Ucapan takziah ke atas pemergian Presiden LawSoc datang mencurah; Shanmugam sifatkan mendiang sebagai 'Lelaki Berjiwa Pelopor sejati'

Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong
Mendiang menutup usia pada 57 tahun setelah bertarung dengan penyakit barah selama lebih setahun.
Menyifatkan beliau sebagai "Lelaki Berjiwa Pelopor sebenar-benarnya", Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata pemergian mendiang Encik Tan "jauh terlalu awal".
Menteri itu berkongsi bagaimana mendiang Encik Tan telah berusaha untuk menangani isu berhubung keadaan kerja serta waktu bekerja yang panjang yang dihadapi para peguam muda, semasa hayatnya. Tumpuan utama Encik Tan sebagai presiden LowSoc adalah untuk menangani peletakan jawatan peguam muda akibat tekanan-tekanan kerja itu.
Menerusi catatan Encik Shanmugam di Facebook, Encik Tan dikenang sebagai seseorang dengan "minda yang tajam dan hati yang baik."
"Saya mendapat penghormatan untuk mengenalinya selama beberapa tahun. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar."
Encik Tan mula dikenali pada lewat 1980-an sebagai seorang penulis muda menerusi karya penulisannya yang berjudul 'The Teenage Textbook' dan 'The Teenage Workbook', yang kemudiannya diadaptasi menjadi filem dan sebuah siri televisyen.
Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja Jamus Lim turut berkongsi mengenai betapa mendalam kesan karya penulisan mendiang terhadap dirinya sedang beliau "bergelut dengan keraguan, perasaan tidak yakin pada diri sendiri dan ketakutan dalam alam remaja".
Para personaliti dalam bidang kesusasteraan Singapura juga meratapi pemergian Encik Tan.
Penulis Felix Cheong, yang menulis karya-karya termasuk 'The Call From Crying House', meluahkan rasa kagumnya terhadap mendiang peguam itu.
"SingLit telah kehilangan salah satu daripada pengkarya dengan mempunyai minda yang paling tajam, suara yang paling bernas."
Pada usianya yang lanjut, terutama sekali setelah beliau memegang jawatan sebagai Presiden LawSoc, Encik Tan dikenali kerana seringkali mengulas berhubung pelbagai isu.
Dalam catatannya di LinkedIn, dua minggu sebelum pemergiannya, beliau berkongsi pendapatnya mengenai isu kapal selam persiar Titan yang karam. Sebelum itu, beliau juga sempat berkongsi renungannya tentang Pilihan Raya Presiden Singapura yang menjelang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.