Skip to main content

Singapura

Uji model jagaan alternatif warga emas, firma suarakan kebimbangan mengenai cabaran dapatkan pengasuh sesuai dengan cepat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Cik Lily Chew membelanjakan kira-kira S$5,700 (AS$4,210) setiap bulan untuk memanfaatkan satu model penjagaan, di mana pekerja hijrahan yang tinggal serumah boleh membantu untuk menjaga warga emas sepertinya dalam apartmen yang dikongsi.

Mantan guru berusia 91 tahun itu menghabiskan wang simpanannya untuk menetap di Lifestyle Village St Bernadette di Adam Road.

Tidak seperti rumah jagaan, beliau boleh memilih untuk tidak mengambil bahagian dalam kegiatan berjadual dan bahkan, bersiar-siar secara bebas di kejiranan tersebut. Dia juga boleh menyanyi dan membaca pada masa lapangnya.

Warga emas di sana tinggal di dalam bilik en suite peribadi mereka sendiri dan mempunyai akses kepada penjagaan sepanjang masa.

"Apabila tiba masanya untuk turun, kakitangan tersebut akan membawa kami dan bersenam setiap hari...jadi saya melakukan apa yang saya boleh, dan (mereka) juga membawa saya untuk berjalan-jalan," ujar Cik Chew kepada Mediacorp.

Kampung gaya hidup itu dikelolakan oleh satu daripada lima syarikat yang mengambil bahagian dalam projek perintis pemerintah sandbox, yang bermula pada September tahun lalu. Sandbox tersebut bermatlamat untuk menyediakan satu lagi pilihan jagaan bagi warga emas untuk menua dengan baik.

Firma-firma tersebut yang menawarkan perkhidmatan hidup berbantu sedemikian sudah diberikan elaun yang lebih besar untuk membawa masuk pekerja hijrahan sebagai pengasuh, berbanding dengan rumah jagaan biasa.

Ini bermakna, mereka kini boleh mendapatkan seorang pengasuh untuk bekerja bagi setiap tiga warga emas yang mereka jaga, tanpa had. Nisbah bagi rumah jagaan adalah satu pengasuh bagi antara dua hingga 30 warga emas, bergantung kepada berapa banyak rawatan perubatan yang diperlukan oleh warga emas.

Firma-firma tersebut berharap untuk berkhidmat kepada lebih ramai warga emas dan melabur dalam menyediakan latihan.

Meskipun nisbah pengambilan pekerja itu membantu menangani keadaan tenaga kerja mereka, mereka juga menyuarakan kebimbangan mengenai kesukaran mencari pekerja dengan kemahiran yang sesuai dengan cepat.

LATIHAN HARUS MULA LEBIH AWAL: PENGARAH SYARIKAT

St Bernadette ingin menjaga seramai 125 warga emas menjelang hujung 2024 - tiga kali melebihi jumlah sedia ada. Ini bermakna mereka memerlukan kira-kira 40 pekerja.

Kebanyakan pekerjanya berasal dari Myanmar atau Filipina. Kursus profesional boleh menelan kos sehingga S$2,000 dan mengambil masa sehingga setahun untuk selesai.

Dengan tiada sebarang syarat berhubung kemahiran yang diperlukan buat masa ini, St Bernadette - yang juga mengendalikan satu pusat latihan - berharap untuk menetapkan standard industri.

Belinda Wee, Pengarah Lifestyle Village St Bernadette mengatakan pengasuh dilatih berhubung topik seperti jagaan sosial, mengendurkan konflik dan norma budaya di Singapura.

"Pengasuh muda ini datang dari budaya yang berbeza," jelasnya.

"Warga emas mereka mempunyai tingkah laku yang sama sekali berbeza - mereka mungkin lebih santai, lebih menerima sesuatu, tetapi warga emas kami berasal dari budaya yang berbeza."
Gambar: St Bernadette Lifestyle Village
Berhubung jurang yang masih perlu dirapatkan, Dr Wee, yang juga pengasas bersama Persatuan Kemudahan Hidup Berbantu, memberitahu rancangan 'Singapore Tonight' terbitan CNA, bahawa latihan sedemikian seharusnya bermula di negara asal pengasuh.

Memandang ke hadapan, syarikat-syarikat seperti St Bernadette berharap bahawa dengan lebih banyak latihan bermutu, lebih ramai rakyat Singapura akan tertarik kepada peranan itu. Ini boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, yang tidak mampan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita