Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian alahan telur di NUH, MCRI beri harapan kepada individu dengan alahan makanan teruk

Hospital Universiti Nasional (NUH) akan menjalankan kajian Imunoterapi Probiotik dan Alahan Telur (PEAT) yang bertujuan membantu orang yang alah telur untuk memakan telur tanpa perlu risau tentang reaksi alergi.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian alahan telur di NUH, MCRI beri harapan kepada individu dengan alahan makanan teruk

(Gambar hiasan: John Thys/AFP)

Diterbitkan : 22 Nov 2019 10:43PM Dikemas Kini : 22 Nov 2019 10:44PM

SINGAPURA: Hospital Universiti Nasional (NUH) akan menjalankan kajian Imunoterapi Probiotik dan Alahan Telur (PEAT) yang bertujuan membantu orang yang alah telur untuk memakan telur tanpa perlu risau tentang reaksi alergi.

Kajian tersebut dijalankan oleh ketua penyelidik Dr Lydia Wong dan Dr Elizabeth Tham dari jabatan Alahan, Imunologi dan Rheumatologi Pediatrik. Ia diilhamkan daripada kajian serupa yang dijalankan lebih lima tahun lalu oleh Institut Penyelidikan Kanak-kanak Murdoch (MCRI) di Melbourne yang meninjau rawatan imunoterapi probiotik dan kacang tanah.

Ujian yang dijalankan sebagai sebahagian daripada kajian oleh Institut Australia itu menunjukkan perlindungan "tahan lama" terhadap alahan kacang sehingga empat tahun selepas rawatan, kata Dr Wong, sambil menambah ia menjadikan kajian PEAT amat "menggalakkan".

Menurut Dr Wong, alahan telur adalah jenis alahan makanan paling biasa bagi kanak-kanak bawah usia tiga tahun di Singapura. Ia juga satu daripada tiga punca utama reaksi alergi teruk yang dicetuskan oleh makanan bagi dewasa. Reaksi alergi teruk termasuk tercekik makanan, bengkak di laluan pernafasan dan tekanan darah rendah.

Walaupun ramai kanak-kanak akhirnya mengatasi alahan mereka, kajian di luar negara mendapati sejumlah besar orang kekal alah kepada telur meskipun pada usia remaja - sehingga 42 peratus.

Satu-satunya cara untuk menangani alergi adalah untuk mengelak daripada mengambil makanan itu dan mendapatkan rawatan segera sekiranya ia termakan, kata Dr Wong.

Ini amat sukar dalam kes alahan telur kerana telur adalah bahan biasa dalam pelbagai jenis makanan.

Kajian PEAT mengusulkan untuk meningkatkan toleransi alahan individu kepada telur menerusi dos probiotik harian bersama-sama rawatan imunoterapi telur.

Imunoterapi bertujuan untuk "mengubah suai atau menukar respon sistem imun terhadap protein dalam makanan", tambah Dr Wong.

Kajian itu akan dijalankan sepanjang 20 bulan - 18 daripadanya digunakan untuk rawatan. Seramai 40 pesakit antara usia lima hingga 30 tahun mengambil bahagian dan mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan - kumpulan aktif yang akan menerima terapi dan sebuah lagi dalam kumpulan plasebo atau tiada rawatan.

Ujian sama akan dijalankan di kedua-dua pusat penyelidikan - MCRI dan NUH.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan