarah virus jangkitan lama dan lagi lima berkemungkinan adalah kes jangkitan semula. Dua kes disahkan negatif setelah diuji semula dan baki enam sedang menunggu penilaian masing-masing.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada minggu lalu bahawa para pekerja yang sudah pulih dan melepasi tempoh 270 hari sejak tarikh mereka terjangkit perlu menjalani Ujian Rutin Berjadual, disebabkan risiko daya keimunan semakin berkurangan dan ancaman varian baru koronavirus.

"Apabila para pekerja yang sudah pulih diuji, kami menjangkakan sebahagian daripada mereka akan menunjukkan hasil positif dalam ujian tindak balas rantai polimerase (PCR)," menurut MOH. Namun, ini tidak bermakna berlaku jangkitan semula dalam kalangan pekerja yang sudah pulih, tambah MOH.

"Ramai daripada pekerja yang sudah pulih boleh diuji positif disebabkan oleh pengeluaran zarah virus yang berpanjangan dari jangkitan lama," menurut MOH.

"Kes-kes sedemikian memerlukan penilaian klinikal secara lanjut selama beberapa hari bagi mengesahkan jika ia adalah jangkitan lama atau baru."

Sekatan pergerakan atau kuarantin mungkin dikenakan terhadap sesebuah dormitori jika sebilangan pekerja di sana diuji positif COVID-19. MOH menyatakan langkah berjaga-jaga itu adalah penting sepanjang tempoh penilaian dan akan ditarik balik apabila ujian selesai dijalankan.

"Jika kuarantin dilaksanakan di beberapa dormitori, ini tidak (semestinya) bermakna terdapat kelompok jangkitan yang disahkan di sana," tambah MOH. "Selalunya, ia kerana kes-kes sedang dinilai untuk mengesahkan jika ia adalah jangkitan lama atau baru."

DORMITORI PERKETAT LANGKAH KESELAMATAN, SOKONGAN BAGI PEKERJA

Langkah berjaga-jaga juga diambil di dormitori bagi melindungi para pekerja yang sihat dan membendung risiko berlaku penularan.

Para pekerja masih boleh mengakses kemudahan yang dikongsi dan pusat riadah di dormitori, dengan peraturan dilaksanakan bagi mengelakkan para penghuni daripada bergaul antara satu sama lain, menurut MOM. Namun, pergerakan antara blok-blok dormitori tidak dibenarkan dan langkah pengurusan selamat akan dipertingkatkan.

"Para pekerja juga dinasihati supaya menghentikan aktiviti sosial dengan pekerja lain yang tidak tinggal dalam bilik atau tingkat yang sama," menurut MOM.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) juga mempertingkatkan pemeriksaan langkah pengurusan selamat di tapak-tapak binaan.

MOM turut memberi jaminan kepada para pekerja hijrahan bahawa akses kepada bantuan perubatan sepanjang masa akan diteruskan.

Langkah-langkah dijalankan bagi menjaga kesejahteraan mental para pekerja yang terjejas, termasuk talian khidmat kaunseling dalam bahasa ibunda mereka dan wadah jagaan.

Selain itu, MOM menyatakan ia sedang menyelaraskan sokongan daripada rakan-rakan kongsi NGO untuk menyediakan panggilan dan pek jagaan kepada para pekerja terjejas.

"Selain daripada melindungi kesihatan dan keselamatan mereka, langkah-langkah ini bertujuan untuk memberi jaminan kepada para pekerja hijrahan kita bahawa mata pencarian mereka terpelihara," menurut MOM.

"Para pekerja yang terjejas akan terus dibayar gaji sepanjang tempoh mereka menjalani kuarantin, dan tempoh ketidakhadiran bekerja akan dianggap sebagai cuti hospital berbayar yang membentuk sebahagian daripada kelayakan cuti pekerja di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita