Ucapan Presiden Halimah suntik semangat positif; seru rakyat bersatu harungi krisis, kata pengamat
Ucapan Presiden Halimah Yacob bersifat optimis dan memberi semangat positif kepada rakyat terutamanya dengan Singapura tidak pernah dilanda krisis seumpama pandemik COVID-19 sekarang.
BERITAmediacorp: Ucapan Presiden Halimah Yacob bersifat optimis dan memberi semangat positif kepada rakyat terutamanya dengan Singapura tidak pernah dilanda krisis seumpama pandemik COVID-19 sekarang.
Demikian dikongsi oleh para pengamat politik yang ditemui oleh BERITAmediacorp menyusuli ucapan yang disampaikan Presiden Halimah Yacob di pembukaan rasmi Parlimen ke-14 semalam (24 Ogos).
Mereka juga menjangkakan corak kepimpinan yang lebih mengutamakan kerjasama dan mendengar suara lebih rencam di Parlimen.
PENGAMAT POLITIK: PEMERINTAH BARU AKAN BEKERJASAMA DALAM ISU PEKERJAAN
Daripada kepentingan melindungi pekerjaan hingga peranan Pembangkang yang berkesan, ucapan yang disampaikan Presiden Halimah Yacob di pembukaan Parlimen ke-14 semalam menetapkan agenda Parlimen baru untuk lima tahun akan datang.
Pengamat politik yang ditemui BERITAmediacorp berpendapat keutamaan yang dibentangkan memberikan gambaran bahawa pemerintah yang baru ini serius untuk bekerja rapat bagi menggubal undang-undang demi kesejahteraan rakyat.
"Bagi saya dari lima isu yang diutamakan oleh Presiden. Yang paling penting dan pokok adalah isu pekerjaan. Kalau kita boleh dan ada kemampuan untuk mengatasi keadaan ini, khususnya pekerjaan-pekerjaan yang telah banyak sudah hilang, banyak belum dibuka dan kelihatan banyak belum dapat pekerjaan, ini akan ada dampak kepada kesejahteraan rakyat.
"Jadi, bagi saya itu isu pekerjaan adalah isu hidup mati bangsa ini kerana bangsa ini lama tak pernah dilanda oleh krisis ini," kata pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Bilveer Singh.
Mengulas tentang ucapan Presiden, Zamil Kanan ISEAS Dr Norshahril Saat turut berpendapat isu pekerjaan akan menjadi agenda utama yang akan dibahaskan di Parlimen.
Meskipun begitu menurut Dr Norshahril, isu persaingan pekerjaan serta kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan bukan sesuatu yang baru. Namun menurutnya, isu-isu ini menjadi lebih genting lagi disebabkan oleh faktor-faktor luaran yang tidak dikawal, antaranya ialah pandemik COVID-19 yang mencengkam periuk nasi sebahagian penduduk.
"Kalau kita lihat dari segi keseluruhannya mungkin isu-isu tentang pekerjaan, tentang gaji, perdebatan tentang gaji minimum itu menjadi satu yang sering kali dibangkitkan.
"Tapi kita lihat isu pekerjaan ini bukan isu yang baru ia bukan satu isu Pilihan Raya ataupun isu COVID-19 tapi sebenarnya telah berlaku sebelum pandemik berlaku apakah keprihatinan yang disuarakan oleh golongan pekerja kita," tekan beliau.
PERANAN PEMBANGKANG DALAM KEPIMPINAN S'PURA
Menurut para pengamat lagi, masyarakat juga boleh menjangkakan landskap kepimpinan Singapura yang lebih dinamik dengan kehadiran 10 anggota parti pembangkang di Parlimen, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Singapura.
Perbahasan di Parlimen menurut para pengamat, dijangka akan menjadi lebih rencam lagi, diwarnai pendapat-pendapat alternatif dengan lebih banyak suara pembangkang di Parlimen.
"Bagaimana kita nak mengatasi krisis ini, kita serahkan kepada pemerintah. Tapi kita juga perlukan kesatuan dan persatuan dengan rakyat. Kalau ada pembangkang. Itu satu fakta, satu kenyataan, satu realiti.
"Tapi bagaimana pembangkang melahirkan idea-idea yang alternatif tapi akhirnya harus konstruktif. Akhirnya pembangkang dengan PAP, pemerintah kerja mereka adalah untuk menyelamatkan Singapura, bukan untuk menghancurkan Singapura. Jadi, saya fikir itu optimisme ada, tapi bagaimana ini akan dipraktikkan, kita tunggu," kata Dr Bilveer.
Memberikan pendapatnya Dr Norshahril tidak menafikan perubahan baru dalam sejarah politik Singapura dengan kehadiran lebih ramai anggota pembangkang di Parlimen.
Namun beliau menarik perhatian bagaimana perubahan yang dibawa itu berkemungkinan tidak seperti yang dijangkakan ramai memandangkan saiz parti pembangkang yang kecil.
Di sini Dr Norshahril menekankan tentang peranan anggota lain, seperti para 'back bencher' atau anggota dewan yang biasa, yang boleh menyokong perbahasan yang lebih rencam dengan memberikan pandangan dan pendapat alternatif.
"Kita ada Pemerintah, kita juga ada golongan yang disebut sebagai 'back bench', apakah peranan 'back bench', adakah mereka harus bersetuju dengan Pemerintah atau mereka perlu mengutarakan pandangan-pandangan yang berbeza ini satu sistem demokrasi yang perlu kita belajar dari negara-negara maju.
"Kita perlu faham yang status Pemerintah, status 'back bench' dan status pembangkang, jadi saya fikir kita tidak harus fikir bahawa tanggungjawab itu hanya patut dipikul oleh parti pembangkang untuk menyuarakan pandangan-pandangan alternatif di Parlimen, ada juga saluran-saluran lain seperti skim NMP," kongsi beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.