Ucapan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Ceramah MOE, IPS & NIE

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing di Ceramah MOE, IPS & NIE, 11 Feb 2025. (Gambar: Petikan dari video)
SINGAPURA: Berikut ucapan penuh Ucapan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing semasa menghadiri Ceramah anjuran Kementerian Pendidikan (MOE), Institut Kajian Dasar (IPS) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Selasa (11 Feb):
1. Selamat petang.
a. Saya berbesar hati mendapat peluang ini untuk bercakap dengan para bakal pendidik kita.
b. Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada para pendidik yang telah bersara dan turut hadir bersama kita hari ini. Terima kasih atas jasa dan khidmat bakti anda kepada negara kita.
2. Tahun ini adalah tahun yang penting. Kita meraikan SG60, MOE70 dan NIE75. Ini juga masanya untuk kita:
a. Mengimbas kembali bagaimana sistem pendidikan kita terbentuk; dan
b. Memandang ke hadapan untuk membayangkan sistem pendidikan di masa hadapan.
FASA 1 - ASAS: DARI PERPECAHAN KEPADA PENYATUAN
3. Lewat tahun 1940-an menandakan permulaan sistem pendidikan kita.
a. Saya menggunakan perkataan ‘sistem’ kerana, dalam tempoh sebelum itu, lebih sesuai untuk menyifatkan apa yang kita ada sebagai landskap pendidikan - yang membangun secara organik - namun tidak semestinya secara tidak sengaja.
b. Selepas Perang Dunia Kedua, pada 1947, pemerintah kolonial membentangkan Program 10 Tahun, dengan prinsip, termasuk akses sama rata kepada pendidikan dan memupuk kesetiaan sivik serta sikap tanggungjawab.
4. Singapura mencapai kemerdekaannya pada 1965. Namun kelangsungan hidup kita bukan sesuatu yang terjamin.
a. Jika kita berjaya bertahan, ia adalah dengan mengharungi apa sahaja yang mustahil. Sistem pendidikan kita akan menjadi tunjang kepada kejayaan dan penakatan Singapura sebagai sebuah negara.
5. Golongan perintis Singapura berasa yakin bahawa kita memerlukan sistem pendidikan yang kukuh.
a. Memastikan penduduk kita ada kemahiran untuk mencari pekerjaan untuk menyara dan meningkatkan taraf hidup keluarga kita, yang tanpanya negara ini akan hancur dan gagal;
b. Memupuk identiti baharu rakyat Singapura - buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita, kita menjadi negara yang merdeka, bebas daripada kuasa empayar-empayar atau negara-negara lebih besar dan tanpa sumber untuk kita bergantung.
6. Pada tahun-tahun awal, para perintis kita berdepan tiga cabaran yang amat berat dan mencabar.
7. Pertama, prasarana pendidikan kita tidak dapat menampung jumlah penduduk yang semakin ramai.
a. Terdapat kekurangan genting pada jumlah sekolah. Banyak yang telah musnah atau rosak semasa perang.
b. Jumlah guru juga berkurangan.
c. Pada masa yang sama, dianggarkan bahawa dari 1954 hingga 1959, jumlah keseluruhan pelajar dalam usia murid sekolah rendah akan meningkat lebih 100,000.
d. Kekangan kapasiti ini diburukkan lagi oleh jumlah besar penuntut yang sudah melepasi usia kembali ke bangku sekolah selepas pendidikan mereka terjejas akibat perang.
8. Kedua, sistem pendidikan berpecah mengikut perbezaan bahasa.
a. Sekolah-sekolah diklasifikasikan oleh bahasa utama yang digunakan - kita ada sekolah Bahasa Inggeris, sekolah Bahasa Cina, sekolah Bahasa Melayu dan sekolah Bahasa Tamil.
b. Setiap aliran bahasa ada kurikulum dan syarat peperiksaan masing-masing.
c. Tanpa campur tangan, kita berdepan kemungkinan melahirkan generasi yang terdiri daripada kumpulan yang berbeza-beza, dengan pandangan dunia yang berlainan, yang hanya boleh berkomunikasi sesama mereka dalam aliran bahasa mereka sendiri.
d. Selain itu, penguasaan Bahasa Inggeris semakin diperlukan bagi pekerjaan-pekerjaan baharu.
e. Namun pada 1959, separuh pelajar belajar di sekolah-sekolah vernakular. Mereka hanya ada peluang kecil untuk belajar membaca dan menulis dalam Bahasa Inggeris.
9. Ketiga, mutu pendidikan di sekolah-sekolah berbeza dengan ketara.
a. Sistem pendidikan berpecah-belah - selain dibezakan oleh aliran bahasa, sekolah-sekolah disediakan oleh pelbagai pertubuhan, termasuk kumpulan-kumpulan kaum dan agama, dan pemerintah kolonial.
10. Daripada tiga isu itu, masalah yang paling mendesak ialah kapasiti. Keutamaan kita dalam fasa pertama ini adalah memastikan ada tempat untuk setiap kanak-kanak di sekolah.
a. Dua penggal pertama pemerintah menyaksikan hampir sepertiga belanjawan negara diperuntukkan khusus untuk pendidikan.
b. Antara 1959 - 1968, MOE membangunkan purata satu sekolah setiap bulan.
c. MOE juga memperkenalkan sistem dua sesi di sekolah-sekolah pada 1957.
d. Saya sendiri mengalaminya. Sekolah rendah saya hanya ada tiga kelas bagi kohort saya. Namun kami dibahagikan kepada dua sesi, dengan satu kelas dan lagi dua kelas bergilir-ganti antara sesi pagi dan petang dalam tahun yang berbeza. Jika anda berada dalam sesi pagi, anda boleh berasa selamat kerana guru anda tidak boleh menghukum anda dengan menahan anda selepas waktu sekolah. Jika anda berada dalam sesi petang, para guru tentu sekali tidak akan menahan anda selepas waktu sekolah, kerana mereka mahu pulang ke rumah sebelum malam! Apa pun, bagi kebanyakan kita - bersekolah adalah satu keistimewaan, bukan hukuman, memandangkan kebanyakan rumah kita tidak selesa jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah kita yang asas.
e. Untuk menangani kekurangan jumlah guru terlatih, sebuah Kolej Latihan Guru ditubuhkan pada 1950-an, yang sekarang ini dikenali sebagai NIE.
11. Isu bahasa dalam sistem pendidikan kita, bagaimanapun, tidak begitu mudah untuk dihuraikan.
a. Untuk merapatkan jurang dalam konteks negara kita yang berbilang kaum dan budaya, pemerintah membuat keputusan sukar namun diperlukan untuk melaksanakan dasar dwibahasa pada 1960 yang mewajibkan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah rendah, dan kemudian di sekolah-sekolah menengah pada 1966.
b. Para pelajar di sekolah-sekolah vernakular perlu belajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, manakala mereka di sekolah-sekolah Bahasa Inggeris perlu belajar bahasa tambahan.
c. Ini bukan keputusan mudah. Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang digunakan sehari-hari oleh kebanyakan pelajar pada waktu itu. Terdapat juga kekurangan jumlah guru yang terlatih.
12. Peralihan kepada sebuah sistem lebih seragam tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa. Kami perlu membiarkan masa, ekonomi dan pilihan ibu bapa menentukan perjalanannya.
a. Ia mengambil masa satu generasi untuk melaksanakan anjakan minda. Namun, lama-kelamaan, ibu bapa melihat bahawa prospek pekerjaan lebih baik bagi pelajar yang boleh berbahasa Inggeris dan membuat pilihan yang sewajarnya untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah-sekolah Inggeris.
b. Menjelang 1984, kemasukan Darjah 1 ke kelas-kelas bukan Bahasa Inggeris merosot kepada kurang 1%. Pada waktu itu, barulah pemerintah bertindak menyeragamkan bahasa pengantar pendidikan kepada Bahasa Inggeris pada tahun 1987.
c. Sekalipun demikian, peralihan itu bukan mudah. Para guru bukan Bahasa Inggeris paling terjejas dan perlu dilatih menimba kemahiran baharu.
d. Hanya sekolah-sekolah Bahasa Cina terbaik, sekolah-sekolah Program Bantuan Khas (SAP), dikekalkan - di mana para pelajarnya boleh mengambil kedua-dua Bahasa Inggeris dan Cina sebagai bahasa pertama.
13. Masalah ketiga mengenai mutu juga tidak mudah diselesaikan.
a. MOE perlu mengorak langkah menyatukan sistem.
b. Pada 1959, usaha-usaha awal untuk membangunkan satu kurikulum negara yang harmoni dimulakan. Majlis Penasihat Pendidikan yang baharu dilantik mula melakar sukatan pelajaran yang sama untuk digunakan di semua sekolah.
c. Kemudian pada 1960, PSLE diperkenalkan. Ini menyediakan pentauliahan sama bagi sekolah-sekolah kesemua empat bahasa, yang memastikan peluang sama rata untuk maju dari segi pendidikan.
14. Sungguhpun demikian, kapasiti berkembang dengan begitu cepat dan perubahan-perubahan segera dilaksanakan, maka tidak dapat dielakkan mutu akan terjejas.
a. Sedang kebanyakan kanak-kanak usia sekolah rendah bersekolah, sekitar 29% kohort Darjah 1 dari 1971 hingga 1974 tidak menamatkan sekolah rendah. Lagi 36% pula tidak menamatkan sekolah menengah.
b. Daripada baki 35% yang tamat sekolah menengah, hanya 4% lanjut ke universiti dan 5% ke politeknik atau institusi lain di peringkat yang sama atau Institut Pendidikan. Bakinya terus melangkah ke alam pekerjaan.
c. Kurangnya kemahiran membaca pula menjadi isu. Pada masa yang sama, banyak pelajar masih menggunakan dialek di rumah. Pada 1975, sekurang-kurangnya suku murid Darjah 6 dalam sekolah aliran Bahasa Cina dan Inggeris tidak memenuhi tahap kemahiran membaca bagi Darjah 6.
d. Kita juga ada anggota kerahan Perkhidmatan Negara yang “hokkien peng”, yang hanya boleh berkomunikasi dalam dialek Hokkien. Sebahagian kita mungkin ingat anggota kerahan pada waktu itu mengenakan lencana nama dengan warna berbeza, untuk menunjukkan bahasa pertuturan mereka. Merah untuk Hokkien, jingga untuk Cina, hijau untuk Inggeris, biru untuk Melayu dan kuning untuk Tamil. Walaupun selepas bertahun-tahun bersekolah, ramai yang memakai lencana nama ungu kerana mereka tidak boleh bertutur walau satu pun bahasa tadi! [Semasa saya berkhidmat sebagai pegawai dalam SAF, saya masih menjumpai buku panduan latihan dalam dialek Hokkien! Banyak lagu perbarisan yang masih segar dalam ingatan kita juga menggunakan dialek Hokkien.
FASA 2 - KEMAJUAN: POTENSI PRESTASI
15. Meskipun isu jurang bahasa dan mutu masih ada, menjelang 1970-an kita sudah mengatasi sekurang-kurangnya isu kapasiti dan akses kepada pendidikan sudah meluas.
a. Pendaftaran bagi sekolah-sekolah rendah sudah meningkat sekitar 30%, daripada kira-kira 270,000 pada 1959 kepada sekitar 350,000 pelajar pada 1972.
b. Bagi pendidikan peringkat menengah, pertumbuhannya lebih menakjubkan. Pendaftaran bagi sekolah-sekolah menengah naik lebih tiga kali ganda daripada sekitar 48,000 kepada sekitar 160,000 pafa 1972.
16. Perindustrian membolehkan banyak pekerjaan dengan gaji yang baik diwujudkan untuk menyediakan pekerjaan.
a. Rakyat Singapura tidak perlu keluar negara untuk mencari kerja - tidak seperti penduduk di kebanyakan negara lain.
b. Kita juga mampu bertahan dengan pengunduran tentera British pada tahun 1971. Pangkalan tentera British pada masa itu menyumbang 20% kepada GDP negara kita dan menyediakan lebih 30,000 pekerjaan. [Datuk dan nenek sebelah ibu saya bekerja untuk tentera British di Sembawang, dan mereka kehilangan pekerjaan dan mata pencarian mereka dalam sekelip mata.]
c. Dari tahun 1960 hingga 1975, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar Singapura meningkat sekitar empat kali ganda.
d. Kadar pengangguran juga merosot separuh, dari sekitar 8.9% pada tahun 1966 kepada sekitar 4.5% pada tahun 1975.
17. Namun sedang sekolah-sekolah kita mula mengambil para pelajar dari pelbagai latar belakang, dengan tahap keupayaan berbeza, masalah jurang dan mutu bahasa menjadi lebih ketara.
18. Persaingan global juga semakin sengit. Negara-negara lain mempunyai jumlah penduduk yang lebih besar dan boleh menawarkan gaji lebih rendah untuk menarik para pelabur.
a. Untuk menjamin pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang dan menaikkan gaji rakyat kita, kita perlu menggunakan strategi-strategi baharu, dengan beralih ke industri-industri yang memerlukan modal dan kemahiran lebih tinggi.
b. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan mutu kemahiran pekerja kita, bagi mempersiapkan mereka untuk berjaya dalam pekerjaan baharu yang diwujudkan di sini.
19. Berdasarkan matlamat ini, pada 1979, sebuah pasukan kejuruteraan sistem yang dipimpin oleh DPM Goh Keng Swee pada waktu itu, menghasilkan laporan inovatif, yang dikenali sebagai Goh Report, yang mengusulkan perubahan-perubahan penting struktur dalam sistem pendidikan.
a. Laporan itu membentangkan asas bagi sebuah sistem pendidikan baharu - iatu yang bertujuan untuk memenuhi pelbagai kebolehan linguistik dan akademik pelajar.
b. Isu utama adalah bagaimana untuk mengurangkan kadar keciciran dan meningkatkan mutu sistem pendidikan kita.
20. Fasa kedua ini menyaksikan perubahan penting, iaitu pengiktirafan bahawa sistem pendidikan yang sama bagi semua tidak lagi relevan.
a. Jika kita mahu mencapai potensi maksimum rakyat kita yang rencam, kita perlu menyediakan pendidikan yang sesuai dengan keperluan, kekuatan, dan sikap pelajar yang pelbagai.
b. Sistem pendidikan kita perlu disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelbagai bakat dan kekuatan.
21. Cadangan penting Dr Goh adalah pengaliran, di mana pelajar akan dimasukkan ke dalam kelas yang berbeza mengikut kebolehan bahasa dan akademik mereka.
a. Ini membolehkan sekolah-sekolah untuk memenuhi keperluan pelajar mengikut tahap mereka dan mewujudkan persekitaran yang baik untuk mereka mencapai potensi mereka.
b. Pelajar yang kurang cenderung kepada akademik boleh belajar pada rentak lebih perlahan dan fokus untuk mendapatkan asas yang kukuh dalam Bahasa Inggeris, matematik, dan subjek teknikal untuk mempersiapkan mereka bagi latihan kejuruan.
c. Pelajar yang lebih cenderung kepada akademik dan ada keupayaan penguasaan bahasa yang lebih baik, boleh belajar pada rentak lebih pantas dan mungkin juga belajar bahasa ketiga.
22. Ada juga yang mengkritik sistem ini.
a. Semasa ia mula-mula dicadangkan, ia menjadi tumpuan di parlimen selama empat hari.
b. Terdapat kebimbangan bahawa aliran ini akan secara tidak sengaja membawa kepada stigma. Kebimbangan ini berterusan selama bertahun-tahun.
23. Sekalipun demikian ia membawa perbezaan luar biasa kepada mutu pendidikan. Prestasi pelajar meningkat dengan ketara dalam tempoh beberapa tahun sahaja.
a. Jumlah pelajar yang tidak tamat sekolah rendah turun daripada 29% kepada 8% dalam kumpulan pertama murid Darjah 6 yang mengikuti sistem tersebut.
b. Jumlah pelajar yang lulus tiga atau lebih mata pelajaran dalam peperiksaan peringkat GCE O naik daripada 60% sebelum sistem tersebut kepada hampir 90% pada tahun 1985, hanya 6 tahun selepas sistem itu diperkenalkan.
24. Untuk terus menyokong para pelajar di setiap spektrum keupayaan akademik, inisiatif-inisiatif bersasar lain telah dilaksanakan.
a. Sebagai contoh, Program Pendidikan Bijak pada tahun 1984 dan Program Sokongan Pembelajaran pada tahun 1992.
b. Institut Pendidikan Teknikal (ITE) juga ditubuhkan pada 1992 untuk mengambil alih fungsi Lembaga Latihan Vokasional dan Perindustrian (VITB). Ia berfungsi sebagai sebuah institusi posmenengah, menyediakan laluan baharu bagi mereka yang lebih cenderung ke arah latihan kejuruan.
25. Untuk memadankan perubahan-perubahan bercita-cita tinggi ini, kita perlu melakukan usaha serentak untuk terus menyokong para pendidik kita. Pada 1973, Maktab Latihan Guru telah diubah suai menjadi Institut Pendidikan.
a. Institut yang baru ditubuhkan ini menyediakan latihan pedagogi kepada bakal guru, mengadakan kursus untuk guru-guru sedia ada dan menjalankan penyelidikan pedagogi.
b. Ia juga mula menawarkan Diploma Pendidikan bagi graduan, di samping kursus sijil sedia ada bagi bukan graduan.
c. Institut ini akhirnya digabungkan dengan Maktab Pendidikan Jasmani untuk membentuk NIE pada tahun 1991.
FASA 3 - LALUAN BAHARU: AKADEMIK KE PEMBANGUNAN HOLISTIK
26. Menjelang lewat 1990-an, langkah-langkah ini membuahkan hasil.
a. Pada 1995, Kajian Trend Matematik dan Sains Antarabangsa, melaporkan bahawa para pelajar rakyat Singapura di peringkat Menengah 1 dan 2 mengungguli mata pelajaran matematik dan sains antara para pelajar dari 45 negara.
b. Para pelajar rakyat Singapura juga mencapai ranking tertinggi dalam Olimpiad matematik dan sains antarabangsa.
c. Para pelajar kita juga ada akses kepada pendidikan posmenengah bermutu tinggi di ITE, politeknik dan universiti.
27. Namun dunia pesat berubah, membawa cabaran-cabaran dan juga peluang-peluang baharu yang akan membentuk semula visi kita dalam pendidikan dan kerja.
a. Kebangkitan internet meningkatkan kertersambungan dan persaingan, serta menjadikan pengetahuan sebagai komoditi.
b. Kekalahan juara catur dunia oleh sistem Deep Blue IBM pada tahun 1997 menandakan era baharu perkembangan teknologi pesat di mana kecerdasan manusia akan dilengkapi – dan mungkin – berisiko digantikan oleh mesin dan algoritma. Mereka yang dapat menggunakan teknologi baharu ini dan berinovasi dengan lebih cepat, akan mendapat kelebihan dalam persaingan global.
28. Reformasi Sekolah Pemikir, Negara Penimba Ilmu yang diperkenalkan pada tahun 1997 bermakna bermulanya fasa ketiga dalam sistem pendidikan kita. Sistem pendidikan akan lebih disesuaikan untuk memenuhi keperluan unik setiap pelajar. Daripada meletakkan pelajar dalam kategori kelompok akademik yang sempit, kita akan berusaha untuk mengenali dan membangunkan mereka secara holistik, bukan hanya dari segi akademik.
29. Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Teo Chee Hean pada waktu itu, kita mendorong lebih banyak penyesuaian untuk memenuhi pelbagai profil pelajar, menjadikan pengalaman pembelajaran lebih bervariasi dan bermakna.
30. Kita beralih daripada fokus memerlukan pelajar mengetahui kandungan fakta (pelajaran) mereka - kepada menajamkan kemahiran mereka untuk berfikir secara kritis dalam menilai dan membezakan maklumat.
a. Kita menyedari penekanan berlebihan kepada akademik telah menyempitkan konsep kejayaan, pada masa di mana kita sangat memerlukan kekuatan yang lebih pelbagai.
b. Rangka kerja dasar kurikulum baharu telah dibangunkan pada tahun 1998 untuk menyokong kurikulum yang lebih holistik. Salah satu tunggak utama rangka kerja ini adalah kemahiran berfikir dan kreativiti.
c. Untuk memberi masa bagi pengajaran yang lebih kreatif dan pembelajaran kendiri, kita mengurangkan kandungan kurikulum nasional secara purata sebanyak 24% dalam tempoh 8 tahun.
d. Pelan Induk Teknologi Maklumat yang pertama juga dilancarkan pada tahun 1997, untuk membimbing penggunaan teknologi dalam pendidikan kita. Ia merupakan salah satu yang pertama di dunia yang menyediakan akses kepada komputer bagi pelajar dan guru di semua sekolah.
31. Kita juga mula mewujudkan lebih banyak laluan terbuka dan pelbagai dalam sistem pendidikan.
a. Sistem berstruktur dengan setiap pelajar yang mengikuti GCE O dan A secara teratur telah berjalan dengan baik.
b. Namun, sesetengah pelajar mungkin dapat meraih manfaat dengan kurangnya struktur sedemikian. Pelajar yang memang akan lulus peperiksaan peringkat GCE O boleh menggunakan masa yang ada untuk bersiap sedia bagi peperiksaan itu daripada belajar pada tahap yang lebih tinggi.
c. Ada juga pelajar yang bakat dan minatnya lebih tertumpu kepada bidang-bidang tertentu seperti Sains, Matematik atau Sukan. Keupayaan dan cita-cita unik mereka kurang diberi perhatian.
d. Kita mula memperkenalkan program dan jenis sekolah yang berlainan untuk memenuhi pelbagai kebolehan dan aspirasi.
i. Program Bersepadu diperkenalkan pada 2004.
ii. Kita juga menubuhkan sekolah-sekolah bebas seperti Sekolah Tinggi Matematik dan Sains NUS dan Sekolah Sukan Singapura dan sekolah-sekolah khas seperti Sekolah Menengah Northlight dan Spectra.
iii. Pelan hala tuju bagi Universiti Berautonomi telah diusulkan, dan universiti seperti SIT dan SUSS ditubuhkan.
e. Kepercayaan pada waktu itu adalah sistem yang lebih pelbagai akan memupuk kumpulan bakat yang lebih beragam, dengan pengalaman dan pandangan pendidikan yang berbeza, yang akan dapat menjadikan Singapura lebih dinamik, dan berdaya tahan.
32. Langkah-langkah utama ini juga dilengkapi dengan perubahan-perubahan penting di peringkat sistem untuk memperkasa para pendidik dan juga sekolah-sekolah. Perubahan-perubahan ini akan mengubah trajektori sistem pendidikan kita.
a. Menjelang akhir 1990-an, Perkhidmatan Pendidikan berdepan cabaran yang besar. Guru-guru yang berpengalaman berasa letih dan jemu kerana bertugas di jawatan yang sama saban tahun. Guru-guru muda pula ramai yang berhenti kerja. Tidak ramai yang berminat menjadi guru, dan kumpulan bakat semakin menyusut.
b. Jawatankuasa Semakan Perkhidmatan Pendidikan, yang dipengerusikan oleh mantan Setiausaha Tetap Lim Siong Guan dan Koh Cher Siang, membuat perubahan besar untuk mengatasi masalah-masalah ini. Mereka menaikkan gaji para pendidik supaya lebih berdaya saing, memperkenalkan peranan baharu seperti Guru Kanan, dan menaikkan gred jawatan Pengetua ke tahap lebih tinggi – yang menyetarakan kedudukan pendidik dengan jawatan kepimpinan Perkhidmatan Awam yang penting.
c. Pada 2001, struktur kerjaya tiga laluan bagi para pendidik diperkenalkan: yang terdiri daripada Laluan Kepimpinan, Laluan Mengajar dan Laluan Pakar.
i. Ini yang pertama seumpamanya di dunia. Ia memberi isyarat bahawa mengajar adalah kerjaya yang berbilang aspek.
ii. Perubahan-perubahan ini bertujuan mewujudkan laluan kerjaya lebih teratur bagi para pendidik - untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada mereka dalam pelbagai bidang kepakaran.
iii. Kenaikan pangkat ke peringkat kepimpinan sekolah bukanlah dan tidak boleh dianggap sebagai satu-satunya laluan untuk berjaya.
iv. Laluan peningkatan kerjaya terus menjadi salah satu struktur tangga kejayaan yang paling baik dalam kerjaya perguruan di seluruh dunia.
33. Sekolah-sekolah juga diberikan lebih banyak kuasa untuk mengerahkan sumber-sumber mereka untuk dengan lebih baik memenuhi keperluan para pendidik dan pelajar mereka.
a. Sistem Kelompok diperkenalkan pada tahun 1997, mengatur sekolah-sekolah ke dalam kumpulan geografi, yang diselia oleh Superintendan Kelompok. Memberi sedikit kuasa kepada setiap kelompok bukan sahaja membebaskan ruang untuk sistem, tetapi juga mewujudkan keadaan yang sesuai untuk sekolah-sekolah bekerjasama antara satu sama lain dan berkongsi sumber dan idea.
b. Geran Edusave disediakan untuk sekolah-sekolah. Mereka boleh memutuskan cara terbaik untuk memperuntukkan dana mereka, yang bermaksud sekolah-sekolah boleh membangunkan bidang khusus mengikut kekuatan, budaya, dan keyakinan mereka.
c. MOE juga melaksanakan Model Kecemerlangan Sekolah pada tahun 2000. Pada dasarnya ia adalah rangka kerja jaminan mutu untuk sekolah-sekolah, ia memperkasakan sekolah-sekolah untuk bertanggungjawab atas pembelajaran dan peningkatan mereka sendiri.
34. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kita terus memperkukuhkan pendidikan holistik dan laluan lebih rencam.
a. Kecekapan Abad ke-21 yang Dipertingkat (21CC) dilancarkan pada tahun 2023 untuk memberi penekanan yang lebih besar kepada pemikiran adaptif dan inventif, komunikasi dan literasi sivik.
b. Sistem Skor-T PSLE telah digantikan dengan sistem Tahap Pencapaian pada tahun 2021, untuk mengurangkan perbezaan halus keputusan peperiksaan pada usia muda dan mengiktiraf tahap pencapaian pelajar, tanpa mengira prestasi rakan-rakan sebaya mereka.
c. Pada Julai tahun lalu, kita telah melaksanakan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh, menggantikan sistem yang lama. Pelajar kini boleh mengambil subjek yang berbeza pada tahap yang berbeza mengikut kebolehan dan minat unik mereka. Ia bukanlah pengakhiran pengaliran, tetapi diperhalusi mengikut subjek – menjangkaui model “mengajar pukul rata” sebelum ini dan kini mengambil kira kebolehan pelbagai individu.
d. Kita juga sedang mengkaji semula Program Pendidikan Kanak-kanak Cerdas (GEP) untuk mengiktiraf potensi unik pelajar dengan lebih baik, membolehkan lebih banyak fleksibiliti dalam perjalanan pembelajaran mereka, dan tidak menggalakkan tekanan berlebihan dalam pembelajaran. Begitu juga, kita sedang mengkaji semula Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) untuk mengukuhkan akses bagi lebih ramai pelajar.
e. Bilangan sekolah pendidikan khas (SPED) yang dibiayai pemerintah dan masyarakat juga telah meningkat, dengan jumlah sekolah SPED dijangka meningkat kepada 27 menjelang tahun 2030-an. Program-program seperti Program Pembangunan Kepimpinan dan Masyarakat Amalan bagi pendidik yang diumumkan tahun lalu, juga akan mengukuhkan sektor SPED.
35. Kita juga mengambil pendekatan menyeluruh terhadap pelaburan kita dalam pendidikan dengan memperkukuhkan asas prasekolah dan pembelajaran sepanjang hayat.
a. Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), yang dipantau bersama oleh MOE dan MSF, ditubuhkan pada tahun 2013, untuk menyelia sektor prasekolah.
i. Untuk terus memangkin peningkatan mutu dalam sektor ini, MOE juga menubuhkan Tadika MOE dan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak.
b. Gerakan SkillsFuture dilancarkan pada tahun 2015, usaha seluruh negara yang pertama untuk menggalak pembelajaran sepanjang hayat.
i. Ia membezakan kita dengan negara-negara lain, yang secara tradisinya menumpukan perhatian kepada pembelajaran dalam tahun-tahun asas.
ii. Lama-kelamaan, lebih banyak inisiatif diperkenalkan di bawah SkillsFuture.
iii. Pada 2003 sahaja, lebih setengah juta individu dan 23,000 majikan meraih manfaat daripada inisiatif-inisiatif SkillsFuture.
KE MANA HARUS KITA MELANGKAH
36. Asas kukuh yang dibentangkan oleh generasi-generasi pendidik sebelum ini membolehkan kita mencapai kemajuan berterusan selama beberapa dekad.
a. Hari ini, sistem kita terus mencapai prestasi baik. Kita merupakan sistem pendidikan unggul di dunia dalam Bacaan, Matematik dan Sains bagi ujian Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) pada 2022. Para pelajar kita dari latar belakang ssosioekonomi lebih rendah juga menunjukkan prestasi lebih baik berbanding rakan-rakan sebaya mereka dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Ternyata, mereka menunjukkan prestasi lebih baik daripada purata keseluruhan OECD.
b. Maka tidak hairanlah jika rakyat Singapura menerima permintaan di merata dunia. Banyak negara lain serta universiti luar negara telah mendapat manfaat daripada asas pendidikan tinggi yang kita ada di Singapura.
37. Namun sedang kita memandangkan ke masa hadapan, kita mesti jelas tentang peluang-peluang yang diraih daripada asas pendidikan tinggi kita dan juga cabaran-cabaran yang mungkin menanti kita.
38. Trend-trend global yang kita alami pada awal 2000-an masih relevan, namun ia sudah muncul dalam bentuk yang baharu.
a. Media sosial telah membawa pelbagai isu seperti kecenderungan untuk mengesahkan apa yang dipercayai individu, lingkaran pendapat yang sama, dan maklumat yang salah – yang mengancam untuk memecahbelahkan masyarakat. Selain daripada hanya mahir menapis maklumat, belajar untuk membezakan kebenaran, mutu dan sejauh mana satu-satu maklumat itu relevan sudah menjadi semakin penting.
b. Teknologi juga berkembang dengan pesat. Kecerdasan Buatan (AI) kini mudah diakses. Sekarang, kita boleh mengakses AI daripada telefon bijak kita sendiri. Jika rakyat kita boleh menyesuaikan diri dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi ini sebaik mungkin, kita akan mencapai lebih daripada jangkaan kita. Tetapi jika kita gagal memanfaatkan peluang ini, kita berisiko ketinggalan di belakang negara-negara lain.
i. Banyak negara dan syarikat sudahpun menggunakan teknologi terkini, sains data dan wadah AI untuk mencuba mengatasi kekurangan sumber bermutu untuk mengajar, dan mengganggu kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional.
ii. Kita juga harus mendakapi wadah-wadah baharu ini dan melihat sejauh mana kita boleh menggunakannya dengan bijaksana dan sesuai untuk meningkatkan taraf para pelajar dengan keperluan berbeza.
c. Akhir sekali, sementara dunia semakin terhubung, arus globalisasi sudah semakin melemah. Kita melihat banyak negara yang cuba melindungi diri mereka daripada dunia yang kian tidak menentu dan berubah-ubah. Sebagai negara kecil, kita tak boleh mengasingkan diri. Kita mesti terus mendampingi dan bekerja keras untuk membina hubungan kerjasama dengan seluruh dunia.
39. Kita juga harus berwaspada terhadap sikap sambil lewa namun tidak meletakkan tekanan berlebihan ke atas para pelajar kita.
a. Ujian seperti yang dikendalikan oleh OECD mengukur keupayaan yang kita tahu bernilai hari ini. Namun, ia tidak boleh mengukur keupayaan-keupayaan dan kemahiran-kemahiran baharu yang mungkin diperlukan pada masa akan datang.
b. Sedang kita berusaha membantu para pelajar kita merealisasikan potensi penuh mereka, kita mesti berhati-hati agar tidak terlalu fokus kepada gred dan tekanan pembelajaran yang berlebihan di sekolah, yang boleh menghilangkan rasa ingin tahu dan cinta kepada pembelajaran.
c. Kita juga perlu beralih daripada terlalu menekankan perbandingan di antara pelajar. Yang lebih penting bukanlah pencapaian antara sesama mereka dalam 15 tahun pertama di sekolah, tetapi kemampuan mereka untuk terus memperbaiki diri dalam tempoh 50 tahun berikutnya.
d. Hasil kajian Penilaian Antarabangsa Kecekapan Orang Dewasa (PIAAC) dalam Program OECD baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu bekerja keras untuk mengatasi masalah kemerosotan dalam kemahiran literasi dan matematik.
e. Kita juga perlu mengambil tindakan segera untuk membantu generasi yang lebih tua, yang kurang mendapat peluang, untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan realiti ekonomi baharu yang sentiasa berubah-ubah.
40. Pendahulu kita telah menyerahkan tanggungjawab kepada kami, dan tidak lama lagi kepada anda semua yang hadir di sini. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Apa yang berkesan pada masa lalu mungkin tidak lagi berkesan pada masa hadapan. Kita mesti sentiasa memikirkan masa depan, dan apa yang akan diperlukan daripada pelajar kita dan juga diri kita sendiri.
a. Mujur, kita kini mempunyai sumber yang lebih baik, dengan guru-guru yang berdedikasi dan terlatih berbanding sebelum ini.
b. Setakat 2023, kita mempunyai sekitar 30,000 guru, iaitu 25% lebih tinggi daripada 24,000 pada tahun 2000. Sekalipun demikian, pendaftaran pelajar adalah sekitar 420,000 pada 2023, pengurangan 17% daripada sekitar 505,000 pada tahun 2000.
c. Nisbah guru-pelajar kita hari ini setanding dengan purata OECD, dan negara-negara seperti UK, dan Jerman.
d. Cabaran kita sekarang adalah bagaimana cara terbaik untuk menggunakan sumber kita supaya kita dapat memberikan yang terbaik untuk setiap anak.
41. Jadi, apa yang diperlukan para pelajar kita untuk berjaya dalam era yang semakin tidak pasti, tidak menentu dan berpecah belah?
42. Pertama, keupayaan untuk mencipta nilai-nilai baharu.
a. Para pelajar kita tidak boleh hanya menjawab soalan semalam dengan jawapan semalam.
b. Mereka perlu bertanya soalan esok dan mencari jawapan kepada soalan itu sebelum waktunya.
43. Kedua, keupayaan berhubung dan menjalin hubungan.
a. Kekuatan Singapura selama ini adalah ketersambungan dan keupayaan kita untuk menarik dan berinteraksi dengan yang terbaik dari seluruh dunia.
b. Dalam dunia yang semakin berpecah, dengan jurang sosial yang semakin dalam dan polarisasi yang meruncing, keupayaan untuk mengamalkan kepelbagaian budaya, membina kerjasama, dan merapatkan perbezaan akan menjadi kelebihan kita.
44. Ketiga, keupayaan untuk mengasah, menghargai, dan memanfaatkan pelbagai kekuatan yang ada.
a. Kita mesti beralih daripada tanggapan tradisional dan sempit tentang kejayaan dan berhenti membandingkan antara satu sama lain.
b. Kita mesti mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh setiap individu dalam masyarakat. Dari tukang masak yang menghidupkan budaya penjaja kita, kepada para artis, pencipta kandungan dan ahli muzik yang mencetus daya kreativiti kita, sehinggalah para atlet lelaki dan wanita yang mewakili Singapura di pentas dunia.
i. Kejayaan adalah tentang menjadi versi terbaik diri kita dan menyumbang apa yang boleh kepada masyarakat.
ii. “Pelbagai jalan menuju kejayaan” bukanlah dan tidak boleh sekadar menjadi slogan. Setiap orang mesti berpeluang untuk memenuhi potensi unik mereka.
c. Persaingan kita bukanlah sesama sendiri - tetapi bagaimana Team Singapore boleh membangunkan rangkaian bakat terbaik - di dalam dan luar negara - untuk bersaing dengan sistem lebih kuat, lebih besar dan lebih baik di seluruh dunia.
45. Bagaimana kita boleh mencapainya? Kita akan mencapainya menerusi dua peralihan struktur, yang sudahpun diusahakan selama bertahun-tahun.
46. Pertama, kita akan terus menyokong lebih banyak penyesuaian pendidikan untuk memenuhi keupayaan, keperluan, minat dan aspirasi yang rencam. Kita akan melakukannya dengan menyokong laluan yang pelbagai, mendakapi pemikiran baharu tentang apa dan bagaimana kita mengajar dan belajar, serta memanfaatkan teknologi untuk mengatasi tiga dilema - mutu, skala dan kos - pendidikan awam.
a. Kita mesti melangkaui cara mengajar “pukul rata” dalam kelas.
b. Dalam masa depan yang ideal, kita akan dapat memanfaatkan AI dan data untuk menyesuaikan pelajaran mengikut keperluan unik setiap pelajar - untuk mewujudkan kelas yang berkesan bagi setiap pelajar.
47. Kedua, sebagai sebuah masyarakat, kita mesti mendakapi pembelajaran menjangkaui sekolah dan buku. Meletakkan asas bagi pembelajaran dan pertumbuhan yang didorong oleh diri sendiri sejak dari kecil. Sebagai sebuah sistem pendidikan, kita mesti menahan daripada keinginan untuk terlalu memberi, terlalu melindungi dan terlalu mengatur. Sekolah tidak boleh menjadi segala-galanya bagi kita; dunia yang luas inilah sekolah kita.
a. Kita juga akan terus maju dalam usaha kita untuk memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat, untuk menikmati pembelajaran dan menggalak rakyat kita untuk terus menimba kemahiran baharu dan relevan walaupun selepas meninggalkan bangku sekolah.
b. Kita juga perlu lebih memahami sains pengajaran dan pembelajaran bagi orang dewasa, seperti mana NIE dan NIEC lakukan untuk murid sekolah dan prasekolah.
48. Peralihan-peralihan ini mesti dilengkapi dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan sokongan kepada tenaga pengajar kita, untuk membantu mereka memenuhi tuntutan yang lebih rumit ini. Mengajar bukan setakat menyampaikan ilmu secara didaktik.
a. Sebaliknya, para pendidik kita harus memberi panduan kepada para pelajar untuk meneroka sendiri, memupuk perkembangan sosio-emosi mereka dan mengajarkan kemahiran penting dalam hidup seperti berfikir secara kritis, berhubung dengan orang lain, memanfaatkan teknologi secara bermakna, dan membuat pilihan kerjaya untuk menyumbang kepada dunia yang lebih baik. Semua ini memerlukan kemahiran menjangkaui apa yang boleh diajar di dalam bilik darjah.
b. Inilah sebabnya kami melaksanakan program seperti Program ‘Teacher Work Attachment Plus’ (TWA+), yang menyediakan peluang-peluang untuk para pendidik memperoleh pendedahan daripada sektor dan industri berbeza di luar sistem sekolah, baik privet dan awam.
c. Namun kita mesti lakukan lebih lagi.
d. Pembangunan kerjaya mesti terus menjadi pertimbangan utama apabila merancang pengerahan pendidik kita dan bukan hanya sesuatu yang difikirkan kemudian.
e. Namun, kita juga sedar bahawa pendidik kita tidak mungkin mengetahui semua trend terkini dalam pasaran.
f. Oleh itu, kita perlu bekerjasama dengan pihak industri, masyarakat, dan ibu bapa, untuk memanfaatkan kekuatan mereka bagi melengkapi keupayaan pengajaran kita.
49. Sedang kita melakukan peralihan struktur, kedwibahasaan mesti kekal sebagai tunggak utama sistem pendidikan kita.
a. Dalam dunia yang kian berpecah, kedwibahasaan dan keupayaan berbilang bahasa adalah kunci untuk membantu rakyat Singapura membina hubungan di seluruh dunia.
b. Nilainya bukan sekadar keupayaan berkomunikasi. Bahasa membuka pintu kepada pemahaman lebih mendalam terhadap nuansa budaya, dan bagaimana orang lain berfikir - motivasi, perspektif dan pandangan dunia mereka.
c. Lebih penting lagi, kedwibahasaan adalah teras identiti rakyat Singapura kita. Ia menjangkaui sekadar menggalak rakyat menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian mereka. Ia menandakan komitmen kita untuk terus berhubung dengan warisan budaya kita yang kaya dan unik.
d. Namun hari ini, Bahasa Inggeris sudah menjadi bahasa dominan bagi kebanyakan rakyat Singapura. Kita mesti menggandakan usaha untuk mengukuhkan kedwibahasaan kita. Ia sukar tetapi menjadi cabaran penting untuk langkah seterusnya.
50. Menangani cabaran-cabaran ini tidak akan mudah.
a. Namun kita mesti memberi komitmen sepenuhnya kepada sistem pendidikan kita.
b. Sebagai generasi pendidik kita yang seterusnya, anda akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan masa depan sistem pendidikan kita dan seterusnya masa depan Singapura.
RENUNGAN SUPAYA KITA TERUS BERJAYA
51. Mujur, kita tidak bermula dari titik awal. Mengimbas kembali sejarah sistem pendidikan kita, berikut renungan yang saya ingin kongsi supaya kita terus berjaya:
52. Pertama, kita mesti mengekalkan usaha mengecap kecemerlangan di samping menjunjung meritokrasi terbuka, berterusan dan berbelas ihsan.
a. Kita tidak boleh berpuas hati dengan ‘cukup baik’. Setiap daripada kita mesti berusaha untuk mencapai potensi penuh kita – sama ada dalam akademik, atau bidang lain.
b. Kita mesti membezakan usaha mencapai kecemerlangan mengikut konteks, daripada usaha mencapai kesempurnaan tanpa konteks, yang berisiko menjadi tidak relevan. Berpegang kepada tanggapan kejayaan yang statik dan lapuk kerana kita tidak sanggup melepaskan apa yang telah berfungsi dengan baik pada masa lalu akan menentukan nasib kita. Dalam dunia yang tidak menentu dan sentiasa berubah, lebih penting untuk melakukan perkara yang betul dengan baik – daripada hanya melakukan perkara yang sama dengan baik.
c. Walaupun kita berusaha untuk merealisasikan potensi penuh setiap individu, kita mesti bersungguh-sungguh dalam memupuk sikap inklusif dan integrasi dalam dasar pendidikan kita.
d. Dalam usaha kita mencapai kecemerlangan melalui meritokrasi, kita mesti berwaspada agar tidak menjadi ‘inheritokrasi’ (pewaris) keistimewaan. Dasar kita mesti sentiasa berkembang untuk mengimbangi matlamat kita bagi mobiliti dan perpaduan sosial.
53. Kedua, kita mesti bijak membuat perubahan agar sesuai dengan keperluan masa depan.
a. Masa adalah segalanya. Kita mesti ada naluri yang tajam untuk mengetahui bila harus memimpin dengan yakin dan kebijaksanaan untuk mengetahui bila hendak mengikut rentak perubahan masyarakat.
i. Sistem pengaliran dan kedwibahasaan adalah dua contoh bertentangan yang jelas.
ii. Dr Goh dan para pemimpin perintis kita melaksanakan sistem pengaliran pada 1979, walaupun ia tidak diterima secara meluas oleh masyarakat. Lebih mudah dari segi politik untuk tidak melakukannya - tetapi itu bermakna kadar keciciran sekolah dan kadar buta huruf yang tinggi. Pada akhirnya, seluruh sistem pendidikan dan Singapura akan menderita. Lantaran itu, kita menerima perubahan jangka pendek demi meraih keuntungan jangka panjang. Kita beralih kepada Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh apabila keadaan sesuai dan sekolah kita mempunyai sumber dan keupayaan melaksanakannya, untuk mengurangkan masalah stigma dan memenuhi aspirasi yang berubah.
iii. Di sisi lain, kita mengambil pendekatan berperingkat dalam dasar bahasa kita. Kita menunggu keadaan yang sesuai sebelum menutup sekolah vernakular. Ia mengambil masa hampir dua dekad selepas memperkenalkan dwibahasa sebelum kita akhirnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara utama di sekolah.
b. Apabila kita melaksanakan perubahan sistem, kita juga mesti akur bahawa pemikiran dan budaya mesti berubah seiring untuk melihat kesan yang berpanjangan.
i. Jika kita tidak memperluas definisi kejayaan menjangkaui pandangan relatif yang sempit, perubahan sistem PSLE tidak akan mengurangkan tekanan dan membantu kita menghargai kepelbagaian bakat kita.
ii. Begitu juga penghapusan peperiksaan pertengahan tahun tidak akan mengurangkan tekanan pelajar jika kita, sebagai ibu bapa, menambah tekanan yang sudah dikurangkan MOE.
c. Dasar yang konsisten dan keyakinan dalam pelaksanaannya menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini.
i. Banyak negara gagal bukan disebabkan kurangnya idea yang baik.
ii. Sebaliknya, banyak yang malah ada idea lebih bernas.
iii. Namun mereka semestinya ada kelangsungan atau kestabilan politik untuk memberi pemerintah mereka ruang melaksanakan banyak dasar rumit tetapi perlu - dan kemudian meraih hasil daripadanya.
iv. Semua dasar akan ada timbal baliknya, terutama sekali dalam jangka pendek. Tiada dasar yang relevan sampai bila-bila, tiada dasar yang memuaskan semua pihak. Kita mesti ada keyakinan untuk melakukan perkara yang betul untuk rakyat kita, meskipun ia tidak popular atau menyusahkan. Konsisten dan komitmen dalam pelaksanaan dari generasi ke generasi penting untuk meraih manfaatnya.
54. Ketiga, kita hanya kuat apabila kita bersatu. Para pendidik di ibu pejabat MOE, institusi professional dan sekolah-sekolah mesti kekal bersatu.
a. Ia tidak boleh - dan tidak akan pernah berlaku bahawa “para guru yang baik hanya mengajar di sekolah-sekolah yang baik”.
b. Kita juga tidak boleh membiarkan ada jurang antara mereka yang membuat dasar dengan pendidik yang melaksanakannya di sekolah-sekolah kita.
c. Kita mesti terus memupuk kepercayaan bersama, serta memudahkan pertukaran orang, idea, dan amalan terbaik, di seluruh sistem pendidikan kita.
d. Ini memastikan bahawa kita sentiasa dinamik dan tidak terasing, bahawa dasar kita sentiasa berdasarkan maklumat yang tepat, dan bahawa apabila kita meningkatkan taraf, kita melakukannya bersama-sama.
e. Kita tidak boleh mengambil mudah hubungan antara MOE, NIE, sekolah dan pendidik. Melihat dunia ini, hubungan seperti ini tidak mudah ditemui. Ia boleh dengan mudah menjadi rapuh. Kita mesti melindungi dan memupuknya.
55. Keempat, sikap hormat masyarakat kepada para pendidik menentukan mutu pendidik kita, yang kemudian membentuk mutu sistem pendidikan kita.
a. Para pendidik adalah tunggak sistem pendidikan kita. Adanya para pendidik yang sangat komited kepada pendidikan akan sentiasa menjadi salah satu kekuatan Singapura.
b. Pendidikan pada hakikatnya adalah usaha manusia. Ia melangkaui penyampaian kandungan dan maklumat. Pendidikan membimbing penduduk; ia adalah penerapan nilai-nilai, kemahiran hidup, identiti nasional dan rasa perpaduan dalam kalangan rakyat kita.
c. Lantaran itu, tidak kira berapa banyak dana atau teknologi yang ditaburkan, ia tidak dapat menggantikan bimbingan dan sentuhan peribadi yang diberikan oleh para pendidik kita.
d. Sikap dan tingkah laku kita terhadap para pendidik akan menentukan mutu orang-orang yang akan menyertai kita dalam mendidik generasi seterusnya, yang seterusnya akan menentukan mutu sistem pendidikan kita dan mutu rakyat kita.
56. Akhir sekali, para pelajar adalah dan sentiasa menjadi nadi sistem pendidikan kita.
a. Saya sering melawat sekolah-sekolah.
b. Berkunjung ke sekolah-sekolah dan melihat para pelajar kita mengingatkan saya mengapa kita lakukan apa yang kita lakukan.
c. Apabila saya memandang wajah-wajah ceria dan penuh harapan para pelajar kita, dipenuhi dengan harapan dan peluang, saya melihat kemajuan yang sudah kita capai - tetapi yang lebih penting - cabaran-cabaran yang masih ada dan kerja-kerja yang perlu kita teruskan untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan mereka mengecap aspirasi mereka.
KESIMPULAN
57. Selama 60 tahun, Singapura sudah bertahan dan bahkan berkembang maju mengharungi pelbagai rintangan. Diterajui oleh golongan perintis yang mempunyai visi masa depan yang dikongsi bersama meskipun mereka tidak berkongsi masa lalu yang sama - disatukan oleh cita-cita bersama meritokrasi, tidak tunduk kepada rasuah, berbilang budaya dan yang paling penting komitmen kepada pulau ini dan rakyatnya.
a. Sistem pendidikan yang kita bina tidak boleh setakat bertujuan merealisasikan potensi penuh setiap pelajar, tetapi juga menyemai matlamat hidup yang mendorong mereka untuk menyumbang kepada Singapura, dan semangat untuk terus mencabar segala kemungkinan.
b. Kita sudah lakukan banyak perkara. Namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Bukan kita sahaja yang sedang berusaha untuk melakukan lebih baik lagi. Kita adalah permulaan yang bagus, tetapi negara lain ada sumber dan jumlah penduduk yang lebih besar, dan semakin ramai yang boleh berdwibahasa. Mereka dahagakan kejayaan dan akan merebut peluang-peluang kita jika kita leka. Banyak yang dipertaruhkan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian kita.
58. Sebagai pendidik dan pemimpin masa depan kita, harapan saya adalah anda pulang hari ini dengan pemahaman lebih mendalam mengenai sejarah pendidikan kita - dan bersedia untuk menulis lembaran baharu sejarah pendidikan kita.
a. Anda akan menjadi pembentuk masa depan negara kita - bukan setakat membentuk minda, tetapi juga harapan dan impian.
b. Saya berharap anda akan terus semarakkan semangat, idealisme dan harapan anda - mencurahkannya bukan sahaja pada pelajar kita hari ini, tetapi juga potensi mereka pada masa hadapan.
c. Anda akan menjadi para pemimpin kita semasa SG100. Anda akan bakar semangat generasi yang akan membawa kita ke SG100 dan seterusnya.
d. Saya harap anda semua akan terus memberi inspirasi kepada anak-anak kita untuk terus melangkaui batasan sejarah, demi membawa Singapura ke SG100 dan lebih jauh lagi.
59. Terima kasih. Saya berharap perbincangan panel ini akan memberikan banyak manfaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.