Skip to main content

Singapura

UIMA anjur ‘Kampong Connection’ bantu dan dekati penduduk Lengkok Bahru

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA) telah mempergiatkan usaha untuk mendekati dan membantu masyarakat dengan menganjurkan acara 'Kampong Connection'.

Acara yang berlangsung pada Sabtu (19 Okt) di kawasan Lengkok Bahru itu, dihadiri oleh kira-kira 200 penerima manfaat, termasuk ibu bapa dan kanak-kanak.

Inisiatif itu bertujuan memperkasa keluarga di kawasan perumahan sewa melalui perbualan bermakna, perkongsian sumber, dan sokongan bersama.

Para peserta turut merasakan semangat kampung yang meriah, di mana kerjasama erat membantu membina komuniti yang berdaya tahan, sambil mengukuhkan kejiranan yang lebih rapat dan saling menyokong.

"Kami mahu memberikan tumpuan perkhidmatan kepada penduduk dan memandangkan kami sering mendapati penduduk tidak dapat dihubungi semasa lawatan rumah ke rumah, mereka terlepas peluang untuk mendapatkan bantuan.

"Dengan adanya acara ini, para penduduk dapat bersama dan mereka berpeluang untuk berinteraksi dan mempelajari tentang perkhidmatan yang ditawarkan dan saling membantu. Mereka lebih sedar dan dibimbing untuk membuat pilihan yang lebih tepat dalam kehidupan mereka," kata Eksekutif Operasi Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA), Encik Muhammad Habib Abdul Kadir.

A

UIMA LANCARKAN KHIDMAT PENJAGAAN KANAK-KANAK

Di acara yang sama, UIMA turut melancarkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak baharu.

"Kami merancang untuk membuka sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di tengah-tengah Lengkok Bahru, di mana kebanyakan rumah sewa terletak. Pusat ini akan menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat yang selamat, selain membantu dalam pembelajaran mereka," kata Encik Habib.

UIMA juga merancang untuk memberikan subsidi yuran kemasukan dan pentadbiran bagi memastikan lebih banyak keluarga berpendapatan rendah dapat menghantar anak-anak mereka ke pusat tersebut.

Menurut Encik Habib lagi, inisiatif itu juga bertujuan mengelakkan kanak-kanak daripada terdedah kepada pengaruh negatif di luar.

PUPUK KEHARMONIAN DAN PERPADUAN ANTARA KAUM

Acara tersebut merupakan hasil kerjasama antara Tanjong Pagar MAEC, Project Hills, Yayasan Temasek, OSCAR, Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Tanjong Pagar, serta CCMC Tanjong Pagar Tiong Bahru.

"Salah satu tujuan utama MAEC adalah untuk memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum di Singapura. Dengan menyertai acara ini, Tanjong Pagar MAEC boleh memainkan peranan dalam menyatukan masyarakat setempat melalui aktiviti kebajikan yang membantu semua golongan, tanpa mengira latar belakang. Ini boleh memperkuatkan hubungan antara pelbagai etnik di kawasan tersebut," kata Pengerusi Tanjong Pagar MAEC, Zulhaqem Zulkifli.

Menurut Encik Zulhaqem, acara itu juga peluang bagi MAEC untuk memberikan sokongan kepada inisiatif yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, selaras dengan visi negara untuk membina masyarakat yang saling menyokong.

"Penglibatan MAEC Tanjong Pagar dalam acara ini bukan sahaja memperkukuhkan usaha kebajikan di kawasan tersebut, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan kolaborasi antara agensi dan masyarakat setempat," tambah beliau.

a

PENDUDUK RAIH MANFAAT DARI ACARA

Penganjur acara turut berharap agar penduduk yang hadir dapat meraih manfaat daripada reruai yang disediakan oleh rakan masyarakat seperti Masjid Wak Tanjong, Mendaki, dan pertubuhan-pertubuhan khidmat sosial lain.

Antara yang teruja menghadiri acara tersebut adalah Cik Radiah, 56 tahun.

"Saya seronok menghadiri acara Zumba dan sesi perbualan dengan rakan-rakan masyarakat seperti Queens Lifeguard Corp, Tanjong Pagar MAEC, Masjid Wak Tanjong, dan Pejabat Perkhidmatan Sosial.

a

"Saya berasa sangat terharu dan gembira apabila mengetahui ramai yang sudi menyokong saya dan rakan-rakan yang tinggal di flat sewa," kata Cik Radiah.

Seorang lagi peserta, Joel, 20 tahun, menyatakan bahawa peningkatan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah dapat membuka ruang untuk lebih ramai tampil membantu mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita