Skip to main content

Singapura

Ucapan terakhir PM Lee isyarat kempen pilihan raya 'sudah bermula': Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Ucapan terakhir PM Lee isyarat kempen pilihan raya 'sudah bermula': Penganalisis

(Gambar; CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 01 May 2024 05:33PM Dikemas Kini : 11 May 2024 12:25PM
SINGAPURA: Ucapan terakhir Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai pemimpin Singapura pada Rabu (1 May) boleh dianggap sebagai ucapan kempen pilihan raya, kata para penganalisis politik.

Rapat Hari Buruh yang disampaikan dua minggu sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 15 Mei, adalah peluang terakhir Encik Lee untuk memberi ucapan kepada negara sebagai pemimpin, sebelum Pilihan Raya Umum, yang dijangkakan oleh pakar bakal berlangsung menjelang hujung tahun ini.

"Oleh kerana Perdana Menteri baharu akan menyampaikan Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR), ini adalah platform terakhir bagi Perdana Menteri (Lee) untuk menyampaikan mesej 'pilihan rayanya'," kata mantan Anggota Parlimen (AP) Inderjit Singh.

Beliau menyifatkan Rapat Hari Buruh, yang disampaikan pada Hari Buruh, sama penting seperti NDR, iaitu ucapan politik penting selepas Hari Kebangsaan pada Ogos.

Dalam ucapannya pada Rabu yang berlangsung selama sejam, Encik Lee menyentuh tentang pencapaian pemerintah selama 20 tahun beliau memimpin negara, serta prinsip yang membantu Singapura mengatasi cabaran silam.
 
Profesor Madya Eugene Tan dari jabatan Undang-Undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata, ucapan Encik Lee adalah mengenai menyatukan negara sebelum peralihan kepimpinan.

TEKANKAN PRESTASI PAP

Para penganalisis berkata dengan berkongsi mengenai pencapaian beliau dan para pemimpin sebelum ini, iaitu Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong, Encik Lee sedang mengingatkan tentang prestasi hebat parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa Encik Wong dapat mengekalkan prestasi tersebut.

Bagi Encik Lee, faktor utama adalah "sistem PAP berkesan dan warga Singapura harus percaya pemerintah PAP akan menyelesaikan masalah pada masa depan," kata Encik Singh, yang merupakan AP di Kawasan Undi Ang Mo Kio Encik Lee.

Beliau menambah bahawa memandangkan tempoh yang singkat bagi pasukan 4G, atau pemimpin generasi keempat Encik Wong, Encik Lee juga membentangkan prestasi baik PAP untuk meningkatkan keyakinan orang ramai kepada pemerintah seterusnya.

PRINSIP ASAS DI TENGAH-TENGAH CABARAN

Dalam ucapannya, Encik Lee juga menekankan bahawa perpaduan masyarakat, perancangan jangka panjang, kestabilan dan kepercayaan politik, kekal penting untuk Singapura pada masa hadapan yang dibelenggu persaingan geopolitik dan ekonomi tidak menentu.

Menurut penganalisis, tujuan Encik Lee adalah untuk memberi jaminan kepada rakyat prinsip-prinsip asas tersebut yang sudah menjadi tunggak bagi Singapura akan diteruskan pada masa hadapan.

Encik Singh menambah, Encik Lee juga ingin menyampaikan mesej bahawa para pengundi "harus percaya bahawa PAP akan membantu kita mengharungi masa depan yang sukar".

BENTANGKAN ASAS

Profesor Madya Tan menambah bahawa selain memberi undi yakin kepada Encik Wong dan pasukan 4G, ucapan Encik Lee memberi peringatan kepada tanggungjawab mencabar yang menanti mereka.

"Ia adalah satu peringatan kepada pemimpin 4G untuk tidak bergantung kepada pencapaian pemimpin 3G", kata pemerhati itu.

"Sekarang mereka mempunyai tugas besar untuk dijalankan, mereka harus bertindak sendiri, cipta sejarah sendiri, cipta kisah sendiri," kata Dr Tan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita